Khabar mengejutkan hadir daripada webtoon popular hasil karya Yongseok Jo, Wind Breaker, yang secara rasmi dihentikan oleh pihak Naver Webtoon berikutan isu plagiat.
Menurut laporan animecorner.me pada Ahad (13 Julai 2025), pengumuman ini disampaikan terus oleh pihak Webtoon dan pengarang kepada para peminat. Yongseok Jo didapati telah melakukan plagiat melalui beberapa babak dalam Wind Breaker yang didakwa memiliki persamaan ketara, malah hampir sama sepenuhnya, dengan adegan daripada karya lain, dari segi visual mahupun struktur naratif.
Beberapa pembaca turut memuat naik imej perbandingan yang jelas menunjukkan persamaan panel Wind Breaker dengan karya-karya lain, termasuk dakwaan persamaan gaya dan posisi watak dengan manga terkenal Tokyo Ghoul.


Sehubungan itu, pihak Webtoon mengambil keputusan untuk menangguhkan penulisan bersiri dan menghentikan semua perkhidmatan berkaitan webtoon Wind Breaker.
Keputusan ini dibuat selepas semakan dan perbincangan yang serius antara penulis dengan pihak editorial Webtoon.
“Baru-baru ini disahkan bahawa naskhah webtoon Isnin ‘Wind Breaker’ menunjukkan persamaan dari segi komposisi dan struktur dengan karya lain. Selepas perbincangan antara penulis dan editor yang bertanggungjawab, keputusan telah dibuat untuk menghentikan penulisan bersiri serta penerbitannya. Kami di sini ingin memaklumkan keputusan ini kepada anda semua,” jelas kenyataan rasmi.
Pihak Webtoon juga memohon maaf atas kejadian ini:

“Kami dengan tulus memohon maaf atas kekecewaan yang timbul dalam kalangan pembaca dan ramai pihak lain. Naver Webtoon mengambil isu persamaan kandungan ini dengan amat serius dan akan terus berusaha melindungi hak cipta sebaik mungkin.”
Yongseok Jo, pengarang dan pelukis Wind Breaker, turut mengeluarkan kenyataan permohonan maaf secara terbuka kepada para pembaca:
“Halo, saya Jo Yongseok.
Pertama sekali, saya memohon maaf dengan sepenuh hati atas kesulitan yang ditanggung ramai pihak susulan dakwaan peniruan yang membabitkan karya saya baru-baru ini. Dalam bahan rujukan yang saya gunakan, terdapat beberapa adegan yang ternyata sangat mirip atau hampir sama dari segi ekspresi dengan karya lain.
Ini merupakan kesalahan saya yang jelas.”
Beliau turut mengakui kegagalannya menjaga standard kreativiti dek tekanan kerja dan tarikh akhir yang berterusan. Beliau menyatakan kesediaan untuk memikul tanggungjawab penuh:
“Selama bertahun-tahun, hidup saya berlalu dalam kejaran tarikh akhir yang tidak henti-henti.
Dalam keadaan begitu, saya telah membiarkan tekanan menenggelamkan standard yang sepatutnya saya junjung sebagai seorang pencipta.
Dan saya gagal menegakkannya.
Paling menyedihkan, saya sangat ingin membawa cerita ini ke penghujungnya, namun hakikat bahawa ia harus dihentikan separuh jalan amat menyakitkan.
Saya benar-benar kesal dan sekali lagi memohon maaf kepada para pembaca.
Kepada semua yang terus menyokong dan mempercayai saya meskipun dengan segala kekurangan, saya ucapkan ribuan terima kasih. Saya tunduk dan memohon maaf sekali lagi.”
Tidak mahu membiarkan para pembaca Wind Breaker terus tertanya-tanya dengan pengakhiran yang tergantung, Yongseok Jo memberikan nota terakhir berkaitan penutup kisah tersebut:
“Saya berasakan sekurang-kurangnya perlu memberikan pengakhiran yang wajar. Kisah akhir Wind Breaker dengan berat hati telah saya muat naik dalam bentuk asal di blog peribadi saya.”

Webtoon Wind Breaker mula disiarkan di Naver Webtoon sejak Disember 2013 dan telah bertahan selama lebih sedekad. Ia telah dibukukan dalam 26 jilid sehingga Januari 2024, dan berjaya meraih lebih 600 juta bacaan serta 2.3 juta pelanggan di aplikasi Webtoon.
Karya ini mengisahkan tentang Jay, seorang pelajar pintar di Sekolah Menengah Sunny yang gemar menunggang basikal secara bersendirian. Namun kerana bakatnya yang luar biasa dalam berbasikal, dia mula terlibat dalam persaingan dengan pelbagai komuniti basikal lain, lalu menyertai sebuah kelab lumba basikal bernama Hummingbird Crew, memperkenalkannya kepada dunia yang lebih luas daripada hanya buku dan sekolah.
Baca lagi: “Mobile Suit Gundam GQuuuuuuX”, Kebangkitan Gundam Merah dalam Dunia Alternatif
Baca juga: Wind Breaker Live Action Bakal Gegar Pawagam Disember 2025, Adaptasi Aksi dari Manga Popular








