Bulan November hadir dengan pelbagai drama Korea terbaharu yang dijamin menghiburkan.
Daripada kisah cinta lucu Dynamite Kiss lakonan Jang Ki Yong, kepada Nice to Not Meet You yang menandakan kemunculan semula Lee Jung Jae, hingga Moon River yang menampilkan Kim Sejeong dan Kang Tae Oh bertukar tubuh, semuanya membuatkan penonton tak sabar menunggu setiap episod baharu.
Bukan itu sahaja, deretan drama Korea bergenre thriller dan aksi balas dendam turut memanaskan suasana, termasuk Taxi Driver 3, yang menampilkan Lee Je Hoon sebagai pemandu teksi misterius yang memburu keadilan buat mangsa yang teraniaya.
Berikut senarai 11 drama Korea terbaharu yang bakal menemani korang sepanjang November 2025:
1. Last Summer

Pelakon: Lee Jae Wook, Choi Sung Eun
Tarikh Siaran: 1 November 2025
Kisah cinta dua jiran, Baek Do Ha dan Song Ha Kyeong, yang rumah mereka hanya dipisahkan oleh satu dinding berlubang. Walaupun sering bertengkar, Song Ha Kyeong sebenarnya menyimpan perasaan terhadap Do Ha, yang hanya pulang ke Korea Selatan setiap musim panas.
Drama 12 episod ini disiarkan setiap Sabtu dan Ahad, jam 9.20 malam (KST) di KBS2.
2. Nice to Not Meet You

Pelakon: Lee Jung Jae, Lim Ji Yeon
Tarikh Siaran: 3 November 2025
Komedi romantik ini mengisahkan pelakon terkenal Hyun Joon (Lee Jung Jae) yang sering memainkan watak detektif, bertembung dengan wartawan Wi Jung Sook (Lim Ji Yeon) yang kehilangan pekerjaan akibat skandal rasuah besar. Pertemuan mereka yang tegang akhirnya berubah menjadi hubungan penuh rasa.
Disiarkan setiap Isnin dan Selasa, jam 8.50 malam (KST) di tvN, dan boleh ditonton eksklusif di Prime Video.
3. The Manipulated

Pelakon: Ji Chang Wook, D.O. (EXO)**
Tarikh Siaran: 5 November 2025
Adaptasi daripada filem Fabricated City (2017), lakonan Ji Chang Wook sendiri. Kisahnya tentang seorang penghantar makanan, Tae Joong, yang dituduh melakukan jenayah dan dipenjarakan. Selepas menyedari dirinya diperdaya, dia bangkit menuntut pembalasan terhadap dalang sebenar, Yo Han (Do Kyung Soo).
Empat episod pertama disiarkan pada 5 November 2025, diikuti dua episod baharu setiap Rabu di Disney+ Hotstar.
4. Dear X

Pelakon: Kim Yoo Jung, Kim Young Dae
Tarikh Siaran: 6 November 2025
Adaptasi daripada webtoon popular, drama Korea Dear X mengisahkan pelakon terkenal Baek A Jin (Kim Yoo Jung) yang menyembunyikan masa lalu penuh penderitaan akibat penderaan semasa kecil. Di sebalik imej sempurna, dia sanggup mengorbankan sesiapa sahaja termasuk kekasihnya, Yoon Joon Seo (Kim Young Dae), demi kelangsungan hidup.
Tayangan eksklusif di HBO Max untuk penonton antarabangsa.
5. As You Stood By

Pelakon: Jeon So Nee, Lee Yu Mi
Tarikh Siaran: 7 November 2025
Drama Korea ini mengisahkan Eun Soo (Jeon So Nee), pekerja di pasar raya mewah yang membantu rakannya Hee Soo (Lee Yu Mi) menuntut keadilan selepas menjadi mangsa keganasan rumah tangga. Mereka merancang strategi berani untuk menamatkan penderitaan Hee Soo.
Lapan episod drama ini disiarkan serentak di Netflix pada 7 November 2025.
6. Moon River

Pelakon: Kim Sejeong, Kang Tae Oh
Tarikh Siaran: 7 November 2025
Putera Mahkota Yi Kang (Kang Tae Oh) yang dibayangi trauma masa lalu tiba-tiba bertukar tubuh dengan peniaga jalanan licik, Park Dal Yi (Kim Sejeong).
Drama Korea ini disiarkan setiap Jumaat dan Sabtu, jam 9.50 malam (KST) di KBS2 dan Viu.
7. There’s No Next Life

Pelakon: Kim Hee Seon, Han Hye Jin, Jin Seo Yeon
Tarikh Siaran: 10 November 2025
Tiga wanita berusia 41 tahun berdepan realiti hidup masing-masing. Jo Na Jeong (Kim Hee Seon) ingin kembali sebagai pengacara jualan selepas berhenti demi keluarga, Ku Ju Young (Han Hye Jin) berjuang untuk mendapatkan zuriat, manakala Lee Il Li (Jin Seo Yeon) masih mencari jodoh.
Ditayangkan setiap Isnin dan Selasa, jam 10.00 malam (KST) di TV Chosun.
8. Dynamite Kiss

Pelakon: Jang Ki Yong, Ahn Eun Jin
Tarikh Siaran: 12 November 2025
Ko Da Rim (Ahn Eun Jin) berpura-pura sudah berkahwin demi mendapat pekerjaan di syarikat barangan bayi. Namun keadaan jadi huru-hara apabila dia secara tidak sengaja mencium bosnya, Kong Ji Hyeok (Jang Ki Yong), yang akhirnya jatuh hati padanya!
Disiarkan setiap Rabu dan Khamis, jam 10.00 malam (KST) di SBS, dan boleh ditonton di Netflix.
9. The 4th Love Revolution

Pelakon: Kim Yo Han, Hwang Boreumbyeol
Tarikh Siaran: 13 November 2025
Kang Min Hak (Kim Yo Han), pelajar popular yang sering menyertai rancangan temu janji, bertemu Joo Yeon San (Hwang Boreumbyeol), pelajar cemerlang yang langsung tidak percaya pada cinta. Pertemuan mereka membuka lembaran baharu dalam kisah cinta kampus yang hangat.
Drama Korea ini disiarkan setiap Khamis di Wavve dan Viu.
10. Heroes Next Door

Pelakon: Yoon Kye Sang, Jin Sun Kyu, Kim Ji Hyun, Lee Jung Ha
Tarikh Siaran: 17 November 2025
Sekumpulan bekas anggota pasukan khas bersatu semula, bukan untuk mempertahankan negara, tetapi untuk melindungi keluarga dan kejiranan mereka. Gabungan jenaka dan aksi ini menjanjikan tontonan ringan tetapi menghiburkan.
Disiarkan setiap Isnin dan Selasa, jam 10.00 malam (KST) di ENA.
11. Taxi Driver 3

Pelakon: Lee Je Hoon, Pyo Ye Jin
Tarikh Siaran: 21 November 2025
Siri ketiga daripada francais popular ini kembali dengan kisah lebih gelap dan mendebarkan. Kim Do Gi (Lee Je Hoon), pemandu teksi misterius, kini bekerjasama dengan Interpol bagi membongkar sindiket perdagangan manusia antarabangsa.
Drama Korea ini mempunyai 16 episod dan disiarkan setiap Jumaat dan Sabtu, jam 9.50 malam (KST) di SBS dan Viu.








