Mencapai lebih daripada 10 juta penonton merupakan satu pencapaian luar biasa dalam industri perfileman Korea Selatan. Tidak banyak filem mampu menembusi angka ini, setakat ini, hanya 33 buah filem Korea yang berjaya melakukannya.
Menariknya, filem Silmido (2003) lakonan Sol Kyung Gu merupakan filem pertama yang berjaya mencapai lebih daripada 10 juta penonton di pawagam.
Bagi korang yang ingin tahu filem Korea mana yang mula-mula mencatat kejayaan luar biasa ini, jom lihat senarainya di bawah!
1. Silmido (2003)

Silmido ialah filem Korea bertemakan ketenteraan yang diilhamkan daripada kisah benar Unit 684, pasukan khas yang ditubuhkan Korea Selatan pada tahun 1968 dengan tujuan untuk membunuh Presiden Korea Utara, Kim Il Sung.
Unit ini dibentuk sebagai tindak balas kepada cubaan pembunuhan terhadap Presiden Korea Selatan Park Chung Hee oleh pihak Korea Utara. Para banduan telah dilatih menjadi mesin pembunuh di Pulau Silmi (Silmido). Namun, misi balas dendam tersebut berakhir dengan tragedi besar yang pernah cuba disembunyikan daripada pengetahuan umum.
Filem Korea arahan Kang Woo Suk ini meraih lebih 11 juta penonton, sekali gus menandakan sejarah baharu dalam dunia perfileman Korea.
2. Taegukgi: Brotherhood of War (2004)

Kisah persaudaraan dalam zaman perang menjadi inti utama filem ini. Berlatarbelakangkan Perang Korea tahun 1950, dua beradik, Jin Tae (Jang Dong Gun) dan Jin Suk (Won Bin), terpaksa menyertai medan perang.
Kerana kasih terhadap adiknya yang masih belajar, Jin Tae sanggup menyertai misi bunuh diri demi memastikan Jin Suk dapat pulang dengan selamat. Namun, niatnya disalah faham dan menyebabkan konflik emosi yang mendalam antara mereka.
Diarahkan oleh Kang Je Gyu, filem Kore ini berjaya menarik 11.7 juta penonton dan telah dua kali ditayangkan semula di pawagam Korea Selatan, pada tahun 2021 dan 2025.
Filem Korea “MURDER REPORT” (2025), Pertarungan Psikologi Dua Jiwa Dalam Satu Ruang Penuh Rahsia
3. King and the Clown (2005)

Filem sejarah (sageuk) pertama yang berjaya menembusi 12.3 juta penonton. Ia mengisahkan dua badut, Jang Saeng (Kam Woo Sung) dan Gong Gil (Lee Joon Gi), yang dituduh mengkhianati negara.
Untuk menyelamatkan nyawa, mereka perlu membuat Raja Yeon San (Jung Jin Young) ketawa. Kejayaan mereka membawa mereka ke istana, namun menjadi permulaan kepada konflik besar apabila sang raja mula menaruh hati terhadap Gong Gil.
4. Tidal Wave (2009)

Filem Korea ini menampilkan kisah penuh debaran tentang sekumpulan watak yang berjuang untuk hidup apabila tsunami melanda Pantai Haeundae.
Amaran awal daripada ahli geologi, Kim Hee (Park Joong Hoon) diabaikan pihak berkuasa, menyebabkan penduduk hanya mempunyai 10 minit untuk menyelamatkan diri apabila gelombang besar benar-benar tiba.
Antara watak penting ialah Man Sik (Sol Kyung Gu) dan Yeon Hee (Ha Ji Won), pasangan yang baru sahaja menyatakan perasaan mereka sebelum dilanda malapetaka. Filem ini mencatat 11.4 juta penonton di seluruh negara.
5. The Thieves (2012)

Seperti tajuknya, filem ini mengisahkan kumpulan pencuri profesional yang diketuai Popeye (Lee Jung Jae) dan bekerjasama dengan pasukan dari China untuk merompak berlian bernilai 20 juta dolar bernama Tear of Sun.
Diarahkan oleh Choi Dong Hoon, filem Korea ini dipenuhi ketegangan, pengkhianatan, dan plot twist menarik, menjadikannya salah satu filem paling menghiburkan yang berjaya mencapai 12.9 juta penonton di pawagam.
6. Masquerade (2012)

Menyusul kejayaan King and the Clown, filem Masquerade turut mencatat 12.3 juta penonton.
Berlatar zaman Dinasti Joseon, pelakon Lee Byung Hun memegang dua watak, Raja Gwanghae dan Ha Sun, seorang badut yang menjadi pengganti raja selepas ancaman pembunuhan muncul.
Namun, semakin lama Ha Sun berperanan sebagai raja, semakin banyak keputusan bijak dan berhati rakyat yang dilakukannya sendiri, menimbulkan syak wasangka dan konspirasi politik baharu di istana.
Keenam-enam filem Korea ini membuktikan bahawa cerita yang kuat, pengarahan berkualiti, dan lakonan hebat mampu menarik berjuta-juta penonton.
Jadi, korang dah tonton semua belum?








