Peminat filem seram Korea, bersiap sedia! Tahun 2025 menyaksikan dunia perfileman Korea kembali menghidangkan deretan karya menakutkan yang pasti menguji keberanian anda. Bermula daripada stesen kereta api berhantu, kuil purba yang menyimpan rahsia, sehinggalah gangguan ghaib yang menyelinap melalui kamera keselamatan, setiap filem hadir dengan suasana gelap dan misteri yang menyesakkan dada.
Bukan sekadar mengejutkan penonton dengan babak menakutkan semata-mata, filem-filem seram Korea kali ini tampil dengan tema yang lebih pelbagai dan berkait rapat dengan realiti, seperti obsesi terhadap kemasyhuran, pengaruh teknologi moden, hingga sisi gelap kepercayaan spiritual. Dengan visual memukau dan suasana yang menggetarkan, lima judul filem seram Korea ini telah menjadi bualan ramai walaupun belum pun ditayangkan secara rasmi.
Ingin tahu apa yang menanti? Inilah lima filem seram Korea paling dinanti pada tahun 2025:
1. Ghost Train

Segalanya bermula dengan rasa ingin tahu seorang pencipta kandungan YouTube. Dalam Ghost Train, pelakon Joo Hyun Young membawakan watak Da Kyung, seorang pencipta kandungan seram yang terdesak menaikkan jumlah tontonan videonya. Beliau menemui Stesen Gwanglim, sebuah stesen kereta api yang dikenali dengan kes kehilangan manusia secara misteri.
Ketika menyiasat lokasi menyeramkan itu, Da Kyung bertemu dengan ketua stesen (lakonan Jeon Bae Soo) yang seolah-olah menyimpan rahsia ngeri di sebalik sejarah hitam stesen tersebut. Semakin dalam penyiasatannya, semakin nyata kengerian yang bakal dihadapinya.
2. The Shrine

Percutian bertukar menjadi pengalaman mistik yang menakutkan apabila Yu Mi dan rakan-rakannya mengunjungi sebuah kuil lama di sebuah perkampungan kecil di Jepun. Keadaan menjadi cemas apabila salah seorang daripada mereka, Hee Jung, tiba-tiba hilang secara misteri. Mereka menjejaki Hee Jung hingga ke kuil yang pernah muncul dalam lukisan miliknya.
Fenomena pelik mula berlaku, luka muncul tanpa sebab, suara-suara ganjil kedengaran, dan kehadiran entiti yang tidak kelihatan mula dirasai. Dalam keadaan buntu, Yu Mi meminta bantuan sahabat lamanya, seorang perawat spiritual bernama Myung Jin.
Bersama Pastor Han Ju, pemimpin rohani kampung tersebut, mereka berusaha menyatukan kekuatan ghaib untuk menghadapi entiti jahat yang mendiami kuil berkenaan.
3. Gory: A Horror Tale

Bukan satu, tetapi lima kisah menyeramkan dihimpunkan dalam antologi menakutkan berjudul Gory: A Horror Tale. Filem ini mengetengahkan kisah-kisah berbeza yang akhirnya saling berkait:
Seorang lelaki tua cuba menebang pokok pelindung kampung, seorang wanita pejabat yang terlampau taksub dengan kecantikan hingga mengusik milik jirannya, seorang ibu yang membuat perjanjian dengan roh demi kejayaan anaknya, pegawai polis yang keras kepala, dan seorang pelajar universiti yang sanggup melakukan apa sahaja demi kemasyhuran melalui kandungan seram.
Walaupun kelihatan berasingan, setiap kisah perlahan-lahan menunjukkan kaitan yang membentuk keseluruhan cerita yang menakutkan. Filem ini membawakan gabungan seram psikologi dan ghaib yang saling melengkapi, membuatkan penonton tertanya-tanya, siapakah sebenarnya yang lebih menakutkan, hantu atau manusia itu sendiri?
Baca lagi: 11 Filem Seram Korea Terbaik, Pelbagai Kisah Dengan Tema Pendukunan
4. Home Cam

Menggabungkan teknologi moden dengan gangguan makhluk halus, Home Cam mengisahkan Seong Hee, seorang ibu tunggal yang sedang berusaha mengimbangi kerjaya dengan tanggungjawab membesarkan anak perempuannya.
Beliau memasang kamera keselamatan di seluruh rumah demi keselamatan anaknya, namun tanpa disangka, kamera tersebut merakam sesuatu yang jauh lebih menyeramkan, kemunculan makhluk asing yang tidak dikenali mula mengganggu keluarga kecil itu.
Keadaan menjadi semakin mencemaskan apabila entiti ghaib tersebut muncul semakin kerap dan mengancam keselamatan anaknya. Dengan bantuan jirannya, Soo Rim, yang merupakan seorang perawat spiritual, Seong Hee berjuang mempertahankan keluarganya daripada gangguan yang muncul melalui skrin kamera.
Baca juga: 15 Filem Seram Korea Ini Tampilkan Pelbagai Tema Unik, Bukan Hantu Semata-Mata
5. Noise

Semuanya bermula dengan bunyi aneh yang tidak dapat dijelaskan, dan dari situ bermulalah detik-detik malapetaka. Dalam Noise, dua orang adik-beradik, Joo Young dan Joo Hee, baru sahaja berpindah ke sebuah apartmen baharu.
Namun ketenangan mereka tidak bertahan lama. Bunyi-bunyi ganjil mula menghantui mereka, sehinggalah pada suatu malam, Joo Hee hilang secara misteri dari apartmen yang dikunci rapi.
Joo Young, dibantu oleh kekasih Joo Hee, Ki Hoon, berusaha mencari kebenaran di sebalik kehilangan tersebut. Dalam usaha mereka menyiasat, gangguan bunyi itu semakin meruncing dan membawa mereka ke dalam satu teror yang tidak kelihatan, namun cukup nyata dan menggoncang jiwa.
Itulah lima filem seram Korea yang paling dinanti tayangannya pada tahun 2025. Daripada kisah spiritual, teknologi yang mengundang malapetaka, hinggalah kepada kisah manusia biasa yang didorong oleh ketamakan dan ketakutan, semuanya menjanjikan pengalaman menonton yang mendebarkan dan penuh kejutan.
Jadi, daripada kelima-lima judul ini, yang manakah paling anda nantikan untuk ditonton?








