Home Kdrama/Kmovie Movie Review: Dari Train To Busan ke Colony (2026), Yeon Sang-ho Cipta Evolusi...

Review: Dari Train To Busan ke Colony (2026), Yeon Sang-ho Cipta Evolusi Baharu Zombi Korea

0

Filem Korea terbaru Colony (2026) arahan Yeon Sang-ho tampil dengan konsep zombi berevolusi dan “hive mind” yang rare dan menyeramkan. Dibintangi Ji Chang-wook, Jun Ji-hyun serta Koo Kyo-hwan, filem ini kini hangat diperkatakan selepas mencuri perhatian di Festival Filem Cannes.

Colony (2026) bukan sekadar sebuah karya seram biasa, malah memperkenalkan konsep zombi yang berevolusi dengan “kecerdasan kolektif”, sekali gus memberikan nafas baharu kepada genre survival thriller moden.

Selepas kejayaan fenomena Train To Busan dan Peninsula, Yeon Sang-ho dilihat terus memperkukuhkan reputasinya sebagai antara pembikin filem zombi paling berpengaruh di Asia.

Colony (2026) turut mencipta perhatian antarabangsa apabila ditayangkan dalam segmen Midnight Screenings di Festival Filem Cannes tahun ini, menandakan kali keempat Yeon dijemput ke festival filem berprestij tersebut.

COLONY (2026) – Virus Misteri Cetus Kekacauan Dalam Bangunan Mewah Seoul

Colony (2026)
Colony (2026)

Plot Colony (2026) berlatarbelakangkan sebuah bangunan pencakar langit moden di tengah bandar Seoul yang menjadi lokasi persidangan bioteknologi. Situasi bertukar menjadi mimpi ngeri apabila seorang penyelidik bernama Seo Young-cheol, lakonan Koo Kyo-hwan, melepaskan virus misteri ciptaannya ke dalam bangunan tersebut.

Virus berbahaya itu bukan sahaja menjangkiti manusia menjadi zombi ganas, malah makhluk tersebut turut mengalami mutasi berperingkat. Pada awalnya mereka bergerak seperti haiwan liar berkaki empat, namun lama-kelamaan berevolusi menjadi makhluk lebih kuat dan tersusun melalui satu rangkaian komunikasi seakan “hive mind”.

Seo Young-cheol percaya manusia masa depan perlu dihubungkan dan dikawal melalui satu rangkaian komunikasi kolektif. Ideologi ekstrem inilah yang menjadi pencetus kepada mutasi virus dan kekacauan besar dalam bangunan tersebut.

Konsep inilah yang menjadikan filem Colony (2026) berbeza daripada filem zombi konvensional. Zombi-zombi dalam filem ini mampu belajar, berkongsi maklumat dan berkembang secara kolektif, sekali gus menjadikan ancaman mereka jauh lebih sukar dikawal.

Sekumpulan Mangsa Perlu Bertahan Hidup

Colony (2026)

Ketika bangunan dikunci pihak berkuasa bagi membendung wabak, sekumpulan individu yang terperangkap terpaksa bekerjasama demi kelangsungan hidup mereka.

Antara watak utama termasuk profesor bioteknologi Kwon Se-jeong lakonan Jun Ji-hyun, pengawal keselamatan Hyun-seok yang dimainkan Ji Chang-wook, serta kakaknya Hyun-hee lakonan Kim Shin-rock yang merupakan seorang pakar IT berkerusi roda.

Mereka perlu mencari Seo Young-cheol dan membawa beliau ke bumbung bangunan sebelum pasukan penyelamat tiba. Dalam masa sama, mereka turut berdepan ancaman zombi yang semakin pintar dan agresif.

Filem ini turut menampilkan konflik dalaman manusia apabila para mangsa mula saling mencurigai, selain terpaksa membuat keputusan sukar demi terus hidup. Unsur birokrasi dan kelemahan pihak berkuasa juga digambarkan sebagai faktor yang memburukkan lagi keadaan.

COLONY (2026): Filem Zombi Korea Arahan Yeon Sang Ho Satukan Jun Ji Hyun dan Ji Chang Wook
“The Punisher: One Last Kill” Disifatkan Produk MCU Paling Brutal Setakat Ini

Visual, Koreografi dan Aksi Jadi Kekuatan Utama

Antara elemen paling dipuji dalam filem Colony (2026) ialah visual sinematik dan koreografi pergerakan zombi yang sangat unik dan realistik. Menurut sumber, zombi dalam filem ini digerakkan oleh kumpulan penari moden profesional, menjadikan setiap pergerakan mereka kelihatan lebih artistik dan realistik, namun menyeramkan.

Salah satu babak yang paling mencuri perhatian ialah adegan zombi bergerak secara berpusar seperti “pusaran semut”, fenomena semut berpusing sehingga mati yang disifatkan menyerupai persembahan tarian moden penuh hipnosis.

Yeon Sang-ho juga memanfaatkan sepenuhnya ruang dalam bangunan pencakar langit tersebut. Dari pusat beli-belah, lif, ruang pejabat hinggalah ke kawasan bawah tanah, setiap lokasi digunakan untuk membina ketegangan dan aksi survival yang mendebarkan.

Jika anda peminat siri popular Barat The Last of Us, anda pasti akan menyedari sedikit persamaan menerusi elemen “hive mind” yang diketengahkan dalam Colony (2026). Namun begitu, filem ini tetap berjaya mengekalkan identitinya tersendiri melalui gaya pengarahan Yeon Sang-ho yang lebih pantas, brutal dan sarat dengan kekacauan visual mendebarkan.

Ji Chang-wook Paling Menyerlah dalam Babak Emosi dan Pertarungan

collage export 770C19E8 684D 4F12 BF53 5DB2A55C744D scaled

Walaupun filem ini dipenuhi adegan aksi dan serangan zombi tanpa henti, pembangunan karakter dalam Colony (2026) agak terhad kerana tempo penceritaan yang terlalu pantas.

Namun begitu, hubungan antara watak Hyun-seok dan kakaknya Hyun-hee antara elemen emosi paling kuat dalam filem tersebut. Ji Chang-wook berjaya membawa babak pertarungan dan emosi dengan sangat berkesan.

Colony adalah sebuah filem yang lebih menekankan pengalaman visual dan ketegangan berbanding eksplorasi mendalam terhadap karakter.

Mampukah “Colony” Ulang Fenomena Train To Busan?

IMG 8110

Colony (2026) mungkin tidak memberi impak budaya sebesar Train To Busan, namun pujian harus diberikan kepada filem ini sebagai naskhah survival horror moden yang menghiburkan dan penuh gaya visual.

Dengan gabungan aksi intens, zombi berevolusi, sinematografi berkualiti tinggi dan barisan pelakon popular Korea Selatan, Colony (2026) pastinya menjadi antara filem Korea paling diperkatakan tahun ini.

Bagi peminat genre thriller dan zombi, filem ini dilihat mampu memberikan pengalaman menonton yang mendebarkan serta berbeza daripada kebanyakan karya survival apocalypse lain di pasaran. Jadi pastikan anda menontonnya di layar besar seperti pawagam bagi mendapatkan pengalaman tontonan yang mengujakan!