SBS bakal melancarkan drama terbaharunya berjudul The Winning Try, sebuah naskhah menyentuh hati tentang sebuah pasukan ragbi sekolah yang digelar sebagai pasukan paling lemah. Seorang jurulatih baharu diambil untuk membimbing dan menaikkan semula martabat pasukan ini.
Selain kisah ragbi tersebut, terdapat juga beberapa drama Korea lain yang mengangkat kisah jurulatih sukan sebagai teras utama penceritaan untuk tahun 2025. Apakah jenis sukan yang dipaparkan? Teruskan membaca untuk mengetahuinya!
1. The Winning Try

Drama Korea ini dijadualkan ditayangkan pada 25 Julai dan mengangkat tema sukan ragbi dalam kalangan pelajar sekolah menengah. Menampilkan barisan pelakon seperti Yoon Kye Sang, Im Se Mi dan Kim Yo Han, cerita ini berfokus kepada sebuah pasukan ragbi sekolah menengah yang berada di kedudukan tercorot.
Pasukan ini terdiri daripada tujuh pelajar, termasuk ketuanya Yoon Seong Joon (lakonan Kim Yo Han), yang dahulunya merupakan pemain bola sepak tetapi beralih kepada ragbi kerana merasakan dirinya kurang berbakat dalam bola sepak. Walaupun dia seorang yang rajin dan berbakat, prestasi pasukannya kekal hambar.
Situasi ini membawa kepada pengambilan jurulatih baharu, Joo Ka Ram (lakonan Yoon Kye Sang), bekas atlet ragbi yang dahulunya cukup cemerlang tetapi kerjayanya musnah akibat terpalit skandal dadah. Joo Ka Ram kembali ke dunia sukan sebagai jurulatih yang tegas dan tidak berkompromi demi mencungkil potensi anak didiknya.
2. A Head Coach’s Turnover

Drama mini terbitan MBC ini hanya mengandungi dua episod dan berlatarkan dunia bola keranjang profesional. Ceritanya berkisar tentang Maeng Gong (lakonan Park Sung Woong), jurulatih kepada pasukan Big Pandas. Dahulu, beliau merupakan bintang bola keranjang yang ternama, namun kini berdepan tekanan selepas pasukannya gagal melayakkan diri ke peringkat playoff selama tiga tahun berturut-turut.
Kegagalan ini menimbulkan cemuhan daripada peminat dan warganet, termasuk seorang pelajar bernama Ko Hwa Jin (lakonan Park Soo Oh) yang sering meninggalkan komen pedas terhadap Maeng Gong. Namun, kebolehan Ko Hwa Jin dalam menganalisis permainan akhirnya menarik perhatian Maeng Gong, dan mereka mula bekerjasama untuk mengubah nasib pasukan Big Pandas.
3. Pump Up the Healthy Love

Drama Korea yang dibintangi oleh Lee Jun Young ini mengisahkan tentang Do Hyun Joong (lakonan Lee Jun Young), seorang atlet bina badan yang menjuarai pertandingan Mr. David, namun secara tiba-tiba menghilangkan diri tanpa sebab yang jelas. Rupanya, beliau kini menguruskan sebuah pusat kecergasan kecil.
Namun sikapnya yang terlalu terus terang menyebabkan ramai pelanggan yang berasa hati dan membatalkan hasrat untuk menyertai gimnya. Tanpa pelanggan, perniagaannya hampir gulung tikar. Hidupnya berubah apabila bertemu dengan Lee Mi Ran (lakonan Jung Eun Ji), seorang wanita pekerja biasa yang baru putus cinta dan nekad untuk berdiet dengan menyertai gim tersebut.
Kedua-duanya saling menyokong dalam menghadapi masalah masing-masing dan membina semangat baharu dalam hidup mereka.
Bagi para peminat dunia sukan, ketiga-tiga drama Korea tahun 2025 ini sangat sesuai ditonton secara santai-santai. Bukan sahaja menyajikan aksi di gelanggang, malah turut memberikan motivasi dan pelbagai tip kesihatan serta kecergasan. Khususnya untuk mereka yang ingin bermula bersenam atau mencari inspirasi baharu, Pump Up the Healthy Love menawarkan pendekatan menarik yang ringan tetapi menyentuh perasaan. Jadi, drama mana satu pilihan anda?








