Home Kdrama/Kmovie Drama Korea Bitch X Rich 2: Misteri Adik kepada So Mang yang Penuh Rahsia

Bitch X Rich 2: Misteri Adik kepada So Mang yang Penuh Rahsia

0

Sekolah Tinggi Antarabangsa Cheongdam kembali menjadi pusat perhatian dalam musim terbaru drama Bitch X Rich 2 apabila watak baharu diperkenalkan dalam kelab paling berpengaruh di sekolah tersebut, iaitu Diamond 6.

Watak itu ialah Lee Sa Rang (lakonan Won Gyu Bin), seorang pelajar lelaki yang berasal daripada keluarga penderma terbesar di sekolah Cheongdam. Oleh kerana latar belakang keluarganya yang kaya dan berpengaruh, kehadiran Sa Rang disambut dengan rasa hormat, dan dia dianggap layak menjadi sebahagian daripada kelompok elit pelajar yang dihormati dan digeruni itu.

Namun, yang menjadikan kemunculan Lee Sa Rang lebih menarik ialah hubungan keluarganya dengan salah seorang bekas anggota Diamond 6 yang telah dikenali dalam musim pertama, iaitu Lee So Mang (lakonan Yoo Jung Hoo). Dalam musim terdahulu, So Mang dikenali sebagai watak yang tenang dan baik hati, serta memainkan peranan penting dalam konflik dalaman Diamond 6.

Kini, apabila adiknya sendiri muncul secara tiba-tiba dan menggantikan tempat So Mang dalam kelab tersebut, pelbagai persoalan mula timbul dalam kalangan penonton, siapakah sebenarnya Lee Sa Rang, dan apa motif sebenar kemunculannya?

1. Tindakan Lee Sa Rang mendekati Kim Hye In mencetuskan syak wasangka

Bitch x rich 2

Perkara pertama yang menimbulkan curiga terhadap Sa Rang ialah usahanya untuk mendekati Kim Hye In (lakonan Lee Eun Saem). Ini agak mencurigakan kerana Hye In bukanlah ahli asal Diamond 6, malah sebelum ini sering dianggap sebagai ‘orang luar’ dalam kalangan pelajar elit tersebut. Hubungan antara Sa Rang dan Hye In berlaku terlalu mendadak, sehingga menimbulkan persoalan, adakah dia mendekatinya kerana niat tertentu?

2. Pengganti mendadak kepada Lee So Mang

e607e4cd de3f 4696 a839 64663a28c782

Kehadiran Sa Rang dalam kelab Diamond 6 juga berlaku serentak dengan pemergian abangnya, Lee So Mang, ke luar negara. Perpindahan So Mang berlaku tanpa sebarang penjelasan yang kukuh, seolah-olah ada sesuatu yang cuba disembunyikan. Situasi ini menjadikan Sa Rang sebagai “pengganti sempurna” yang muncul pada waktu yang mencurigakan. Penonton mula meragui sama ada kemasukan Sa Rang itu sekadar kebetulan, atau memang telah dirancang sejak awal.

3. Kelibatnya mirip si pelaku misteri yang merakam perbalahan Hye In dan Kim Hae In

c9bf0d03 6cbc 47b1 a051 b5ddf5884a51

Dalam satu babak yang penuh ketegangan, berlaku pertengkaran antara Kim Hye In dan Kim Hae In (lakonan Jang Sung Yoon). Anehnya, ada individu yang sempat merakam kejadian itu secara diam-diam. Berdasarkan bentuk tubuh dan telefon yang digunakan, ramai yang membuat andaian bahawa individu tersebut sangat menyerupai Sa Rang. Jika benar, mengapa Sa Rang melakukan sedemikian? Apakah niatnya menyimpan rakaman itu?

4. Sa Rang ditemui menyimpan telefon bimbit milik mendiang Oh Si Eun

eaa4725e dc6a 479a b415 8cfc65146b4f

Lebih mengejutkan, Sa Rang turut didapati memiliki telefon bimbit milik Oh Si Eun (lakonan Han Da Sol), yang telah meninggal dunia dalam satu insiden kemalangan. Telefon itu sepatutnya telah hilang sejak hari kejadian, namun kini berada dalam simpanan Sa Rang. Bagaimana dia boleh mendapatkannya? Apa yang cuba disembunyikan?

5. Telefon Si Eun mengandungi pelbagai rakaman ugutan

cffa2960 a164 4763 8e9f c45431e02375

Rupa-rupanya, telefon bimbit milik Si Eun menyimpan banyak bukti sensitif, termasuk rakaman-rakaman di mana dia mengugut beberapa pelajar lain, termasuk Kim Hye In. Perkara ini menambah lagi teka-teki dalam drama ini, kerana jika Sa Rang memiliki telefon tersebut, adakah dia merancang sesuatu dengan bukti-bukti itu?

6. Kemunculan Sa Rang beriringan dengan ancaman baharu, Black Dog

b2a437d0 f871 4477 994e 4840781ddb4c

Kehadiran Sa Rang di sekolah juga kebetulan berlaku serentak dengan kemunculan “Black Dog”,  individu misteri yang menjadi musuh baharu kepada kumpulan Diamond 6. Ramai yang percaya bahawa Black Dog merupakan salah seorang pelajar sekolah Cheongdam sendiri. Namun, siapakah sebenarnya Black Dog, dan adakah Sa Rang mempunyai kaitan dengannya?

7. Watak yang ‘terlalu baik’ selalunya menyembunyikan rahsia

Bitch x rich

Perkara paling mencurigakan tentang Lee Sa Rang ialah betapa baik dan sempurna penampilannya di hadapan orang lain. Dalam drama bergenre misteri seperti Bitch X Rich, watak yang kelihatan terlalu sempurna dan tidak bersalah biasanya menyimpan kejutan besar. Dalam musim pertama, kita telah melihat bagaimana Oh Si Eun dan Kim Hae In yang kelihatan baik pada mulanya, rupa-rupanya menyimpan sisi gelap mereka. Maka tidak mustahil Sa Rang juga menyembunyikan niat sebenar di sebalik senyuman manisnya.

Kemunculan Lee Sa Rang dalam Bitch X Rich 2 membawa dimensi baharu kepada kisah penuh rahsia dan konflik dalam kalangan pelajar elit. Dengan pelbagai tingkah lakunya yang mencurigakan serta misteri yang mula terungkai satu demi satu, ramai penonton menjangkakan bahawa Sa Rang bakal menjadi punca kepada “plot twist” terbesar musim ini.

Persoalannya kini, adakah Lee Sa Rang benar-benar berada di pihak yang baik? Atau adakah dia bakal menjadi watak antagonis yang menyamar sebagai ‘malaikat’ dalam Bitch X Rich 2 ini? Segalanya bakal terjawab dalam episod-episod yang akan datang. Jangan lupa saksikan Bitch X Rich 2 di Viu ya!

Baca lagi: Bitch X Rich 2: Misteri Adik kepada So Mang yang Penuh Rahsia
Baca juga: Bitch x Rich 2, Kim Min Kyu Gegar Layar dengan Watak Tunangan Misteri Berprofil Tinggi