Dalam drama The First Night With the Duke, watak Jo Eun Ae (lakonan Kwon Han Sol) pada zahirnya kelihatan tenang, polos dan tidak berbahaya. Namun di sebalik senyuman lembut dan tutur katanya yang sopan, tersimpan sisi gelap yang tidak disangka sesiapa. Jo Eun Ae ternyata bukanlah sebaik yang disangka, bahkan jauh lebih licik dan penuh dendam berbanding watak utama biasa.
Berdasarkan novel Obsessive Tyrant, Jo Eun Ae digambarkan sebagai watak utama yang berhati murni. Oleh itu, apabila Cha Sun Chaek (lakonan Seohyun dari SNSD) secara tiba-tiba terperangkap ke dalam dunia novel tersebut dan berinteraksi dengan watak-watak di dalamnya, dia masih mempercayai bahawa Jo Eun Ae kekal sebagai gadis baik yang dikenalnya melalui pembacaan.
Namun sangkaannya meleset sama sekali. Sun Chaek akhirnya mendapati bahawa bukan sahaja jalan cerita novel itu telah berubah, malah watak Eun Ae juga telah berubah sepenuhnya, daripada seorang yang baik hati kepada musuh utama yang penuh dendam. Apakah sebenarnya yang mendorong perubahan mendadak dalam diri Jo Eun Ae?
1. Yatim Piatu yang Tidak Mahu Terus Hidup Dalam Aib

Eun Ae ialah seorang anak yatim piatu yang diambil sebagai anak angkat oleh seorang bangsawan. Namun status itu membuatkan dirinya berasa rendah diri dan mahu mengubah takdir hidupnya. Beliau mula obses untuk menaikkan darjat demi diterima sebagai orang yang setara.
2. Dipandang Hina Sepanjang Hidup

Disebabkan latar belakangnya, Eun Ae sering dihina dan dipandang rendah oleh orang di sekelilingnya. Lantaran itu, dia sanggup melakukan apa sahaja semata-mata untuk meraih pengiktirafan dan penghormatan daripada masyarakat.
3. Mahu Berteman Demi Perhatian, Tapi Tetap Terpinggir

Eun Ae pernah cuba berkawan dengan anak perempuan seorang menteri agar dirinya juga dapat menumpang perhatian dan kedudukan. Namun hakikatnya, Cha Sun Chaek tetap menjadi pusat perhatian, sekali gus menambah luka dalam hati Eun Ae.
4. Dihina Sebagai Anak Angkat yang Tidak Bermaruah

Orang ramai bukan sahaja mengenali Eun Ae sebagai anak yatim piatu, malah menyebarkan fitnah kononnya dia melakukan perbuatan terkutuk dengan bapa angkatnya. Perkara ini menanam amarah dan dendam yang mendalam dalam dirinya.
5. Namanya Tersalah Sebut Oleh Putera Idaman

Putera Yi Beon (lakonan Ok Taecyeon), lelaki yang menjadi dambaan ramai wanita, telah tersilap menyebut nama Eun Ae sebagai Do Hwa Seon (lakonan Ji Hye Won). Kesilapan kecil itu menjadi pencetus kemarahan besar Eun Ae, membuatkan dirinya lebih terdesak untuk mengubah takdirnya.
6. Sanggup Membeli Gelaran Palsu Demi Kedudukan

Demi menyertai pemilihan bakal isteri kepada Putera Yi Beon, Eun Ae sanggup membeli surat bangsawan palsu. Namun hajatnya terkubur apabila pemilihan itu dibatalkan disebabkan insiden yang berpunca daripada Sun Chaek.
7. Cemburu Melihat Kasih Sayang Putera Terarah kepada Sun Chaek

Lebih memilukan, Putera Yi Beon akhirnya menyatakan rasa sukanya kepada Sun Chaek secara terbuka, sekali gus membakar bara cemburu dalam diri Eun Ae dan menjadikannya semakin marah kepada gadis itu.
8. Menyalahkan Sun Chaek Atas Segala Kegagalannya

Bagi Eun Ae, Sun Chaek adalah penghalang utama dalam hidupnya, gadis yang telah menghancurkan semua perancangannya untuk menjadi isteri Putera Yi Beon dan bangsawan yang dihormati. Rasa benci terhadap Sun Chaek membuak-buak.
Sun Chaek yang pada awalnya tampil menyokong dan membela Eun Ae ketika semua orang mencemuhnya, akhirnya menjadi mangsa kebencian. Eun Ae yang dulu dianggap mangsa keadaan, kini berubah menjadi penjahat sebenar, membalas kebaikan dengan pengkhianatan.
Lebih mengejutkan, Jo Eun Ae mengkambinghitamkan Hwa Seon, seorang wanita yang dikenali kerana sanggup berbuat apa sahaja demi cita-cita, sebagai dalang kepada penculikan Sun Chaek. Kejahatan Jo Eun Ae bukan sahaja dipandu oleh dendam, malah disokong oleh obsesi buta terhadap kekuasaan dan gelaran.
Perubahan jalan cerita dalam novel ini turut mengubah siapa JonEun Ae sebenarnya. Daripada watak utama yang baik, dia kini muncul sebagai penjahat utama yang penuh tipu muslihat. Daripada wajah seindah bidadari, tersingkap hati sehitam malam.
The First Night With the Duke akan melabuhkan tirai kisahnya pada 18 Jun ini. Jangan lupa saksikan ya!








