Home Kdrama/Kmovie Drama Korea S Line: Fantasi dan Ngeri Psikologi, Menyelongkar Nafsu Terlarang dan Rahsia Gelap...

S Line: Fantasi dan Ngeri Psikologi, Menyelongkar Nafsu Terlarang dan Rahsia Gelap Tersembunyi

0

Sebuah siri asli terbaharu terbitan Wavve S Line yang dibintangi oleh Lee Soo-hyuk, Lee Da-hee, Arin, dan Lee Eun-saem sedang mencetuskan perbualan hangat dalam kalangan peminat drama sebelum ia pun mula ditayangkan.

Drama berjudul S Line ini mengangkat satu konsep yang cukup berani dan luar biasa, ia mengisahkan tentang satu benang merah yang dinamakan “S Line”, yang hanya dapat dilihat oleh segelintir individu istimewa. Benang ini muncul dan menghubungkan dua orang yang pernah melakukan hubungan intim, menjadikan ia satu simbol keterikatan rahsia yang sukar dijelaskan.

Berasaskan webtoon terkenal hasil karya Kkomabi, S Line menggabungkan elemen fantasi dan ngeri psikologi untuk menyelongkar nafsu terlarang serta rahsia gelap yang tersembunyi. Ia juga merupakan bahagian kedua dalam siri “Trilogi Kematian” oleh Kkomabi yang turut merangkumi Killer X Unpleasantness dan Unresolved. Cerita ini dipuji kerana dunia yang dibina dengan berani serta kupasan mendalam terhadap naluri manusia dan soal moral.

Diam-Diam Menggemparkan

IMG 0884

Treler utama yang dilancarkan pada 2 Julai membuka tirai dengan suara narasi menyentuh hati daripada watak Hyunheup lakonan Arin: “Sejak lahir, aku sudah dapat melihat benang-benang ini.” Treler tersebut menampilkan detik-detik ngeri saat benang S Line terbentuk, kesan langsung daripada hubungan fizikal, dan ia disulam ke dalam satu misteri pembunuhan yang diterajui oleh detektif Ji-wook (lakonan Lee Soo-hyuk). “Aku tak faham kenapa mereka membunuh,” katanya, sewaktu benang merah yang ganjil itu membimbingnya menghampiri kebenaran.

Dalam satu babak penting, Ji-wook bertanya, “Kau maksudkan, kau boleh nampak benang itu dengan cermin mata ni?”, lalu dijawab dengan amaran dari Hyunheup, “Sebab tu lah cermin mata tu berbahaya.” Cermin mata misteri itu menjadi kunci penting dalam menyingkap segala rahsia yang tersembunyi.

Dalam masa yang sama, guru sekolah menengah Gyu-jin (lakonan Lee Da-hee) memberikan cermin mata itu kepada seorang lagi guru. Mangsa buli, Seon-a (lakonan Lee Eun-saem), turut menggunakannya dan mula menyedari hakikat ngeri di sebalik benang-benang merah tersebut. Dia kembali dengan personaliti yang sangat berbeza—gelap dan berubah sepenuhnya.

Gambaran-gambaran ini memberi bayangan bahawa S Line jauh lebih daripada sekadar kisah romantik provokatif. Ia menyentuh isu obsesi, trauma, dan sisi gelap dalam hubungan sesama manusia.

Baris ayat yang menjadi tanda utama drama ini,  “Apabila kebenaran terungkap, semua hubungan akan hancur”, memberikan nada yang tegang dan menggugah perasaan. Babak-babak pertengkaran penuh emosi antara watak-watak menambah lagi rencah ketegangan.

Treler ditutup dengan satu soalan tajam dari Gyu-jin: “Kau betul-betul yakin dengan apa yang kau nampak?”, menyentuh tema utama drama ini: garis kabur antara apa yang kita lihat dan apa yang benar-benar berlaku.

Pengiktirafan di Cannes Sebelum Tayangan Tempatan

S line

Sebelum pun sempat ditayangkan di Korea, S Line sudah pun mencipta nama di pentas antarabangsa. Pada bulan April lalu, drama ini menjadi satu-satunya wakil Korea yang terpilih untuk bertanding dalam kategori utama di Festival Siri Antarabangsa Cannes yang ke-8, suatu pencapaian yang hanya diberikan kepada lapan buah siri terbaik dunia daripada ratusan penyertaan.
Ini juga menjadikan S Line drama Korea ketiga yang pernah dipilih untuk bersaing di Canneseries, selepas Mother (2018) dan Bargain (2023).

Lebih membanggakan, S Line turut mencatat sejarah sebagai drama Korea pertama yang memenangi anugerah Muzik Terbaik di Cannes, dengan juri memuji skor muziknya yang segar dan mengusik emosi, sekali gus menguatkan impak naratifnya.

Barisan Pelakon Hebat yang Menyemarakkan Penantian

S line

Barisan pelakon utama juga menjadi bualan hangat. Lee Soo-hyuk membawakan watak detektif Han Ji-wook, manakala Lee Da-hee sebagai guru sekolah menengah yang tajam pemikirannya, Gyu-jin. Arin dari kumpulan OH MY GIRL pula memegang watak Hyunheup, remaja yang sejak lahir dikurniakan keupayaan melihat benang S Line. Akhir sekali, Lee Eun-saem memainkan watak Seon-a, anak saudara Ji-wook dan rakan sekelas Hyunheup.

Menggabungkan unsur erotik, misteri, ketegangan psikologi dan fantasi, S-Line dilihat sebagai antara drama Korea paling berani tahun ini. Siri ini akan mempunyai enam episod, dengan dua episod baharu akan ditayangkan setiap hari Jumaat bermula 11 Julai (11, 18 dan 25 Julai) di platform Wavve.

Dengan pengiktirafan antarabangsa dan konsep yang menggemparkan, ramai sedang menanti dengan penuh debaran untuk melihat bagaimana reaksi penonton Korea terhadap drama yang melangkaui sempadan biasa ini.

Nantikan tayangannya ya!

Baca lagi: Byeon Woo Seok Disahkan Bawa Watak Sung Jin Woo, Adaptasi “Live Action” Solo Leveling
Baca juga: One Punch Man 3 Kembali Oktober Ini, Aksi Baharu Saitama dan Kemunculan Semula Pahlawan Kontroversi