Home Entertainment Ini Sebab Kenapa Selebriti Korea Jarang Guna Media Sosial

Ini Sebab Kenapa Selebriti Korea Jarang Guna Media Sosial

0

Bintang-bintang Korea Selatan kini bersinar terpancar ke seluruh dunia. Populariti mereka meroket naik seiring bertambahnya filem, siri televisyen. drama mahupun muzik berasal dari negara kimchi ini yang dinikmati penduduk global masa kini.

Peminat para superstar seperti Gong Yoo, Song Joong Ki, dan Lee Jung Jae kini tidak hanya terhad dari Asia saja tetapi juga dari Eropah, Amerika Syarikat dan Amerika Selatan.

Namun peminat mungkin berasa sedikit hampa apabila mendapati artis pujaan mereka tidak begitu aktif di media sosial (medsos) atau malah ada yang tiada akaun medsos pun. Seingat saya, Gong Yoo dan Lee Jung Jae baru buka akaun Instagram tahun lepas, selepas berpuluh tahun dalam industri hiburan.

Kelakuan ini boleh dikatakan agak rare kerana secara umumnya selebriti selalu mengemas kini kegiatan mereka di dunia maya.

Ramai juga selebriti dari Asia Timur yang aktif di media sosial, namun terdapat juga golongan yang jarang ‘berbunyi’ di media sosial. Jika ada pun biasanya sifat peribadinya bagaikan terkunci dan dirahsiakan keberadaannya daripada umum.

Punca Bintang Korea Selatan Jarang Guna Media Sosial

Baru-baru ini beberapa nama besar Korea Selatan yang dilaporkan baru memiliki akaun Instagram peribadi. Namun konten yang dimuat naik biasanya terbatas dan hanya berkisar soal kerja atau foto sederhana seperti gambar sotong.

Tidak ramai yang galak menyelak aktiviti sehariannya untuk tatapan netizen termasuk menayang kediaman peribadi seperti yang banyak dilakukan oleh selebriti tempatan atau Hollywood.

Memetik laporan Kompas, antara punca yang membuatkan para aktor atau aktres enggan terlalu aktif di dunia siber kerana mereka mengutamakan privasi.

Namun ada juga yang takut nak jadi pengguna media sosial seperti Jo In Sung, pelakon ‘Escape From Mogadishu’ kerana bimbang tersalah cakap, tersilap tatabahasa, ejaan atau hal negatif lain.

Selain dikhuatiri memberikan pengaruh buruk kepada peminat, mereka juga risau dimalukan atau dibuli secara siber dengan kesalahan sendiri. Kerana artis juga manusia biasa seperti kita yang tidak sempurna.

Yoo Jae Suk, salah seorang member Running Man dan pengacara termahal Korea itu pilih untuk menjauhi media sosial kerana takut ketagih dan akhirnya tak buat apa pun sepanjang hari. Menurut AllKpop, nanti umur 70 tahun baru dia nak buka akaun media sosial katanya.

“Saya tak perlukannya pun. Banyak benda lain lagi nak kena buat selain main media sosial. Saya sibuk.”- Jae Suk

Manakala pelakon filem ‘A Werewolf Boy’, Park Bo-young tak nak main media sosial karena menyedari dirinya sangat emosional serta bimbang segala konten di internet itu nanti buat dia hilang sabar dan sifat buruknya terkeluar sampai ke netizen.

Kesan media sosial ke atas kehidupan menjadi alasan kenapa para selebriti tersebut tidak begitu menggemarinya, malah ada yang menilai platform media sosial sebagai kurang efektif bagi berkomunikasi dengan peminat dan memilih cara lain.

Akhirnya ada juga yang mempunyai akaun Instagram seperti Gong Yoo dan Song Joong Ki namun postingan terbatas atau dikendalikan oleh agensinya.