Drama Isnin dan Selasa di saluran ENA bertajuk The Defects telah mencuri perhatian ramai dengan peningkatan tontonan yang ketara, mencatatkan rekod tertinggi sejak ia mula disiarkan.
Keberanian jalan ceritanya serta mutu lakonan yang mantap daripada barisan pelakon menjadi antara faktor utama kejayaan ini. Paling menyerlah ialah lakonan penuh berkarisma oleh Yum Jung-ah yang sekali lagi memegang watak antagonis penuh intensiti, mengingatkan penonton kepada peranannya sebagai Han Seo-jin dalam drama SKY Castle.
Namun, tidak semua pilihan pelakon mendapat sambutan positif. Sebahagian penonton di Korea menyuarakan kekecewaan terhadap pemilihan pelakon baharu seperti Dex dan Lee Na-eun yang dikatakan mencacatkan kesan keseluruhan drama.
Tema Berat dan Mengejutkan

The Defects merupakan sebuah drama aksi thriller yang mengisahkan perjuangan hidup dan dendam anak-anak yang dibuang oleh ibu bapa angkat mereka. Kisahnya sarat dengan isu sensitif seperti kartel pengambilan anak angkat secara haram, di mana kanak-kanak dibeli, dijual, dan dikembalikan sekiranya tidak menepati kehendak. Diadaptasi daripada sebuah webtoon, penceritaannya yang segar dan tidak dijangka berjaya memecah rekod tontonan hanya dalam tempoh tiga minggu selepas ditayangkan.
Baca lagi: The Defects: 6 Jenayah Menjijikkan oleh Sindiket Gelap Bertopeng Kebajikan
Baca juga: The Defects: Jual Beli Rahsia, Bayi Diperlakukan Seperti Barang dalam Jualan Bidaan Gelap
Yum Jung-ah: Teraju Utama yang Tidak Mengecewakan

Yum Jung-ah memegang watak Kim Se-hee, seorang selebriti perubatan yang disegani namun menyimpan rahsia besar sebagai ketua sindiket pengambilan anak angkat secara haram. Lakonannya yang mantap dan penuh kejahatan berjaya menambahkan ketegangan dalam drama ini. Ramai penonton memuji kekuatan wataknya, malah membandingkan dengan prestasi cemerlangnya dalam SKY Castle. Keupayaannya membawa watak jahat yang licik menjadikan beliau tunjang utama kepada daya tarikan drama thriller ini.
Won Jin-ah Bangkit Dengan Lakonan Lebih Meyakinkan

Turut menerima pujian ialah Won Jin-ah yang dilihat semakin matang dalam lakonannya. Kritikan yang pernah diterima sebelum ini seolah-olah ditepis melalui aksi stabil dan penghayatan emosi yang lebih mendalam kali ini. Keserasian lakonannya bersama Yum Jung-ah menambahkan kekuatan kepada keseluruhan naskhah ini dan menjadi antara faktor mengapa penonton terus melekat di kaca televisyen.
Dex dan Lee Na-eun, Titik Lemah Dalam Barisan Pelakon?

Bagaimanapun, kemunculan Dex sebagai pelakon baharu menimbulkan banyak persoalan. Ramai mengkritik pertuturannya yang kaku dan pergerakan yang tidak semula jadi. Lebih mengecewakan apabila Dex secara terbuka mengakui memilih watak ini kerana jumlah dialog yang sedikit dan tanpa sebarang latar belakang dalam bidang lakonan. Sikap ini mencetuskan kemarahan sesetengah penonton yang merasakan prestasinya mengganggu tumpuan sejak episod pertama.
Lee Na-eun pula berdepan kontroversi lama yang masih menghantui reputasinya. Namanya terpalit dengan tuduhan membuli rakan sepasukan kumpulan April, Lee Hyun-joo pada tahun 2021. Walaupun isu itu sudah lama, persepsi buruk masyarakat terhadap dirinya masih belum terpadam. Akibatnya, terdapat penonton yang enggan menonton The Defects semata-mata kerana penglibatannya.
Mampukah Yum Jung-ah Terus Mengangkat Drama Ini?

Walaupun The Defects berjaya mencipta gelombang dengan tema berani dan lakonan mantap Yum Jung-ah, dua nama iaitu Dex dan Lee Na-eun dilihat sebagai halangan besar yang mungkin menjejaskan prestasi drama ini untuk jangka panjang. Persoalannya kini, adakah kekuatan Yum Jung-ah dan jalan cerita yang mendebarkan mampu mengekalkan momentum sehingga episod terakhir, atau adakah isu pelakon akan menjatuhkan popularitinya?
Sama-sama kita nantikan bagaimana The Defects meneruskan perjalanannya dalam minggu terakhir pada 11-12 Ogos ini, bagi mengukir nama sebagai antara drama aksi thriller paling berani tahun ini.








