Home Disney+ “The Punisher: One Last Kill” Disifatkan Produk MCU Paling Brutal Setakat Ini

“The Punisher: One Last Kill” Disifatkan Produk MCU Paling Brutal Setakat Ini

0

Marvel sekali lagi mencetuskan perbualan hangat dalam kalangan peminat apabila tayangan khas Disney+, The Punisher: One Last Kill, mula menerima reaksi awal daripada pengkritik luar negara.

Namun kali ini, perhatian bukan sekadar tertumpu kepada aksi ganas Frank Castle, tetapi juga tahap kekerasan melampau yang dikatakan antara paling ekstrem pernah dipaparkan dalam Marvel Cinematic Universe (MCU).

Tayangan khas tersebut digambarkan sebagai “produk MCU paling berdarah dan grafik” pernah dihasilkan setakat ini. Watak Frank Castle atau The Punisher yang dibawakan semula oleh Jon Bernthal dikatakan tampil dalam versi paling gelap, agresif dan psikologi berbanding penampilannya sebelum ini.

Frank Castle Kembali Dengan Dendam Yang Tidak Pernah Padam

The Punisher: One Last Kill
The Punisher: One Last Kill

Kisah The Punisher: One Last Kill memfokuskan kepada Frank Castle yang akhirnya berjaya menghapuskan semua individu yang terlibat dalam pembunuhan keluarganya. Namun kemenangan tersebut langsung tidak membawa ketenangan buat dirinya.

Frank digambarkan hidup dalam trauma berpanjangan, dihantui rasa bersalah dan bayangan mendiang isteri serta anak-anaknya. Kota Little Sicily pula berubah menjadi lebih huru-hara selepas sindiket Gnucci yang sebelum ini menguasai kawasan tersebut tumbang di tangannya.

Kehidupan Frank selepas dendamnya selesai digambarkan kosong dan tidak bermakna. Dia malah hampir mengambil nyawanya sendiri sebelum kemunculan seorang wanita misteri yang turut kehilangan keluarga akibat tindakannya.

Situasi itu akhirnya membuka semula kitaran kebencian dan dendam yang menjadi tema utama naskhah ini.

Jon Bernthal Mahu Tampilkan Versi Punisher Paling “Unforgiving”

IMG 7754

Jon Bernthal yang turut terlibat sebagai penulis untuk projek ini menjelaskan bahawa One Last Kill bukan sekadar kisah aksi biasa.

Pelakon tersebut mahu membawa sisi Frank Castle yang lebih kompleks dari sudut psikologi dan emosi. Menurutnya, setiap keganasan yang berlaku dalam cerita ini mempunyai “harga” yang perlu dibayar oleh semua pihak.

Pendekatan itu menjadikan The Punisher: One Last Kill jauh lebih berat berbanding kebanyakan projek MCU lain yang lazimnya masih mengekalkan elemen humor dan hiburan ringan.

Sebaliknya, tayangan khas ini memilih untuk menyelami trauma, kebencian, kekosongan jiwa dan kesan buruk budaya balas dendam tanpa henti.

“Colony” (2026) Jadi Prekuel “Train To Busan”, Dedah Asal-Usul Wabak Zombi Dalam Universe Thriller Popular Korea
13 Drama & Filem Berdasarkan Kisah Benar Pembunuhan Bersiri Hwaseong Yang Pernah Gegarkan Korea

Antara Kandungan Paling Grafik Dalam Sejarah MCU

IMG 7753

Apa yang paling mengejutkan ramai penonton awal ialah tahap keganasan yang dipaparkan.

Penonton akan disajikan dengan adegan tikaman berulang kali, pembunuhan menggunakan kapak, letupan berdarah, serangan brutal serta pelbagai babak ganas yang dipaparkan secara terperinci di skrin. Malah, hampir keseluruhan 30 minit terakhir tayangan dipenuhi aksi rusuhan berdarah tanpa henti.

Bukan itu sahaja, kandungan dewasa lain turut diperkatakan termasuk bahasa kesat melampau, unsur seksual, adegan berunsur lucah dan tema jenayah berat yang menjadikan projek ini jauh lebih matang berbanding standard biasa Marvel Studios.

Disebabkan itu, ramai mula beranggapan Disney dan Marvel kini semakin berani meneroka kandungan dewasa selepas kejayaan beberapa projek berstatus TV-MA sebelum ini.

Reaksi Peminat Marvel Mula Berbelah Bahagi

The Punisher: One Last Kill

Walaupun ramai peminat teruja melihat Marvel tampil lebih berani, terdapat juga penonton yang mula mempersoalkan hala tuju baharu MCU.

Sebahagian peminat menyifatkan pendekatan lebih gelap ini sesuai dengan identiti The Punisher yang sememangnya terkenal sebagai antihero brutal dalam komik Marvel.

Namun ada juga yang merasakan tahap keganasan melampau itu mungkin keterlaluan untuk sebuah projek di bawah jenama Disney.

Dalam masa sama, ramai percaya kemunculan semula Frank Castle bakal membuka ruang kepada lebih banyak projek dewasa dalam MCU pada masa akan datang, khususnya melibatkan karakter seperti Daredevil, Blade dan Ghost Rider.

Marvel Kini Semakin Berani Keluar Dari Formula Lama?

The Punisher: One Last Kill

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Marvel Studios menerima kritikan kerana terlalu bergantung kepada formula humor dan aksi ringan.

Disebabkan itu, kehadiran The Punisher: One Last Kill dilihat sebagai percubaan Marvel untuk menawarkan sesuatu yang lebih serius, emosional dan ganas kepada penonton dewasa.

Jika benar tayangan khas ini menjadi projek MCU paling brutal setakat ini, ia mungkin menandakan perubahan besar terhadap masa depan kandungan Marvel di Disney+.

Apa pun, satu perkara pasti, The Punisher: One Last Kill bukanlah tontonan santai untuk semua lapisan penonton.