Anime Mechanical Marie telah mula ditayangkan secara rasmi sejak 5 Oktober lalu dan kini telah menyiarkan empat episod pertama.
Barisan pelakon suara termasuklah Nao Toyama sebagai Marie, Haruki Ishiya sebagai Arthur, Saima Nakano sebagai Bridget, Yo Taichi sebagai Isabel, Shuntaro Hara sebagai Toby, Kappei Yamaguchi sebagai Tuan Carl, dan Rieko Takahashi sebagai Puan Charlotte.

Siri ini diterbitkan oleh Zero-G dan Liber, dengan Junji Nishimura sebagai pengarah, Mariko Kunisawa sebagai penulis skrip, Yoko Kikuchi sebagai pereka watak, manakala muzik digubah oleh Yasuharu Takanashi dan Johannes Nilsson.
Lagu pembukaan bertajuk Honto to Uso (Truth and Lies) dinyanyikan oleh Harutya, sementara lagu penutup Cross Heart: Itsuwari no Nai Kimochi (Cross Heart: Feelings with No Lies) dibawakan oleh Nao Toyama.

Anime Mechanical Marie diadaptasi daripada manga karya Aki Akimoto yang juga bertindak sebagai penulis dan pelukis. Pada awalnya, manga ini diterbitkan sebagai one-shot dalam majalah LaLa milik Hakusensha pada 24 Mac 2020.
Tidak lama kemudian, kisah tersebut dikembangkan menjadi siri penuh yang disiarkan dalam majalah sama dari 24 Jun 2020 hingga 23 Jun 2023.

Mechanical Marie mengisahkan Marie, seorang bekas pejuang handal yang kini bekerja sebagai pelayan peribadi kepada Arthur, pewaris tunggal kepada sebuah keluarga konglomerat ternama.
Namun, kerana Arthur menyimpan kebencian mendalam terhadap manusia, Marie terpaksa menyamar sebagai robot agar dapat bekerja di sisinya. Arthur menunjukkan kasih sayang luar biasa terhadap benda tidak bernyawa, dan memperlakukan “robot” bernama Marie itu dengan kelembutan yang tidak pernah diberikan kepada manusia lain.

Dalam masa yang sama, pembunuh upahan terus diupah untuk menamatkan riwayat Arthur, menjadikan Marie perlu bertarung setiap hari demi melindungi tuannya. Lama-kelamaan, Marie mula menyedari bahawa perasaan kasih dan cintanya terhadap Arthur semakin mendalam.
🎥 Tonton treler anime Mechanical Marie di sini:
Watak-watak Sokongan Dalam Mechanical Marie
Maynard

Saudara ipar Arthur yang membenci kebijaksanaan dan kemampuan luar biasa milik Arthur. Beliau sering menghantar pembunuh upahan — termasuk Noah — untuk menyingkirkan Arthur dan menghapuskan warisannya.
Noah

Seorang pembunuh upahan yang disewa oleh Maynard untuk menamatkan Arthur. Dia memiliki kekuatan luar biasa dan hampir menewaskan Marie. Namun, di tengah pertarungan sengit itu, Noah mula tertarik terhadap Marie, menjadikan misi asalnya bercampur-baur dengan perasaan yang tidak dijangka.
Marie 2

Robot pembantu rumah berteknologi tinggi yang dicipta oleh Roy, dilengkapi kecerdasan buatan (AI) serta kemahiran bertarung yang hebat. Ia berfungsi dengan cemerlang dalam tugasnya sebagai pelayan.
Roy

Bekas pembantu kepada ayah Arthur dan individu pertama yang menemui serta merekrut Marie sebagai pelayan. Walaupun sering kelihatan tegas terhadap Marie, Roy sebenarnya seorang yang penyayang dan bertanggungjawab.
Bridget

Rakan sekelas Marie di sekolah dan ahli Arthur Fan Club, sebuah kelab peminat yang taksub dengan sikap dingin serta sinis Arthur. Nama kelab itu mungkin kedengaran pelik, tetapi anggotanya benar-benar mengagumi keperibadian Arthur yang misterius.
Isabel

Kerabat jauh Arthur dan tunangan kepada Maynard, namun dia mendakwa dirinya tunangan Arthur. Isabel menyimpan rasa dendam dan cemburu mendalam terhadap Marie.
Toby

Pelajar senior di sekolah tempat Marie menuntut dan ahli Kelab Penyelidikan Ekologi Haiwan. Dia memelihara ayam dan sering membawa haiwan peliharaannya ke sekolah.
Tuan Carl

Kerabat jauh Arthur dan satu-satunya ahli keluarga yang benar-benar bersikap baik terhadapnya, sedangkan kebanyakan ahli keluarga lain membencinya.
Puan Charlotte

Isteri kepada Tuan Carl serta salah seorang kerabat terdekat Arthur.







