Dari Debut ke Legenda
Uhm Jung Hwa ialah pelakon senior Korea yang terkenal dengan kepelbagaian bakat lakonannya. Beliau memulakan debut di layar perak pada tahun 1992 melalui filem Marriage Story. Sejak itu, Uhm Jung Hwa telah membintangi puluhan drama dan filem merentasi pelbagai genre.
Sepanjang kerjayanya, beliau berjaya meraih anugerah Pelakon Wanita Terbaik selama dua tahun berturut-turut pada 2012 dan 2013. Baru-baru ini, Uhm Jung Hwa kembali mencuri perhatian menerusi drama komedi romantis terbaharunya, My Troublesome Star.
Mari kita lihat beberapa drama komedi romantis popular yang pernah dibintangi olehnya.
1. Get Karl! Oh Soo Jung

Antara drama komedi romantis yang melonjakkan nama Uhm Jung Hwa ialah Get Karl! Oh Soo Jung. Drama ini menyorot hubungan zaman persekolahan antara Oh Soo Jung (Uhm Jung Hwa) dan Go Man Soo (Oh Ji Ho).
Man Soo merupakan bekas pemain golf yang sanggup menyambung pengajian di Fakulti Undang-undang SNU demi memenuhi permintaan kekasihnya, Oh Soo Jung. Namun, pada hari perkahwinan mereka, Man Soo menerima berita kegagalan dalam ujian peguam. Mendengar berita itu, Oh Soo Jung mengambil keputusan meninggalkannya.
Beberapa tahun kemudian, ketika usia Oh Soo Jung mencecah 34 tahun, beliau bertemu semula dengan Man Soo yang kini berjaya sebagai pemain golf profesional. Kekocakan serta kecanggungan Soo Jung ketika berdepan dengan Man Soo yang kembali menjadi rebutan menjadikan jalan cerita semakin menarik.
2. He Who Can’t Marry

Drama ini mengisahkan Jo Jae Hee (Ji Jin Hee), seorang arkitek berjaya berusia 40 tahun yang tampan tetapi dikenali sebagai lelaki dingin dan sukar bergaul. Beliau langsung tidak pernah terfikir untuk berkahwin.
Segalanya berubah apabila dia bertemu doktor Jang Mun Jeong (Uhm Jung Hwa) yang mempunyai personaliti hampir sama dengannya. Sifat keras kepala dan canggung Jae Hee mula mencair sedikit demi sedikit, lalu menjadikan kisah ini penuh gelak tawa dan perubahan emosi. Drama ini bukan sahaja sarat dengan komedi, malah turut menonjolkan nilai tentang pentingnya menghargai orang di sekeliling kita.
3. A Witch’s Love

Dalam drama ini, Uhm Jung Hwa digandingkan bersama Park Seo Joon. Beliau memegang watak Ban Ji Yeon, seorang wartawan yang sudah tawar hati terhadap cinta sejati.
Pertemuannya dengan Yoon Dong Ha (Park Seo Joon) membawa pelbagai adegan lucu. Dong Ha menguruskan sebuah pusat khidmat kecil yang menerima pelbagai tugasan pelik, daripada menghantar orang berpakaian Sinterklas hinggalah menjadi pengawal peribadi untuk seorang selebriti. Kecomelan interaksi mereka menjadikan drama ini salah satu komedi romantis paling digemari.
4. My Troublesome Star

Karya terbaharu Uhm Jung Hwa ini mengisahkan Im Se Ra, seorang selebriti popular yang secara mengejut terbangun dalam tubuh Bong Cheong Ja selepas kemalangan kereta. Lebih mengejutkan, dia mendapati dirinya berada 25 tahun ke hadapan.
Gelagat komedi berlaku apabila Se Ra cuba menyesuaikan diri dengan kehidupan baharu dan bertemu kembali dengan Dokgo Cheol, seseorang yang dikenalinya sejak tahun 1999. Walaupun baru menayangkan empat episod, drama ini sudah berjaya mencuri perhatian penonton dengan jalan cerita yang segar dan menghiburkan.
Lakonan Penuh Jiwa

Uhm Jung Hwa bukan sahaja cemerlang dalam adegan serius, malah beliau cukup semula jadi ketika membawakan adegan lucu. Keupayaannya menyampaikan mesej moral melalui watak yang dilakonkan menjadikan setiap drama lakonannya bermakna dan dekat di hati penonton.
Jadi, antara drama komedi romantis Uhm Jung Hwa ini, yang manakah kegemaran anda?
Baca lagi: Go Hyun Jung Hidupkan Watak Mengerikan dalam Drama Jenayah Queen Mantis 5 September Ini
Baca juga: Drama Korea Paling Hangat 2025, Senarai Tontonan Harus Dengan Penonton Paling Ramai








