Suatu ketika dahulu, agensi K-pop hanya buat laporan polis dan tidak mengheret pesalah ke mahkamah jika artis-artis mereka kena bahan di internet.

Namun era di mana berita palsu berleluasa dan reputasi bintang mereka perlu dijaga, agensi-agensi ini mengambil sikap lebih tegas terhadap kaki troll.

Di Korea, fitnah – sama ada berdasarkan fakta atau pembohongan – dan penghinaan boleh menyebabkan seseorang didakwa dan dikenakan tindakan sivil menurut artikel The Korea Times. Dalam perbicaraan jenayah, tertuduh biasanya dikenakan denda sekitar 2 juta won (Kira-kira RM 7,000).

YG Entertainment, agensi pengurusan bagi nama besar K-pop seperti BLACKPINK dan WINNER merupakan salah sebuah syarikat yang telah mengisytiharkan perang terhadap troll dalam talian.

Dalam pernyataannya pada 14 Oktober lalu, syarikat itu mendedahkan pihaknya telah membuat aduan terhadap mereka yang telah “melanggar hak dan kepentingan penyanyi YG.”

“Sehingga kini, kami kebanyakannya tidak mengambil tindakan undang-undang, kerana kami berpendapat bahawa komen yang menyinggung dan memfitnah adalah sesuatu biasa bagi artis kami yang ada ramai peminat,” kata pihak syarikat itu.

“Tetapi sekarang situasinya telah mencapai titik melampau . Terlalu ramai orang menyebarkan khabar angin yang tidak berasas mengenai penyanyi kami, memfitnah mereka bahkan melecehkan mereka secara seksual.

“Oleh itu, kami telah memfailkan aduan terhadap beberapa troll internet kerana melanggar undang-undang mengenai fitnah, palsu dan gangguan kepada perniagaan.

Tambahnya lagi, mereka akan terus melawan troll dalam talian jika mereka terus melampaui batas.

“Kami juga mengalu-alukan aduan daripada peminat mengenai komen dalam talian yang bermasalah,” katanya lagi.

Previous articlePelakon Dan Kru Produksi Filem ‘Gentleman’ Disengat Lebah
Next articleJae-suk Menang 3 Juta Won Dalam Squid Game Versi Running Man