Dunia drama Korea kembali memikat dengan genre fantasi-sejarah yang membangkitkan rasa ingin tahu penonton. Berlatarkan masa silam, termasuk era Joseon yang penuh dengan konflik dan rahsia istana, barisan drama ini mengajak penonton mengembara ke dimensi berbeza yang diselitkan dengan unsur magis dan supranatural.
Beberapa judul drama Korea ini telah pun mencuri perhatian sejak sebelum tayangan lagi. Dari kisah seorang cef yang mengembara ke masa silam, misteri roh di dalam istana, sehinggalah perebutan takhta yang dipengaruhi kuasa ghaib, semuanya tampil dengan konsep yang segar dan wajib dimasukkan ke dalam senarai tontonan anda.
Jom lihat 5 drama Korea fantasi-sejarah yang paling dinanti tahun ini:
1. Bon Appetit, Your Majesty

Bayangkan anda baru sahaja memenangi pertandingan memasak berprestij di Perancis, kemudian tiba-tiba tercampak ke zaman Dinasti Joseon. Itulah yang berlaku kepada Yeon Ji Yeong, seorang cef berdarah Korea yang bersemangat ceria dan berperibadi tabah.
Sepatutnya mengetuai sebuah bistro bertaraf tiga bintang Michelin di Paris, Ji Yeong sebaliknya bertemu dengan Raja Lee Heon, pemerintah Joseon yang terkenal dengan sifatnya yang kejam.
Namun begitu, Raja tersebut mempunyai satu keistimewaan pelik: deria rasa yang sangat peka, hingga mampu membezakan rasa makanan berdasarkan perubahan cuaca. Pada awalnya menyangka Ji Yeong ialah roh sesat, Raja akhirnya jatuh cinta pada sajian masakan fusion diraja yang disediakan olehnya.
Raja mengizinkan Ji Yeong tinggal di istana, memulakan lembaran baharu dalam hidup mereka. Namun, ketenangan istana tergugat apabila Kang Mok Ju, seorang selir yang cantik dan bercita-cita tinggi, mula menimbulkan konflik. Dalam masa yang sama, Putera Je Seon, musuh politik utama Raja, terus berusaha menggulingkan takhta.
2. East Place

Satu sumpahan gelap melanda istana Putera Mahkota. Rentetan kejadian aneh mendorong Raja memanggil dua individu misteri: Gu Cheon, seorang pembunuh roh yang mampu menyeberangi alam kematian dengan pedang sucinya, dan Saeng Gang, seorang dayang istana yang dikurniakan kemampuan mendengar suara roh, satu kebolehan yang dirasakannya sebagai beban sepanjang hidupnya.
Bersama-sama, mereka membongkar rahsia menggerunkan yang tersembunyi di sebalik dinding istana yang megah. Namun di sebalik keindahan sejarah yang terpamer, tersembunyi kegelapan yang sukar dibayangkan.
3. The Remarried Empress

Navier ialah permaisuri sempurna Empayar Timur, bijak, berwibawa dan setia. Meskipun tidak mencintai Kaisar Sovieshu sebagai suami, hubungan mereka kekal harmoni, seolah-olah rakan karib dan rakan kongsi politik yang serasi.
Namun kedamaian itu musnah apabila Sovieshu membawa masuk Rashta, seorang bekas hamba pelarian, ke istana sebagai selir, sekaligus mengingkari janjinya kepada Navier.
Terkilan dan dikhianati, Navier mengambil langkah berani dengan menerima penceraian dan menyatakan hasrat untuk berkahwin semula, kali ini dengan Putera Heinrey dari Kerajaan Barat, yang rupa-rupanya selama ini memerhatikannya dalam wujud seekor burung.
4. The Moon Flows over the River

Putera Mahkota Lee Gang menyembunyikan luka mendalam akibat kehilangan permaisuri yang dicintainya. Hidupnya kini hanya digerakkan oleh keinginan untuk membalas dendam.
Namun hidupnya berubah apabila dia bertemu Park Dal I, seorang pedagang keliling yang membawa pelana kuda, dan memiliki wajah yang seiras dengan mendiang isterinya.
Secara aneh, roh mereka tertukar: sang putera terperangkap dalam tubuh seorang wanita biasa, manakala Dal I pula terbangun dalam tubuh kerabat diraja. Kejadian ganjil ini memaksa mereka menyesuaikan diri dengan kehidupan yang baharu sambil menyelongkar rahsia besar yang berkait rapat dengan kematian dan kekuasaan.
5. Delusion

Berlatar antara Gyeongseong pada tahun 1935 dan Shanghai pada abad ke-19, drama Korea ini mengetengahkan kisah seram yang unik menerusi dunia pontianak dalam era penjajahan.
Kisah bermula apabila seorang pelukis menerima tempahan untuk melukis potret seorang wanita misteri. Namun, setiap goresan kuas membuka rahsia gelap yang tidak pernah disangkanya.
Tanpa disedari, pelukis itu mula jatuh cinta kepada wanita tersebut, sementara kejadian-kejadian aneh mula menghantui dirinya dan sekelilingnya.
Itulah 5 drama Korea bergenre fantasi-sejarah yang paling ditunggu-tunggu penayangannya. Dengan kombinasi elemen mistik, percintaan, kuasa, dan sejarah, drama-drama Korea ini pasti memberikan pengalaman menonton yang berbeza dan mengasyikkan. Yang mana satu paling menarik perhatian anda?
Baca lagi: Roh, Ritual dan Rahsia, 5 Drama Korea Bertemakan Syamanisme yang Menyerlahkan Tradisi Mistik
Baca juga: 8 Drama Korea Julai 2025, Sarat Emosi, Misteri dan Keberanian Wanita








