Home Artis Korea 9 K-Drama Shin Min-a Harus Tonton Semula, Hometown Cha-Cha-Cha Hingga Karma!

9 K-Drama Shin Min-a Harus Tonton Semula, Hometown Cha-Cha-Cha Hingga Karma!

0

Shin Min-a kembali mencuri perhatian menerusi The Remarried Empress. Jom imbas 9 K-Drama popular lakonannya termasuk Hometown Cha-Cha-Cha, Oh My Venus dan Karma!

Nama Shin Min-a sememangnya tidak asing lagi dalam kalangan peminat K-Drama. Pelakon jelita Korea Selatan ini cukup dikenali menerusi keupayaannya membawa pelbagai karakter, daripada wanita romantik yang mencuit hati sehinggalah watak penuh emosi dan misteri.

Terbaharu, Shin Min-a kembali mencuri perhatian menerusi drama fantasi romantik “The Remarried Empress” yang menyaksikan dirinya menggalas watak Maharani Navier. Penampilan elegan dan karisma yang ditampilkan sebagai seorang pemerintah empayar nyata memperlihatkan sisi berbeza pelakon tersebut.

Bagi peminat yang masih belum puas menyaksikan lakonan Shin Min-a, apa kata imbas kembali sembilan buah K-Drama popular lakonannya yang mungkin boleh dimasukkan ke dalam senarai tontonan seterusnya?

Berikut sembilan pilihan K-Drama yang disarankan untuk ditonton semula!

1. Hometown Cha-Cha-Cha (2021)

Shin Min-a
Shin Min-a

Siapa yang tidak mengenali drama romantik yang cukup popular ini? Bergandingan bersama Kim Seon-ho, Shin Min-a membawa watak Yoon Hye-jin, seorang doktor gigi yang meninggalkan kehidupan di Seoul untuk membuka klinik pergigian di sebuah perkampungan tepi laut bernama Gongjin.

Kehidupannya mula berubah selepas bertemu Hong Du-sik, lelaki serba boleh yang sering membantu penduduk kampung.

Bermula dengan hubungan yang dipenuhi pertelingkahan kecil dan perbezaan personaliti, kedua-duanya perlahan-lahan menyimpan perasaan antara satu sama lain. Sebuah naskhah romantik yang cukup menghiburkan dan menghangatkan hati!

2. My Girlfriend Is A Gumiho (2010)

IMG 4865

Antara drama yang cukup sinonim dengan nama Shin Min-a ialah My Girlfriend Is A Gumiho.

Menerusi drama ini, Shin Min-a membawakan watak Mi-ho, seekor musang berekor sembilan atau Gumiho yang secara tidak sengaja dibebaskan daripada sebuah lukisan selepas terperangkap selama beratus-ratus tahun.

Pertemuannya dengan Cha Dae-woong lakonan Lee Seung-gi membawa kepada pelbagai kejadian lucu dan tidak dijangka. Hubungan mereka yang pada awalnya bermula dengan satu perjanjian akhirnya bertukar menjadi kisah cinta yang penuh cabaran.

3. No Gain No Love (2024)

IMG 4867

Bagaimana jika seseorang sanggup berkahwin hanya kerana mahu mendapatkan kenaikan pangkat?

Itulah premis menarik No Gain No Love yang menampilkan Shin Min-a sebagai Son Hae-young, seorang wanita praktikal yang tidak suka mengalami kerugian dalam apa jua keadaan.

Apabila menyedari status bujang boleh menjejaskan peluang kenaikan pangkatnya, Hae-young mengambil keputusan untuk mengadakan perkahwinan palsu bersama Kim Ji-wook lakonan Kim Young-dae.

Namun, keadaan menjadi semakin rumit apabila Ji-wook turut bekerja di syarikat yang sama dengannya. Hubungan yang pada mulanya sekadar lakonan akhirnya mula menumbuhkan perasaan sebenar.

Where the Mask Ends: Tian Xiwei Cemerlang Bawa Dua Watak, Pertukaran Identiti Cetus Konflik Berdarah!
Light the Dark: Chen Zheyuan Bongkar Misteri Letupan Gas Dalam Drama Thriller Terbaharu iQIYI

4. Oh My Venus (2015)

IMG 4866

Bergandingan bersama So Ji-sub, Shin Min-a mencuri perhatian menerusi drama romantik komedi Oh My Venus.

Dia membawa watak Kang Joo-eun, seorang peguam yang pernah terkenal dengan kecantikannya ketika muda, namun berdepan masalah keyakinan diri selepas mengalami perubahan fizikal.

Selepas hubungan cintanya selama 15 tahun berakhir, Joo-eun bertemu Kim Young-ho, seorang jurulatih kecergasan terkenal yang menyembunyikan identiti sebenarnya.

Pertemuan tersebut membuka lembaran baharu dalam kehidupannya apabila dia mula berusaha mengubah diri dan membina semula keyakinan, selain menemukan cinta yang tidak pernah dijangka.

5. Our Blues (2022)

IMG 4869

Beralih daripada genre romantik komedi, Our Blues memperlihatkan kemampuan Shin Min-a membawa karakter yang lebih berat dan emosional.

