Buat pencinta drama Korea berlatarkan Era Dinasti Joseon, tahun 2025 menjadi antara tahun yang paling dinantikan.
Banyak judul baharu hadir dengan pelbagai kisah menarik – daripada percintaan manis, komedi yang mencuit hati, sehinggalah kepada perebutan kuasa politik yang penuh mendebarkan. Semuanya tersedia dalam deretan drama terbaharu kali ini.
Senarai Drama Korea Dinasti Joseon Terbaharu 2025
Kalau anda mencari tontonan dengan latar istana dan kerajaan Korea lama, berikut ialah senarai drama Joseon yang bakal menemani masa lapang anda:
1. The Tale of Lady Ok (2025)

Drama Korea ini mengisahkan Ok Tae Yeong, seorang ahli perundangan yang bijak, jujur, dan dihormati masyarakat. Namun, di sebalik hidupnya tersimpan rahsia besar – nama, suami, dan statusnya hanyalah penyamaran. Dia bertemu Cheon Seung Whi, seorang penglipur lara yang jatuh cinta pandang pertama kepadanya.
2. Check-in Hanyang (2025)

Drama Korea ini mengisahkam tentanh empat orang pekerja di penginapan mewah Yeongcheonru di ibu kota Hanyang menyimpan kisah masing-masing. Lee Eun, seorang putera diraja, merahsiakan identitinya, manakala Hong Deok Soo, seorang wanita, terpaksa menyamar sebagai lelaki untuk menjadi pengurus besar.
3. The Queen Who Crowns (2025)

Drama Korea ini mengisahkan Ratu Won Gyeong, isteri Raja Tae Jong, yang berdepan konflik apabila baginda mengambil banyak gundik. Perselisihan dalam istana bertambah tegang apabila raja cuba mengawal keluarga sang permaisuri untuk mengukuhkan kuasanya.
4. The Scandal of Chunhwa (2025)

Puteri Hwa Ri bertekad memilih suaminya sendiri selepas kekecewaan cinta pertamanya. Dia menyamar keluar istana dan bertemu lelaki-lelaki yang wajahnya digambarkan dalam lukisan chunhwa, termasuk Choi Hwan, pewaris kaya yang menyimpan rahsia.
5. Heo’s Diner (2025)

Drama Korea ini mengisahkan Heo Gyun, tokoh pemikir Joseon, terlempar ke Seoul moden 400 tahun kemudian dalam pencarian makna kehidupan. Dari seorang yang diasingkan kerana ideanya, dia menjadi tukang masak dan cuba menyelesaikan misteri pembunuhan.
6. The Haunted Palace (2025)

Kisah sebuah istana yang dihantui roh dendam. Yun Gap, pegawai kerajaan, dirasuk makhluk legenda Imugi. Pertembungan dengan Yeo Ri, seorang gadis yang menolak takdir sebagai perantara roh, membuka kisah seram dan penuh misteri.
7. Dear Hongrang (2025)

Mengisahkan Hong Rang, anak lelaki yang hilang selama 10 tahun lalu kembali tanpa ingatan. Adiknya, Jae I, berusaha membongkar misteri kehilangan itu, di sebalik keluarga yang berpecah-belah.
8. The First Night With The Duke (2025)

Seorang pelajar universiti tiba-tiba memasuki dunia novel sejarah dan merasuki tubuh Cha Seon Chaek, seorang gadis bangsawan. Pertemuannya dengan Yi Beon, lelaki berdarah diraja yang dingin, membawa kepada percintaan tak terduga.
9. Bon Appétit, Your Majesty (2025)

Seorang cef moden yang terlatih di Perancis terlempar ke istana Joseon. Dia dipaksa memasak untuk Raja Yi Heon, seorang raja garang. Untuk terus hidup, dia perlu memikat selera raja dan mungkin mengubah sejarah.
10. The Murky Stream (2025)

Menggambarkan dunia Joseon yang kacau tanpa keadilan. Jang Si Yul hidup sebagai samseng untuk bertahan, manakala Choi Eun dan Jung Cheon terjerat dalam takdir di sebalik kegelapan sungai yang keruh.
11. Moon River (2025)

Putera Mahkota Yi Gang yang kehilangan senyumnya bertukar tubuh dengan Park Dal I, seorang pedagang pelana. Pertukaran ini membuka rahsia lama serta cinta yang terpendam.
Dengan pilihan drama yang penuh variasi – daripada cinta, politik, misteri, hingga komedi – tahun 2025 menjanjikan pengalaman tontonan era Dinasti Joseon yang lebih segar dan berwarna.








