Viu, perkhidmatan penstriman video OTT terkemuka oleh PCCW dan SBS, rangkaian televisyen terkenal dari Korea Selatan telah mengumumkan musim ketiga drama popular Taxi Driver, yang akan ditayangkan pada Suku Keempat (November) 2025 sebagai Viu Original di seluruh dunia (kecuali Korea Selatan dan China).
Mengikuti kejayaan luar biasa musim kedua, musim baharu ini akan mengekalkan elemen penceritaan Korea yang kukuh sambil memperluaskan lokasi penggambaran ke peringkat antarabangsa serta memperkenalkan bakat dari seluruh Asia.
Lee Je-hoon kembali memegang watak ikonik Kim Do-gi, seorang penegak kebenaran (vigilante) yang bijak namun dibelenggu trauma dan telah memikat hati penonton di seluruh dunia. Beliau turut disertai oleh barisan pelakon kegemaran seperti Kim Eui-sung, Pyo Ye-jin, Jang Hyuk-jin dan Bae Yoo-ram.
Ditulis oleh Oh Sang-ho dan diarahkan oleh Kang Bo-seung, pasukan Rainbow Taxi bakal berdepan misi paling berbahaya mereka setakat ini. Edan Lui daripada kumpulan popular Hong Kong, MIRROR, turut membuat penampilan sulungnya dalam drama ini sebagai watak yang
menjalin pakatan tidak dijangka dengan Kim Do-gi.

Park Jeong-hoon, Ketua Pegawai Eksekutif Studio S (Unit Penerbitan Dalaman SBS Media Group), berkata: “Kami berbesar hati memperkenalkan Taxi Driver 3 menerusi kerjasama erat dan berterusan bersama Viu, sebuah platform dengan capaian serta pengaruh global yang kukuh.
Pasukan produksi kini sedang berusaha keras untuk menghasilkan sebuah drama berkualiti tinggi yang bukan sahaja meneruskan legasi Musim 1 dan 2, tetapi juga mampu memenuhi dan mengatasi jangkaan penonton.”
Janice Lee, Ketua Pegawai Eksekutif Viu dan Pengarah Urusan PCCW Media Group, berkata: “Senarai kandungan terbaharu kami mencerminkan komitmen berterusan terhadap penceritaan yang menarik, relevan secara lokal dan berpotensi menembusi pasaran global.

Beliau menyambung: “Sepanjang 2025, kami membawakan pelbagai kerjasama antarabangsa baharu seperti Taxi Driver 3, My Youth dan The Season — produksi yang membawakan kisah berunsur lokal dengan sentuhan universal. Dengan kerjasama bersama studio bertaraf dunia dan penglibatan bakat tempatan serta antarabangsa, kami berhasrat untuk terus memperkasa industri kreatif sambil mempersembahkan naratif segar dan kekayaan budaya yang mampu memikat penonton global.”
Selain My Youth lakonan Song Joong-ki dan The Season, sebuah drama penuh gaya berlatarbelakangkan Hong Kong, senarai kandungan Viu bagi 2025 turut merangkumi pelbagai program tempatan. Ini termasuk 12 kandungan terbaharu dalam Bahasa Melayu, hasil kerjasama produksi bersama studio terkemuka Malaysia seperti Rumah Karya Citra dan Global Station, serta kandungan premium dari Indonesia menerusi inisiatif Viu | MAXStream Originals bersama Telkomsel.

My Youth adalah sebuah kisah cinta kedua yang penuh emosi. Song Joong-ki membawa watak seorang bekas pelakon kanak-kanak yang mengasingkan diri, lalu dipertemukan semula dengan cinta pertamanya yang kini seorang eksekutif dalam industri hiburan. Pertemuan tersebut mengheret mereka kembali kepada masa silam dan berdepan dengan perubahan diri masing-masing.
Nantikan kemaskini dari kami lagi okay!








