Meteor Garden dan Cinta Sejati Para Pelakonnya Selepas Dua Dekad
Siri Taiwan Meteor Garden pernah menjadi kegilaan remaja pada awal tahun 2000-an. Pesona ahli F4 serta kisah cinta segitiga antara Dao Ming Si, Shan Chai dan Hua Ze Lei menjadikan drama ini sebagai satu legenda yang sukar dilupakan. Malah, kejayaan drama ini mencetuskan pelbagai versi adaptasi termasuk di Malaysia dan negara serantau.
Walaupun lebih dua dekad telah berlalu, kisah kehidupan sebenar para pelakon Meteor Garden masih mendapat perhatian ramai. Bukan sekadar penampilan mereka yang berubah, tetapi kisah cinta masing-masing turut menarik perhatian. Berikut adalah kisah cinta para pelakon utama Meteor Garden.
1. Barbie Hsu (San Chai)

Barbie Hsu mengambil keputusan untuk berkahwin hanya selepas 49 hari dan 4 kali pertemuan bersama ahli perniagaan dari China, Wang Xiaofei. Mereka berkahwin pada Mac 2011 dan dikurniakan dua orang cahaya mata.
Namun, rumah tangga mereka berakhir pada tahun 2021 setelah 10 tahun bersama. Difahamkan, Barbie tidak lagi mampu bertahan dengan sikap suaminya yang sering memuat naik kenyataan kontroversi di media sosial, hingga menimbulkan pertelingkahan berpanjangan.
Tiga bulan selepas bercerai, Barbie berkahwin semula dengan bekas kekasihnya, DJ Koo. Mereka mendaftar perkahwinan secara rasmi di Korea pada Mac 2022. Malangnya, kisah cinta mereka terhenti apabila Barbie meninggal dunia pada usia 48 tahun akibat radang paru-paru selepas dijangkiti selesema ketika bercuti di Jepun sempena Tahun Baharu Cina. Adiknya, Dee Hsu, mengesahkan pemergian itu pada 3 Februari 2025 menerusi kenyataan rasmi agensi.
2. Jerry Yan (Dao Ming Si)

Kejayaan dalam kerjaya tidak bermakna Jerry Yan bahagia dalam cinta. Beliau merupakan satu-satunya pelakon utama Meteor Garden yang masih belum berkahwin.
Jerry pernah bercinta dengan pelakon Taiwan, Lin Chi-ling, sejak tahun 2000. Hubungan mereka terputus sambung selama 17 tahun sebelum berakhir secara rasmi pada 2017. Menyedihkan, tidak lama selepas itu Lin Chi-ling berkahwin dengan ahli kumpulan boyband Jepun, Exile, iaitu Akira pada 6 Jun 2019. Kini, pada usia 48 tahun, Jerry Yan masih hidup bersendirian.
3. Vic Zhou (Hua Ze Lei)

Walaupun wataknya tidak berjaya menawan hati Shan Chai dalam drama, Vic Zhou sebenarnya pernah bercinta dengan Barbie Hsu di dunia nyata. Hubungan mereka bertahan beberapa ketika namun tidak berkekalan.
Akhirnya, Vic Zhou memilih aktres Reen Yu sebagai pasangan hidup. Mereka berkahwin pada November 2015 dan masih bahagia hingga kini. Hasil perkahwinan mereka, pasangan ini dikurniakan seorang anak perempuan yang lahir pada tahun 2016.
4. Ken Zhu (Xi Men)

Tidak seperti wataknya Xi Men yang kaki perempuan, Ken Zhu sebenarnya setia pada cinta. Beliau berkahwin dengan pelakon China, Vivien Han Wenwen, pada 3 September 2016 dalam satu majlis indah di Nusa Dua, Bali, yang turut menjadi medan pertemuan semula para pelakon Meteor Garden.
Walaupun sudah berumah tangga, Ken Zhu memilih untuk tidak mempunyai anak kerana bimbang akan mewariskan penyakit fibromyalgia yang dihidapinya kepada zuriatnya.
5. Vanness Wu (Mei Zuo)

Vanness Wu menjadi ahli F4 pertama yang berkahwin. Beliau berkahwin dengan sosialit Singapura, Arissa Cheo, pada 15 November 2013 di Los Angeles selepas tujuh tahun bercinta.
Malangnya, setahun selepas itu rumah tangga mereka goyah apabila mereka dilihat saling menyindir di media sosial. Pada 2018, Vanness memfailkan penceraian setelah tiga tahun tidak tinggal serumah.
6. Christine Ke (Yuan Zi)

Masih ingat watak Yuan Zi, tunang Dao Ming Si? Watak ini dilakonkan oleh Ke Huan Ru atau Christine Ke. Pada tahun 2017, beliau mengejutkan ramai apabila mendedahkan bahawa dia telah pun berkahwin sejak tahun 2014 dengan seorang lelaki bukan dari kalangan selebriti. Ini menjadi berita hangat kerana Christine Ke sangat menjaga privasi hidupnya.
7. Michelle Saram (Ye Sha)

Siapa sangka, pelakon yang membawa watak Ye Sha dalam Meteor Garden 2 akhirnya berkahwin dengan lelaki dari Indonesia? Pada tahun 2010, Michelle Saram mendirikan rumah tangga dengan Ajai Lauw Zescha, anak kepada hartawan hotel dan konglomerat terkenal Indonesia, Adrian Willem Lauw Zecha.
Setelah 15 tahun berkahwin dan dikurniakan dua cahaya mata, Michelle kini lebih banyak meluangkan masa bersama keluarga dan menjauhkan diri daripada dunia hiburan.
Begitulah kisah cinta penuh warna-warni di sebalik wajah kacak dan jelita para pelakon Meteor Garden. Ada yang kekal bahagia, ada juga yang diuji dengan kehilangan dan perpisahan. Namun satu yang pasti, drama ini dan pelakonnya tetap menjadi kenangan terindah bagi ramai peminat. Adakah anda juga merindui drama legenda ini?