Berlatarbelakangkan keindahan Pulau Jeju, drama ini mengisahkan kehidupan beberapa individu yang berdepan konflik keluarga, percintaan dan cabaran kehidupan masing-masing.

Shin Min-a membawakan watak Min Seon-a, seorang wanita yang bergelut dengan kemurungan, masalah rumah tangga serta perebutan hak penjagaan anak.

Kepulangannya ke Jeju menemukan semula dirinya dengan Lee Dong-seok lakonan Lee Byung-hun, seorang jurujual yang mempunyai sejarah perasaan terhadapnya.

6. Chief Of Staff (2019)

IMG 4873

Mahu melihat Shin Min-a dalam karakter yang lebih serius dan berbeza? Chief Of Staff antara drama yang tidak patut dilepaskan.

Drama ini mengangkat dunia politik dan perebutan kuasa menerusi kisah Jang Tae-joon lakonan Lee Jung-jae, seorang pembantu ahli politik yang bercita-cita tinggi untuk mendaki tangga kekuasaan.

Shin Min Ah pula membawa watak Kang Seon-yeong, bekas peguam yang kini bergelar ahli Dewan Undangan Kebangsaan.

Di sebalik karier politik mereka, kedua-duanya sebenarnya menjalinkan hubungan cinta secara rahsia. Namun, skandal rasuah, pakatan berbahaya dan perebutan pengaruh mula mengancam hubungan serta prinsip yang mereka pegang.

Drama ini mempunyai dua musim yang diterbitkan pada tahun 2019.

7. Tomorrow, With You (2017)

IMG 4871

Bagaimana jika anda mempunyai kemampuan untuk mengembara ke masa hadapan dan mengetahui takdir sendiri?

Itulah premis menarik Tomorrow, With You yang menemukan Shin Min-a bersama Lee Je-hoon.

Shin Min-a membawakan watak Song Ma-rin, seorang jurugambar yang pernah menjadi pelakon kanak-kanak. Kehidupannya berubah selepas bertemu Yoo So-joon, seorang ahli perniagaan kaya yang mempunyai kebolehan mengembara merentasi masa menggunakan kereta api bawah tanah.

Selepas mengetahui dirinya bakal meninggal dunia dalam satu kemalangan pada masa hadapan, So-joon mengambil keputusan untuk mengahwini Ma-rin demi mengubah takdir mereka.

Namun, perkahwinan tersebut menyimpan pelbagai persoalan apabila rahsia dan kehilangan misteri mula menghantui hubungan mereka.

8. Karma (2025)

IMG 4875

Buat peminat yang mahu melihat sisi lebih gelap lakonan Shin Min-a, siri thriller jenayah Netflix ini boleh menjadi pilihan.

Bergandingan bersama Park Hae-soo dan Lee Hee-jun, Karma mengisahkan enam individu yang kehidupannya saling berkait melalui satu rangkaian jenayah, pengkhianatan dan keputusan buruk.

Shin Min-a membawa watak Lee Ju-yeon, seorang doktor yang dihantui pengalaman traumatik pada masa lalu.

Apabila seseorang yang mempunyai kaitan dengan trauma tersebut muncul kembali, kehidupannya mula terjerat dalam situasi berbahaya yang melibatkan beberapa individu lain.

Berbeza daripada karakter romantik yang sering dikaitkan dengannya, drama ini memperlihatkan sisi lakonan Shin Min-a dalam sebuah naskhah penuh ketegangan.

9. Arang And The Magistrate (2012)

IMG 4872

Akhir sekali, peminat genre fantasi romantik boleh mengimbas kembali Arang And The Magistrate.

Berlatarbelakangkan era Joseon, Shin Min-a membawa watak Arang, seorang wanita yang kembali sebagai roh selepas kematiannya yang penuh misteri.

Arang berusaha membongkar rahsia di sebalik kematiannya dengan bantuan Kim Eun-oh lakonan Lee Joon-gi, seorang pegawai kerajaan yang mempunyai kebolehan melihat hantu.

Penyiasatan mereka akhirnya membawa kepada penemuan pelbagai rahsia gelap, termasuk kaitan misteri antara Arang dan ibu Eun-oh. Dalam masa sama, hubungan yang tidak dijangka mula berkembang antara kedua-duanya.

SHIN MIN A, PELAKON DENGAN PELBAGAI SISI!

IMG 4842

Daripada kisah cinta ringan dalam Hometown Cha-Cha-Cha sehinggalah thriller penuh misteri seperti Karma, sembilan drama ini membuktikan bahawa Shin Min-a mempunyai kemampuan untuk menghidupkan pelbagai karakter dengan cukup berkesan.

Kemunculannya sebagai Maharani Navier dalam The Remarried Empress juga memberikan peluang kepada peminat untuk menyaksikan satu lagi sisi berbeza daripada pelakon berbakat ini.

Jadi, drama Shin Min-a yang manakah menjadi pilihan kegemaran anda? Adakah anda peminat setia kisah romantiknya, ataupun lebih tertarik melihatnya membawa watak serius dan penuh konflik?

Apa pun pilihan anda, mungkin inilah masa terbaik untuk mengimbas kembali perjalanan lakonan Shin Min-ah sebelum mengikuti episod seterusnya The Remarried Empress!