Home Entertainment Penonton K-Drama Serabut Dengan ‘Product Placement’ Berlebihan

Penonton K-Drama Serabut Dengan ‘Product Placement’ Berlebihan

0

Dengan kos produksi yang melambung tinggi setiap tahun, menjana pendapatan menerusi promosi produk dalam rancangan TV atau penempatan produk (product placement) kian mendapat tempat di kalangan pengusaha K-drama.

Walau bagaimanapun, kadangkala peletakan produk semakin menjadi-jadi sehingga akhirnya penonton kompelin mereka rasa terganggu dan tidak dapat fokus pada cerita drama.

Rancangan terbaharu yang mendapat kritikan berhubung perkara ini adalah ‘Jirisan’. Penonton memang menaruh harapan tinggi kepada cerita ini kerana bermula dari pelakon, penulis dan pengarahnya bukan calang-calang iaitu Jun Ji-hyun sebagai bintang utama, Kim Eun-hee (penulis ‘Kingdom’ dan ‘Signal’) dan Lee Eung-bok (pengarah Mr. Sunshine dan Goblin).

Dalam drama tersebut, penonton terpesona dengan keindahan pemandangan Taman Negara Jirisan dan cerita berkembang di sekitar renjer hutan di sana.

Tetapi ada yang mengadu bahawa mereka “tak tahu ini drama atau iklan baju sukan”.  Jenama pakaian sukan popular Nepa merupakan antara penaja utama drama tersebut

“Walaupun Nepa jadi penaja, macam mana renjer boleh terus pakai baju baru setiap kali mereka muncul? Adakah mereka buang je pakaian bila kotor dan terus dapat yang baru?” komen penonton.

Menurut laporan Korea Times, penonton turut kesal dengan adegan kumpulan Seo Yi lakonan Jun ditawarkan sandwich oleh rakan renjernya semasa berada di Pejabat Perlindungan Taman. Logo francais sandwich Eggdrop pada pembungkusan itu ditunjukkan secara dekat, bersama-sama dengan renjer tengah syok menikmatinya.

Francais jenama sandwich popular itu pernah muncul drama ‘Hospital Playlist’ dan penonton okay saja. Bagaimanapun kali ini mereka tak boleh terima dan dikatakan tak realistik. Mana nak cari sandwich dari francais popular itu di tengah-tengah hutan belantara dan gunung?

Malah ada sesetengah penonton siap pergi cari kedai sandwich Eggdrop di peta dalam talian, dan mendakwa bahawa kedai paling hampir dari tapak itu terletak di Bandar Jinju, Wilayah Gyeongsang Selatan, yang terletak sejauh 72 kilometer.

Mereka turut bising dengan adegan di mana salah seorang renjer menawarkan suplemen kesihatan kolagen sambil kata ia “baik untuk kulit.”

Penerbit drama menyedari kritikan itu, tetapi nampaknya tidak mudah bagi mereka untuk mencari penyelesaian kerana kos produksi telah meroket naik manakala bajet pula terhad. Dilaporkan penerbit drama membiayai sekitar 20 peratus hingga 30 peratus kos buat drama melalui ‘product placement’.

Sumber: [1]