Home Entertainment Kim Seon-ho Nak Minta Maaf Kepada Bekas Kekasih

Kim Seon-ho Nak Minta Maaf Kepada Bekas Kekasih

0

Bintang terkenal K-drama Hometown Cha-Cha-Cha, Kim Seon-ho, telah meminta maaf secara rasmi kepada bekas kekasihnya berikutan skandal pengguguran kandungan ketika mereka bercinta pada tahun 2020.

Menurut laporan CNA Lifestyle, Kim mengatakan bahawa dia berniat baik semasa bercinta dengan wanita berkenaan.

“Namun, semasa hubungan, saya menyakiti insan ini kerana kecuaian dan tidak bertimbang rasa. Saya berharap dapat bertemu lagi dengan dia untuk menyampaikan permintaan maaf yang tulus, tetapi pada masa ini saya tidak dapat melakukannya dan menunggu masa sesuai ketika saya diberi peluang. ”

Dia kemudian meminta maaf kepada semua orang termasuk peminat, tim produksi dan syarikat-syarikat atas kerugian yang ditimbulkannya.

“Saya hanya mampu berdiri sebagai pelakon Kim Seon-ho kerana insan-insan yang menyokong saya, namun saya telah melupakan hakikat itu.”

Isu yang melingkari Kim ini bermula pada hari Ahad lalu setelah sebuah posting tanpa nama mendakwa bahawa “pelakon K” yang tidak dikenali telah mendesak bekas kekasihnya (penulis post itu) untuk menggugurkan kandungannya semasa mereka berkasih. Penulis selanjutnya mengatakan bahawa pelakon itu berkelakuan berbeza terhadapnya selepas pengguguran.

Walaupun “pelakon K” tidak disebutkan namanya di pos asal, The Korea Herald melaporkan bahawa wartawan yang bertukar menjadi YouTuber Lee Jin-ho pada hari Isnin mengenal pasti orang itu sebagai Kim.

Berikutan tuduhan itu, iklan yang menampilkan pelakon itu telah ditarik balik, termasuk iklan bersama Domino’s Pizza Korea dan Canon Korea, menurut akhbar itu lagi.

Dia turut dikeluarkan daripada beberapa projek, termasuk musim keempat rancangan ‘1 Night, 2 Days’ serta filem komedi romantis, 2 O’clock Date.

Agensi Kim, Salt Entertainment, juga mengeluarkan kenyataan pada hari Rabu ini, meminta maaf kepada orang-orang yang terluka atau kecewa dengan kejadian baru-baru ini.

Sehari sebelumnya, agensi itu mengumumkan bahawa wawancara Kim dengan akhbar telah dibatalkan yang pada mulanya dia dijadualkan untuk mengadakan sidang media pada hari Rabu berikutan berakhirnya Hometown Cha-Cha-Cha pada 17 Oktober lepas.