Sentiasa dinanti-nantikan, bulan Julai 2025 bakal menyajikan pelbagai KDrama (drama Korea) baharu yang berlatarkan genre ngeri. Setiap KDrama hadir dengan tema yang berbeza dan menarik, menjadikan semuanya tidak wajar dilepaskan begitu sahaja. Tambahan pula, elemen misteri dalam cerita pastinya akan membuat penonton teruja meneka jalan cerita yang seterusnya.
Walaupun adegannya agak menggerunkan, genre ngeri mempunyai tarikan tersendiri bagi para peminatnya. KDrama sebegini juga berupaya membuat penonton lebih peka dan berhati-hati. Berikut adalah tiga drama Korea bergenre thriller yang bakal menayangkan episod pertamanya pada bulan Julai 2025 nanti.
1. Bitch x Rich Musim 2

Setelah musim pertamanya berakhir dengan penuh tanda tanya, pihak produksi akhirnya mengesahkan tayangan Bitch x Rich Musim 2 bermula pada 3 Julai 2025. KDrama ini meneruskan kisahnya dengan kes pelajar Sekolah Menengah Antarabangsa Cheongdam yang ditemui jatuh dari bangunan sekolah. Siri ini akan memuatkan 12 episod dengan genre misteri dan ngeri.
Dalam musim kedua ini, Kim Hye In (lakonan Lee Eun Saem) diterima masuk ke dalam kelab elit Diamond 6. Kehadirannya mengejutkan ramai kerana beliau berasal daripada keluarga miskin dan hanya diterima masuk ke sekolah tersebut melalui biasiswa. Hye In berjaya menyertai kelab tersebut setelah mendapatkan bantuan daripada Baek Je Na (lakonan Kim Ye Rim).
Penonton turut dibiarkan tertanya-tanya tentang siapakah individu yang bertanggungjawab menolak pelajar tersebut dari atas bangunan. Kemunculan watak baharu seperti Kim Min Kyu turut menarik perhatian, beliau digambarkan sebagai pelajar pindahan yang misterius dan dikhabarkan merupakan tunang kontrak kepada Baek Je Na.
2. The Nice Guy

Menggabungkan elemen melodrama dan aksi thriller, The Nice Guy menampilkan gandingan Lee Dong Wook dan Lee Sung Kyung sebagai teraju utama. Keserasian antara kedua-dua pelakon ini menambah keterujaan penonton untuk menyaksikan kisah mereka. Aksi Lee Dong Wook sebagai seorang ahli kumpulan samseng juga menjadi antara adegan yang paling dinantikan.
KDrama ini berkisar tentang Park Seok Chul (lakonan Lee Dong Wook), cucu sulung kepada keluarga gangster generasi ketiga yang terperangkap dalam dunia gelap dan penuh kekerasan. Namun hakikatnya, Seok Chul menyimpan impian untuk menjadi seorang penulis novel.
Walaupun hidup dalam persekitaran yang keras, Seok Chul sebenarnya mempunyai hati yang lembut, terutamanya di hadapan cinta pertamanya, Kang Min Young (lakonan Lee Sung Kyung). Beliau bertekad untuk melindungi orang-orang yang disayangi, termasuk ahli keluarganya dan cinta pertamanya, daripada sebarang bahaya. KDrama ini turut menampilkan adegan aksi yang mendebarkan ketika beliau berdepan dengan musuh-musuhnya.
3. The Defects

Diadaptasi daripada webtoon popular, The Defects akan mula ditayangkan pada 21 Julai 2025. KDrama ini mengisahkan tentang sebuah organisasi pengambilan anak angkat secara haram. Ceritanya mengikuti sekumpulan anak muda yang ditinggalkan oleh keluarga angkat mereka, lalu bangkit dengan dendam dan semangat untuk terus hidup dalam dunia yang kejam.
Mengusung genre misteri dan thriller, pelakon veteran Yum Jung Ah membawakan watak sebagai ketua hospital dan pemimpin sebuah yayasan amal terkenal. Namun, di sebalik imejnya sebagai doktor yang dihormati, dia menyembunyikan rahsia besar, terlibat dalam aktiviti pengambilan anak angkat secara haram. Lebih mengejutkan, beliau percaya hanya mereka yang memiliki genetik “unggul” layak untuk hidup.
Watak lain yang mencuri tumpuan ialah lakonan Won Jin Ah sebagai seorang gadis yang pernah diambil sebagai anak angkat tetapi kemudiannya ditinggalkan. Beliau berjaya meneruskan hidup dan kini memimpin misi balas dendam terhadap kezaliman yang pernah dialaminya. Wataknya digambarkan sebagai seorang wanita yang tabah, berani, dan penuh semangat juang.
Pelbagai adegan mendebarkan bakal ditampilkan dalam barisan KDrama yang akan menemui penonton pada Julai 2025. Setiap satu drama membawa unsur ngeri yang digabungkan dengan elemen lain seperti misteri, melodrama dan aksi, menjadikan pengalaman menontonnya penuh kejutan. Bagi anda yang menggemari drama bergenre ngeri, jangan lepaskan peluang menyaksikan episod pertama drama-drama ini!
Baca lagi: Rahsia Seram Bae Gyeon Woo di Episod 6 Head Over Heels, Dipergunakan dan Kerasukan
Baca juga: S Line: Fantasi dan Ngeri Psikologi, Menyelongkar Nafsu Terlarang dan Rahsia Gelap Tersembunyi








