Home Artis Korea Park Ji Hyun Sah Tidak Sertai Flex x Cop 2, Fokus Pada...

Park Ji Hyun Sah Tidak Sertai Flex x Cop 2, Fokus Pada Projek Drama Baharu

0

Selepas meraih kejayaan besar dengan rating yang mengagumkan pada tahun 2024, drama Korea popular Flex x Cop akhirnya disahkan bakal kembali dengan musim kedua.

Pihak produksi kini dalam fasa persiapan awal untuk memulakan penggambaran yang dijangka berlangsung pada tahun hadapan. Namun begitu, satu berita mengejutkan peminat apabila pelakon utama wanita, Park Ji Hyun, disahkan tidak akan kembali membintangi musim baharu ini.

Park Ji Hyun Tarik Diri Dari Flex x Cop 2

Flex x cop

Pada 13 Ogos 2025 lalu, portal hiburan MyDaily melaporkan bahawa Park Ji Hyun membuat keputusan untuk tidak muncul dalam musim kedua drama Flex x Cop. Pada musim pertamanya, drama siaran SBS itu mencatatkan prestasi yang memberangsangkan dengan rating pembukaan mencecah 5.7 peratus, sekali gus menjadi antara drama yang sering diperkatakan.

Ketiadaan Park Ji Hyun semestinya meninggalkan kekosongan besar kerana wataknya, Lee Kang Hyun, cukup penting dalam jalan cerita. Lee Kang Hyun digambarkan sebagai seorang detektif veteran yang obses terhadap kerjanya dan juga wanita pertama yang mengetuai pasukan siasatan pembunuhan. Dalam drama tersebut, beliau beradu lakon dengan Ahn Bo Hyun, seorang chaebol generasi ketiga yang memilih untuk menjadi detektif kerana latar belakang hidupnya yang istimewa.

Pihak produksi kini dilaporkan sedang giat mencari pelakon wanita lain untuk menggantikan peranan utama tersebut. Jika segalanya berjalan lancar, penggambaran dijangka bermula pada awal tahun depan setelah pemilihan pelakon selesai.

Penjelasan Dari Agensi Park Ji Hyun

Park Ji Hyun

Agensi Park Ji Hyun, Namoo Actors, mengesahkan bahawa artis kelahiran 1994 itu menarik diri daripada projek ini kerana masalah jadual yang bertindih dengan komitmen lain. “Disebabkan jadual yang tidak selari, Park Ji Hyun tidak akan bergabung dalam musim kedua Flex x Cop,” menurut kenyataan rasmi agensi tersebut.

Park Ji Hyun Sertai Drama Baharu Back to Work

IMG 5543

Walaupun tidak kembali dalam Flex x Cop 2, Park Ji Hyun tetap aktif dalam kerjaya lakonannya. Pada 11 Ogos 2025, beliau disahkan bakal membintangi drama baharu berjudul Back to Work bersama pelakon popular Seo In Guk. Drama berlatarkan suasana pejabat itu dijadualkan untuk tayangan pada tahun 2026.

Dalam drama tersebut, Park Ji Hyun akan memegang watak Cha Ji Yoon, seorang pekerja yang telah tujuh tahun berkhidmat di syarikatnya. Walaupun beliau dikenali sebagai seorang pekerja yang berdedikasi serta dihormati rakan-rakannya, kehidupannya mula goyah akibat tekanan daripada ketuanya, Kang Si Woo (lakonan Seo In Guk). Situasi ini bukan sahaja menjejaskan kerjaya Cha Ji Yoon, malah turut mempengaruhi kisah percintaannya.

Baca lagi: The Winning Try, Pertarungan Pasukan Ragbi Paling Lemah Menentang Musuh dari Luar dan Dalam
Baca juga: ‘Flex X Cop’ Diperbaharui Untuk Musim Kedua