Mobile Suit Gundam GQuuuuuuX ialah siri anime televisyen Jepun terbaharu yang dihasilkan melalui kerjasama antara dua studio berpengaruh, Sunrise dan Studio Khara.
Mobile Suit Gundam GQuuuuuuX membawa genre meka, robot gergasi yang dikendalikan melalui kokpit, yang telah lama sinonim dengan dunia Gundam. Ia menjadi entri utama ke-16 dalam francais Mobile Suit Gundam yang telah wujud sejak dekad 1970-an dan kekal sebagai antara siri paling berpengaruh dalam sejarah anime Jepun.
Apa yang menjadikan Mobile Suit Gundam GQuuuuuuX benar-benar menonjol ialah latar masanya. Ini merupakan siri penuh pertama yang kembali menggunakan latar Universal Century sejak siri klasik Mobile Suit Victory Gundam, walaupun ia berlangsung dalam garis masa alternatif yang mencabar naratif asal.
Lebih menarik, siri ini juga merupakan keluaran era Reiwa kedua, dan menampilkan watak utama wanita secara berturut-turut selepas kejayaan The Witch from Mercury.
Kisahnya mengisahkan Amate Yuzuriha, seorang pelajar sekolah menengah yang tinggal di koloni angkasa. Tanpa diduga, kehidupannya berubah apabila dia menyertai Clan Battle, satu bentuk sukan haram menggunakan mobile suit dalam pertempuran penuh risiko. Dia mengemudi GQuuuuuuX dengan nama samaran “Machu”, dan menyertai pasukan bernama Pomeranians.

Di sebalik kejohanan ini, muncul pula misteri Gundam merah yang dikendalikan oleh seorang budak lelaki bernama Shuji. Gundam ini diburu oleh pasukan keselamatan angkasa dan menjadi kunci kepada perubahan besar dalam sejarah. Dalam garis masa alternatif ini, Char Aznable berjaya mencuri Gundam sebelum Amuro Ray sempat menggunakannya. Akibatnya, Perang Satu Tahun berakhir dengan kejayaan pihak Zeon.
Episod kelapan bakal mendedahkan peristiwa besar dikenali sebagai Insiden Zeknova, melibatkan serangan pasukan Char ke atas pangkalan asteroid Solomon. Namun, dalam satu letupan besar yang memancar cahaya terang, Char dan Gundam menghilang tanpa jejak.








