Home Sports Nostalgia Kelayakan Olimpik 1980: Malaysia Menewaskan Korea Selatan

Nostalgia Kelayakan Olimpik 1980: Malaysia Menewaskan Korea Selatan

0

Adakah anda pernah menonton filem “Ola Bola” (2016)?

Filem ini mengangkat kisah benar pemain bola sepak negara era 80-an dan memaparkan semangat juang para pemain kebangsaan yang pernah mengharumkan nama Malaysia apabila layak ke Sukan Olimpik Moscow, Rusia pada 1980.

s
Kredit: The Sun Daily

Tahun 1970-an

Sebelum melakar kenangan manis itu, Malaysia pernah berkilau di peta dunia sukan apabila berjaya beraksi di Olimpik Munich 1972. Bagi melayakkan diri, skuad negara ketika itu mengaum garang ‘membaham’ Jepun, Korea Selatan, Taiwan dan Filipina di pusingan kelayakan yang berlangsung di Seoul, Korea Selatan.

Sehinggakan akhbar di Seoul bertulis tajuk “Hanya takdir yang boleh menghalang Malaysia layak ke Olimpik” ketika mengulas tentang peluang pasukan negara mereka iaitu Korea Selatan pada era tersebut.

Mengikut perkongsian Bazookapenaka, kepulangan para pemain bola sepak Malaysia disambut bagaikan wira setelah melayakkan diri ke pusingan akhir Olimpik 1972.

rww
Kredit: Berita Harian

Apa yang menarik, seekor harimau yang diberi nama Tuah (tidak pasti Tuah 1 atau Tuah ll kerana dikatakan ada dua versi nama) mengiringi langkah para pejuang bola sepak negara ketika itu sebagai maskot di Olimpik di Munich, Jerman. Selepas tamat perlawanan, Tuah dihadiahkan kepada Zoo Munich sebagai tanda persahabatan.

Kredit: Man Olimpik

Harimau Malaya Tuah 1 Olimpik 1972

Tahun 1980-an

Melompat ke tahun 1980, Stadium Merdeka menjadi saksi bagaimana Malaysia membelasah Korea Selatan 2-1 pada aksi final pusingan kelayakan di depan ribuan penyokong.

Antara barisan pemain negara ketika itu termasuk mendiang R Arumugam, Jamal Nasir, Soh Chin Aun, Santokh Singh, Kamaruddin Abdullah, Bakri Ibni, Shukor Salleh, Khalid Ali, Abdullah Ali, Abdah Alif, Hassan Sani, dan James Wong.

Mengimbau detik bersejarah perlawanan sengit menentang Korea Selatan itu, bola hantaran hasil tandukan Khalid Ali jatuh tepat di kaki Hassan Sani.

Lantas pemain yang pernah digelar ‘lipas kudung’ kerana kepantasannya itu kemudian melakukan larian solo menewaskan tiga pertahanan lawan, sebelum menghantar bola tepat kepada James atau ‘King James’ yang menjaringkan gol kemenangan.

Jurulatih dan penolong jurulatih berlari mengelilingi stadium, bersorak gembira bersama puluhan ribu penonton. Presiden FAM Tuanku Sultan Ahmad Shah juga mencemar duli turun ke gelanggang berpeluk dengan pemain negara, berdasarkan petikan artikel Berita Harian (BH).

Rahsia Kemenangan

Ketika ditemu bual wartawan BH pada tahun 2016, Hassan Sani berkata resipi kejayaan pasukan bola sepak negara yang layak ke Sukan Olimpik di Moscow pada tahun 1980 itu adalah semangat perpaduan tinggi dalam kalangan skuad negara yang ketika itu dibarisi pemain daripada pelbagai kaum dan agama.

“Pada waktu itu, semangat ‘1Malaysia’ benar-benar wujud dalam pasukan, pemain berbangsa Melayu, Cina, India malah dari kaum Sikh juga ada. Kami seperti satu keluarga, makan, tidur bersama-sama. Namun, apa yang paling penting, kalah atau menang kami tetap bersama.” – Hassan Sani

Tidak Kesampaian

Namun disangka panas hingga ke petang, rupanya hujan malah banjir di tengah hari. Setelah main bermati-matian untuk layak ke Sukan Olimpik terutama ketika bertemu Korea Selatan pada perlawanan akhir pusingan kelayakan, mimpi indah itu ranap apabila mereka tidak dapat terbang ke Moscow pada tahun tersebut.

Malaysia dan beberapa negara lain menarik diri dan memboikot Sukan Olimpik 1980 di Moscow kerana pada tahun tersebut berlaku pencerobohan Soviet Union ke atas negara Afghanistan yang tidak disenangi oleh beberapa negara termasuk Malaysia.

Itulah kali terakhir pasukan negara layak ke Sukan Olimpik untuk acara bola sepak sebelum melalui kemarau panjang.

Semuanya sudah menjadi sejarah yang entah bila akan berulang namun iktibarnya tetap boleh diambil misalnya semangat berpasukan, perpaduan dan bangkit daripada kekecewaan seperti yang dipaparkan dalam filem ‘Ola Bola’.

240116olabola jpg
Kredit: Stadium Astro

Bagaimanapun dendam Korea Selatan terhadap Malaysia dalam arena bola sepak era 1980-an belum habis dan akan bersambung dalam artikel seterusnya…

Sumber: [1], [2],[3], [4]