“My Troublesome Star” merupakan drama Korea bergenre komedi romantik terbaharu arahan sutradara Choi Young Hoon dengan skrip tulisan Park Ji Ha.
Drama ini dijadualkan tayangan perdana pada 18 Ogos 2025, dengan 12 episod keseluruhannya, dan boleh ditonton setiap Isnin dan Selasa di platform penstriman Viu.
Drama ini mengisahkan seorang pelakon wanita yang berada di puncak kerjayanya setelah berjaya memenangi anugerah Pelakon Wanita Terbaik termuda sepanjang sejarah. Namun, hidupnya berubah apabila dia tiba-tiba menghilang secara misteri selama 25 tahun. Tanpa ingatan tentang apa yang berlaku lebih dua dekad yang lalu, wanita ini berazam untuk kembali ke dunia hiburan dalam pertunjukan kemunculan semula yang menakjubkan, dibantu oleh seorang pegawai polis yang pernah jatuh cinta dengannya di masa muda.
“My Troublesome Star” juga menandakan pertemuan semula untuk Uhm Jung Hwa dan Song Seung Heon. Mereka sebelum ini bekerja bersama dalam filem “Wonderful Nightmare”, pada tahun 2014. Peminat pasti ingin tahu tentang “chemistry” mereka, yang merupakan salah satu tarikan utama “My Troublesome Star”.
Selain Uhm Jung Hwa dan Song Seung Heon, drama ini juga dibintangi oleh barisan pelakon popular dan berbakat besar, termasuk Lee El, dan O Dae Hwan. Turut mewarnai drama ini ialah beberapa pelakon bintang yang bertindak sebagai pelakon pembantu, antaranya Cha Chung Hwa, Jang Da A, dan Lee Min Jae.
Berikut adalah watak-watak utama yang dibintangi mereka:
1. Uhm Jung Hwa

Dalam drama ini, Uhm Jung Hwa memegang watak Bong Cheong Ja, seorang bekas bintang ternama yang hilang ingatan selama 25 tahun. Hakikatnya, dia ialah Im Se Ra (Jang Da A) selebriti terkenal yang suatu ketika dahulu menguasai industri hiburan Korea Selatan.
Setelah sekian lama menyepi, Bong Cheong Ja kembali ke dunia nyata sebagai wanita biasa yang sedang berusaha memulihkan ingatan serta mencari kembali sinarnya. Dia berdepan perjalanan penuh emosi untuk bangkit semula dan melakukan ‘comeback’ yang menyentuh hati.
2. Song Seung Heon

Song Seung Heon membawakan watak Dokgo Chul, seorang bekas detektif berbakat besar yang diturunkan pangkat akibat insiden tidak dijangka, lalu menjadi anggota polis trafik.
Namun, demi peluang untuk kembali ke unit jenayah berat, Dokgo Chul menyamar sebagai seorang pengurus artis. Hidupnya mula berubah apabila muncul Bong Cheong Ja yang mendakwa dirinya ialah Im Se Ra, bintang besar yang pernah lenyap 25 tahun lalu.
3. Lee El

Lee El tampil sebagai Go Hee Young, seorang bekas pelakon sampingan yang kariernya melonjak selepas kehilangan Im Se Ra.
Sewaktu Im Se Ra masih berkuasa dalam industri hiburan, Go Hee Young sering dipinggirkan. Namun, ketiadaan Im Se Ra memberi ruang untuknya bersinar hingga menjadi salah seorang bintang utama Korea. Segalanya goyah apabila tersebar berita mengejutkan bahawa Im Se Ra telah kembali, membuatkan Go Hee Young berdepan tekanan dan situasi tidak menyenangkan.
4. O Dae Hwan

O Dae Hwan berperanan sebagai Kang Du Won, ketua Two-One Entertainment, tokoh besar yang berpengaruh dalam dunia hiburan Korea.
Dahulu, dia hanyalah pengurus kepada Im Se Ra, sering diperkecilkan serta ditekan. Namun, berbekalkan kerja keras dan keazaman, dia berjaya membina empayar sendiri. Kemunculan semula Im Se Ra selepas 25 tahun membuatkan Kang Du Won kembali berhati-hati, seolah-olah mengulangi kisah lamanya bersama bekas artis naungannya itu.

Bolehkah Im Se Ra mendapatkan semula kemasyhurannya sebagai pelakon? Apakah sebab di sebalik kehilangan masa muda Im Se Ra?
Dengan plot yang luar biasa dan menarik, “My Troublesome Star” sedia memikat hati penonton dengan jalan ceritanya yang unik. Siri komedi romantik ini menjanjikan cerita yang segar dan menghiburkan.
Bagi pencinta drama Korea, jangan lepaskan peluang menontonnya setiap Isnin dan Selasa mulai 18 Ogos 2025 di Viu! Langgan juga Viu Premium untuk menonton pelbagai genre drama Korea tanpa sebarang gangguan iklan!








