Heo Nam Junkembali mencuri perhatian peminat K-Drama apabila disahkan menyertai drama berskala besar terbaharu tvN, Whale Star: The Gyeongseong Mermaid. Lebih menarik, drama ini merupakan adaptasi daripada webtoon terkenal Naver yang pernah memenangi pelbagai anugerah serta menerima pujian meluas daripada pembaca.
Selepas melonjak popular menerusi drama romantik My Royal Nemesis, pelakon berusia 31 tahun itu kini bersedia memperlihatkan sisi lakonan yang jauh berbeza apabila memegang watak yang lebih berat dan emosional dalam sebuah drama berlatarbelakangkan era penjajahan Jepun di Korea.
Perkembangan tersebut mencetuskan keterujaan dalam kalangan peminat kerana ramai percaya watak baharu ini mampu menjadi antara persembahan terbaik Heo Nam Jun sepanjang kariernya.
Heo Nam Jun bawa watak Song Hae Su

Dalam Whale Star: The Gyeongseong Mermaid, Heo Nam Jun akan membawakan watak Song Hae Su, seorang pejuang kemerdekaan yang kehilangan seluruh ahli keluarganya akibat penjajahan.
Song Hae Su digambarkan sebagai individu yang tegas, berani dan sanggup mengorbankan apa sahaja demi perjuangan negaranya. Namun di sebalik sifat kerasnya, watak ini turut menyimpan luka dan konflik emosi yang mendalam, menjadikannya antara karakter paling kompleks dalam keseluruhan cerita.
Lebih menarik, jalan hidup Song Hae Su mula berubah selepas dia bertemu Heo Su A lakonan Moon Ga Young, seorang pembantu rumah yang bekerja untuk keluarga pro-Jepun. Pertemuan itu akhirnya menghubungkan mereka dengan Kang Ui-hyeon lakonan Choi Woo-shik, seorang lagi aktivis kemerdekaan yang terselamat selepas diselamatkan daripada lemas.
Hubungan tiga watak utama ini bakal menjadi tunjang kepada kisah cinta, pengorbanan dan perjuangan yang menjadi nadi utama drama tersebut.
Adaptasi daripada webtoon terkenal

Whale Star: The Gyeongseong Mermaid bukanlah karya biasa.
Drama ini diadaptasikan daripada webtoon Naver dengan judul sama yang diterbitkan antara tahun 2019 hingga 2021. Siri webtoon berkenaan menerima sambutan luar biasa daripada pembaca sehingga mengekalkan penarafan hampir sempurna sepanjang penerbitannya.
Malah, karya tersebut turut memenangi Presidential Award dalam kategori komik pada Korea Content Awards 2021, sekali gus meletakkannya sebagai antara webtoon romantik terbaik pernah diterbitkan di Korea Selatan.
Kisah ini diinspirasikan secara longgar daripada dongeng klasik The Little Mermaid, namun diolah dalam latar sejarah Korea pada tahun 1926 ketika negara itu berada di bawah pemerintahan Jepun.
Gabungan elemen sejarah, percintaan, tragedi dan perjuangan kemerdekaan menjadi faktor utama mengapa ramai peminat sudah lama menantikan adaptasi dramanya.
Baca webtoon di sini
Transformasi imej paling ketara

Antara perkara yang paling mencuri perhatian ialah perubahan imej Heo Nam Jun.
Pelakon yang sebelum ini sering tampil dengan gaya rambut pendek memilih untuk menyimpan rambut panjang demi menjiwai watak Song Hae-su.
Transformasi tersebut menerima pelbagai reaksi positif di media sosial kerana ramai berpendapat penampilan baharunya hampir menyerupai ilustrasi asal dalam webtoon.
Bukan sekadar perubahan fizikal, watak Song Hae-su juga dijangka memerlukan lakonan yang lebih matang memandangkan karakter tersebut mempunyai perkembangan emosi yang kompleks, bermula sebagai seorang pejuang yang dipenuhi dendam sebelum melalui pelbagai konflik yang mengubah kehidupannya.
Ramai peminat webtoon turut menyifatkan Song Hae-su sebagai antara watak paling “kelabu” dari segi moral kerana tindakannya sering mengundang konflik, namun akhirnya berkembang menjadi karakter yang cukup menyentuh hati.
Gandingan pelakon mantap

Selain Heo Nam Jun, drama ini turut dibintangi dua nama besar industri Korea iaitu Moon Ga Young dan Choi Woo Shik.
Moon Gan Young memegang watak Heo Su A, seorang wanita bisu yang bekerja sebagai pembantu rumah kepada keluarga penyokong Jepun sebelum kehidupannya berubah akibat pertemuan dengan dua pejuang kemerdekaan.
Sementara itu, Choi Woo Shik membawa watak Kang Ui Hyeon, seorang aktivis kemerdekaan yang menjadi salah satu tonggak utama perjalanan cerita.
Gabungan tiga pelakon ini dianggap antara kekuatan terbesar drama berkenaan memandangkan masing-masing mempunyai pengalaman luas dalam membawakan watak yang sarat emosi.
Drama Baharu Whale Star: The Gyeongseong Mermaid Umum Barisan Pelakon Hebat, Kisah Cinta Era Penjajahan Jepun
Semakin Viral, 12 Fakta Tentang Heo Nam Jun Yang Ramai Peminat K-Drama Belum Tahu
Barisan produksi berpengalaman

Drama ini turut dibarisi pasukan produksi yang cukup berpengaruh.
Pengarah Hur Jin-ho, yang terkenal menerusi filem romantik klasik Christmas in August, berganding dengan Yoo Beom-sang, yang sebelum ini terlibat dalam drama popular seperti Twinkling Watermelon dan Study Group.
Skrip pula ditulis oleh Moru dan Seolsup, sekali gus mengekalkan identiti asal webtoon yang menjadi kegemaran ramai pembaca.
Penerbitan drama ini dikendalikan oleh Studio Dragon bersama Take One Studio, dua nama besar yang terkenal menghasilkan pelbagai drama berkualiti tinggi.
Dijangka antara drama terbesar tahun 2027

Whale Star: The Gyeongseong Mermaid dijadualkan ditayangkan sekitar tahun 2027 menerusi tvN.
Sejak diumumkan, drama ini sudah menerima perhatian besar daripada peminat K-Drama di seluruh dunia, khususnya dalam kalangan pembaca webtoon asal yang berharap adaptasi televisyen itu mampu mengekalkan kekuatan penceritaan asal.
Dengan gabungan jalan cerita yang menyentuh emosi, latar sejarah yang mendalam, produksi bertaraf tinggi serta barisan pelakon hebat, Whale Star: The Gyeongseong Mermaid dilihat berpotensi menjadi antara drama Korea paling dinanti dan paling banyak diperkatakan apabila ia menemui penonton kelak.








