Siapa Tom Lee dalam Agent Kim Reactivated? Ketahui identiti sebenar watak misteri yang muncul pada babak end credit serta kaitannya dengan White Tiger Job Center dan kemungkinan Musim 2.
Penamat drama aksi Agent Kim Reactivated bukan sahaja memberikan pengakhiran yang memuaskan buat misi Kim menyelamatkan anak perempuannya, malah turut meninggalkan satu kejutan besar menerusi kemunculan seorang lelaki misteri pada babak penghujung (end credit).
Walaupun wajahnya tidak diperlihatkan dengan jelas, peminat setia webtoon pantas mengenal pasti individu tersebut sebagai Tom Lee, atau nama sebenarnya Lee Do Gyu, salah seorang watak paling berpengaruh dalam dunia PTJ Universe yang merangkumi siri webtoon popular seperti Manager Kim dan Lookism.
Bagi penonton yang hanya mengikuti versi drama, kemunculan lelaki ini mungkin menimbulkan persoalan. Siapakah sebenarnya lelaki ini dan mengapa kehadirannya dianggap cukup penting sehingga dipercayai menjadi petunjuk kepada musim kedua?
Tom Lee bukan watak biasa

Dalam versi webtoon, beliau merupakan pengasas dan ketua kepada White Tiger Job Center (Baekho Human Resource), sebuah organisasi yang menghimpunkan individu berbakat dalam operasi keselamatan, perlindungan VIP, misi khas serta kerja-kerja berisiko tinggi.
Namun, di sebalik imejnya yang sering kelihatan pelik, suka bergurau dan sukar dijangka, dia sebenarnya ialah antara petarung paling digeruni dalam keseluruhan PTJ Universe.
Malah, dia juga merupakan bekas ahli kumpulan legenda Gapryong Kim’s Fist Gang, menjadikan reputasinya sebagai antara individu paling berbahaya dalam dunia tersebut.
Kenapa Manager Kim bekerja dengan Tom Lee?

Ramai yang menyangka Manager Kim menyertai organisasi Tom Lee kerana mahu kembali menjadi ejen elit.
Hakikatnya, sebab utama jauh lebih sederhana.
Selepas meninggalkan kehidupan sebagai anggota operasi khas, Manager Kim hanya mahu hidup tenang bersama anak perempuannya, Minji. Namun, kemahiran luar biasanya menyebabkan sukar baginya mendapatkan pekerjaan biasa.
Di sinilah Tom Lee menawarkan peluang kepada Kim untuk menyertai White Tiger Job Center.
Organisasi itu membolehkan Manager Kim menggunakan kepakaran yang dimilikinya bagi memperoleh pendapatan, tanpa perlu kembali berkhidmat sebagai ejen kerajaan sepenuh masa.
Walaupun berstatus majikan dan pekerja, hubungan mereka dibina atas rasa saling menghormati. Tom Lee sangat mengiktiraf kemampuan Manager Kim, manakala Kim sendiri sedar Tom Lee ialah individu yang memiliki kekuatan luar biasa.
Pratonton Episod 9 Agent Kim Reactivated Mendedahkan Misi Berisiko Tinggi Yang Bakal Mengubah Nasib Manager Kim
Dari Webtoon ke Drama: Kisah Asal Manager Kim Di Sebalik Agent Kim Reactivated
Kemunculan Tom Lee sebenarnya sudah lama berlaku dalam webtoon

Bagi pembaca webtoon, Tom Lee bukanlah watak baharu.
Beliau diperkenalkan secara rasmi sekitar Chapter 148 menerusi bab bertajuk “At Least Bring Dogyu Lee (a.k.a. Tom Lee)”, sebelum memainkan peranan yang semakin besar dalam perkembangan cerita selepas itu.
Sehingga kini, siri webtoon Manager Kim telah melepasi 248 bab, menjadikan kemunculan Tom Lee sebagai titik perubahan penting yang mengembangkan skala penceritaan daripada sekadar misi menyelamatkan Minji kepada konflik yang lebih besar dalam PTJ Universe.
Petunjuk jelas untuk Musim 2?

Babak penghujung drama memperlihatkan Manager Kim bersetuju untuk berkhidmat di bawah White Tiger Job Center sebelum berdepan seorang lelaki bertubuh besar yang wajahnya sengaja dirahsiakan.
Berdasarkan jalan cerita asal webtoon, lelaki tersebut dipercayai ialah Tom Lee. Adegan itu dilihat sebagai petunjuk paling jelas bahawa sekiranya Agent Kim Reactivated diteruskan ke musim kedua, jalan cerita bakal memfokuskan kehidupan baharu Manager Kim sebagai anggota White Tiger Job Center serta pertemuannya dengan salah satu watak yang digeruni ini.
Walaupun setakat ini SBS dan pihak produksi masih belum mengumumkan secara rasmi pembikinan Musim 2, babak tambahan itu sengaja meninggalkan persoalan yang membuka ruang kepada kesinambungan cerita pada masa hadapan.
Bagi peminat webtoon, kemunculan Tom Lee hanyalah permulaan kepada dunia Manager Kim yang jauh lebih luas. Manakala bagi penonton drama, watak misteri itu mungkin bakal menjadi individu paling penting sekiranya siri aksi popular tersebut kembali dengan musim baharu.









