Home Drama/Filem Jepun 5 Centimeters per Second Versi Aksi Nyata, Kisah Cinta Tak Terucap Kembali...

5 Centimeters per Second Versi Aksi Nyata, Kisah Cinta Tak Terucap Kembali Hidup di Layar Perak

0

Adaptasi aksi nyata daripada anime ikonik hasil karya Makoto Shinkai, 5 Centimeters per Second, akhirnya melancarkan teaser pertamanya.

Melalui teaser berdurasi 30 saat ini, para peminat kembali merasai suasana duka dan pelbagai emosi mendalam yang menyelimuti perjalanan cinta Takaki Tōno dan Akari Shinohara.

Dalam klip 5 Centimeters per Second itu, kelihatan Takaki Tōno merenung ke langit senja di persimpangan jalan, sambil dibayangi kenangan silam bersama Akari yang masih terpahat dalam hatinya.

Teaser itu turut memaparkan momen-momen indah seperti pertemuan pertama yang mengesankan sewaktu zaman sekolah rendah, kerinduan yang mendalam ketika remaja, sehinggalah ke usia dewasa yang dibayangi memori silam yang tidak pernah padam.

5 Centimeters per Second Kisah Tentang Pertemuan yang Mungkin Takkan Terjadi

5 centimeters per second

Cinta Takaki dan Akari melambangkan betapa perlahan waktu berlalu apabila dua hati menunggu saat untuk bertemu semula,!satu pertemuan yang belum tentu akan berlaku.

Antara daya tarikan utama dalam teaser ini ialah sinematografi memukau yang menampilkan landskap asli Jepun seperti Tokyo dan Tanegashima. Dilengkapi narasi syahdu ala Makoto Shinkai, ia menghidupkan semula sentuhan melankolis yang menjadi jiwa karya asal.

Turut dipaparkan ialah baris puitis dalam bahasa Jepun:

“itsumo doko ka ni anogoro no kehai o sagashite iru”

yang membawa maksud:

“Aku sentiasa mencari bayangan hari-hari itu, di suatu tempat.”

Tonton teaser rasmi 5 Centimeters per Second di sini:

Tarikh Tayangan dan Butiran Produksi 5 Centimeters per Second

24a7b72e de06 434a 8f23 dfc50ee6373c

Filem aksi nyata 5 Centimeters per Second akan mula ditayangkan di pawagam seluruh Jepun pada 10 Oktober 2025.

Adaptasi ini pertama kali diumumkan pada September 2024, namun ketika itu Makoto Shinkai memaklumkan bahawa penggambaran masih dalam proses awal dan belum bersedia untuk tayangan.

Filem 5 Centimeters per Second ini akan berdurasi dua jam, berdasarkan skrip yang dibangunkan bersama Makoto Shinkai.

Yoshiyuki Okuyama akan mengarahkan filem ini, manakala skrip ditulis oleh Fumiko Suzuki. Syarikat Toho akan bertanggungjawab sebagai pengedar utama.

Barisan Pelakon dan Peranan Istimewa 5 Centimeters per Second

IMG 0975

Pelakon utama Hokuto Matsumura dari kumpulan idola lelaki SixTONES akan membawa watak Takaki Tōno.

Dalam masa yang sama, dua pelakon muda Yuto Ueda dan Noa Shirayama turut diumumkan sebagai pelakon versi kanak-kanak Takaki dan Akari. Mereka terpilih daripada lebih 500 orang peserta uji bakat yang menyertai pemilihan secara terbuka.

Yuto Ueda berkongsi keterujaannya:

“Saya benar-benar terkejut dan tidak percaya apabila terpilih. Tetapi pengarah Okuyama banyak membantu saya melalui bengkel latihan, dan mengajar saya dengan penuh kelembutan, sehinggakan saya mampu berlakon secara semula jadi.”

Manakala Noa Shirayama pula berkata:

“Saya sangat gembira kerana berjaya dalam uji bakat ini. Saya telah menonton karya Makoto Shinkai sejak kecil. Sebelum penggambaran bermula, saya sempat menonton karya Pengarah Okuyama, dan saya sangat teruja untuk bekerjasama dengannya.”

Latar Belakang Cerita

5 centimetres

5 Centimeters per Second ialah anime asal yang ditayangkan pada 3 Mac 2007. Ini merupakan karya original pertama Shinkai yang diadaptasi menjadi aksi nyata, menjadikannya satu pencapaian besar dalam kerjayanya.

Kisah ini mengikuti Takaki dan Akari yang menjadi sahabat baik selepas berpindah ke sekolah rendah yang sama. Namun, mereka dipisahkan apabila keluarga masing-masing perlu berpindah ke tempat lain.

Setahun kemudian, Takaki memulakan perjalanan menaiki kereta api dari Tokyo untuk bertemu semula dengan Akari,  pertemuan yang dipenuhi debar dan kenangan lama yang berputar dalam fikirannya.

Dalam perjalanan itu, mereka mula tertanya-tanya, masih adakah ruang untuk mereka menyuarakan rasa yang telah lama dipendam?

Adaptasi ini bukan sekadar sebuah kisah cinta biasa. Ia adalah peringatan halus tentang rindu, masa yang berlalu, dan detik-detik yang tidak sempat dilafazkan. Satu tayangan yang pasti menyentuh hati, khususnya buat para pencinta karya Makoto Shinkai.

Baca lagi: One Punch Man 3 Kembali Oktober Ini, Aksi Baharu Saitama dan Kemunculan Semula Pahlawan Kontroversi
Baca juga: Byeon Woo Seok Disahkan Bawa Watak Sung Jin Woo, Adaptasi “Live Action” Solo Leveling