Home Artis Korea Kim Mu Yeol dan Lee Jung Eun Berganding Dalam Adaptasi Webtoon Granny,...

Kim Mu Yeol dan Lee Jung Eun Berganding Dalam Adaptasi Webtoon Granny, Drama Aksi Thriller Baharu Netflix

0

Netflix bakal menerbitkan drama Korea Granny, adaptasi webtoon popular lakonan Kim Mu Yeol dan Lee Jung Eun. Penggambaran bermula Julai 2026 dengan kisah aksi penuh dendam seorang nenek demi cucunya.

Netflix terus mengukuhkan barisan drama Korea adaptasi webtoon apabila dilaporkan bakal menerbitkan Granny, sebuah drama aksi thriller yang menampilkan gandingan mantap Kim Mu Yeol dan Lee Jung Eun sebagai teraju utama.

Drama ini diadaptasikan daripada webtoon popular karya Jae Hu dan bakal diarahkan oleh Han Dong Wook. Lebih menarik, Granny bukan sekadar mengisahkan pembalasan dendam, malah mengetengahkan perjuangan seorang nenek yang sanggup mempertaruhkan nyawanya demi menuntut keadilan buat cucu kesayangannya.

Menurut laporan, penggambaran drama ini dijadualkan bermula pada 5 Julai 2026 dan dijangka berlangsung selama beberapa bulan sebelum tamat sekitar awal tahun 2027.

Kisah Seorang Nenek Menjadi Pemburu Penjenayah

Kim Mu Yeol
Kim Mu Yeol

Granny memfokuskan kepada watak Jung Suk Ja, seorang wanita warga emas yang menganggap cucunya, Kwon Yong Hui, sebagai seluruh dunianya.

Namun kehidupannya berubah sepenuhnya apabila cucunya menjadi mangsa serangan sekumpulan penjenayah dikenali sebagai Black Star Mob sehingga menyebabkan remaja itu koma.

Lebih menyakitkan, kumpulan penjenayah tersebut dibebaskan walaupun bukti terhadap mereka cukup kukuh.

Ketika Jung Suk Ja hampir berputus asa, dua lelaki misteri muncul menawarkan bantuan. Mereka berjanji akan melatih wanita itu supaya mampu membalas dendam terhadap individu yang mencederakan cucunya serta menumpaskan organisasi jenayah tersebut.

Walaupun pada awalnya ragu-ragu, Jung Suk Ja akhirnya menerima tawaran itu sebelum memulakan misi memburu setiap ahli kumpulan Black Star Mob seorang demi seorang.

Sinopsis ini menjanjikan gabungan aksi, emosi kekeluargaan dan kisah pembalasan dendam yang dijangka menjadi antara kekuatan utama drama tersebut.

Lee Jung Eun Kembali Dengan Watak Penuh Cabaran

IMG 2045

Pelakon veteran Lee Jung Eun disahkan membawa watak utama sebagai Jung Suk Ja.

Nama Lee Jung Eun bukanlah asing dalam kalangan pelanggan Netflix apabila beliau pernah membintangi pelbagai naskhah popular seperti The Frog, The Trunk, Daily Dose of Sunshine, Juvenile Justice, Law School, Our Blues serta filem pemenang Anugerah Oscar, Parasite.

Menerusi Granny, beliau bakal mempamerkan sisi berbeza apabila memegang watak seorang nenek yang berubah menjadi individu berbahaya demi menuntut pembalasan.

Heo Nam Jun Tampil Berambut Panjang Demi Whale Star, Bawa Watak Aktivis Kemerdekaan
Drama Netflix ‘Teach You A Lesson’ Dedah Realiti Guru Korea, 438 Kes Pelanggaran Hak Direkodkan

Kim Mu Yeol Sertai Barisan Pelakon Utama

IMG 2046

Sementara itu, Kim Mu Yeol akan membawakan watak Seo Yeon U, salah seorang individu penting dalam perjalanan Jung Suk Ja.

Kim Mu Yeol semakin dikenali menerusi pelbagai karya aksi termasuk Sweet Home musim kedua dan ketiga, Juvenile Justice, selain filem Ballerina, Space Sweepers, dan yang terkini Teach Me A Lesson.

Ini juga menandakan pertemuan semula Kim Mu Yeol dan Lee Jung Eun selepas kedua-duanya pernah bekerjasama dalam drama Juvenile Justice.

Dengan reputasi Kim Mu Yeol sebagai pelakon yang sering membintangi naskhah aksi dan thriller, ramai menjangkakan wataknya dalam Granny bakal memainkan peranan besar dalam latihan serta misi membalas dendam Jung Suk Ja.

Studio Dragon Kini Menerajui Produksi

IMG 2049

Pada asalnya, Granny dirancang sebagai projek kerjasama antara Sanae Pictures dan Studio Dragon.

Bagaimanapun, laporan menyebut berlaku pertikaian berkaitan pembahagian keuntungan sehingga menyebabkan Sanae Pictures menarik diri daripada projek tersebut.

Susulan itu, Studio Dragon kini menjadi penerbit tunggal yang mengendalikan keseluruhan pembangunan drama berkenaan.

Walaupun berdepan perubahan di peringkat produksi, perkembangan terbaharu menunjukkan projek ini tetap diteruskan mengikut jadual.

Penggambaran Bermula Julai 2026

IMG 2027

Berdasarkan maklumat terkini, penggambaran Granny dijadualkan bermula pada 5 Julai 2026 sebelum berakhir sekitar awal 2027.

Sekiranya proses produksi berjalan lancar, drama ini berpotensi menemui penonton pada penghujung tahun 2027.

Namun begitu, pemerhati industri menjangkakan awal tahun 2028 merupakan tempoh yang lebih realistik untuk tayangan global di Netflix memandangkan proses pascaproduksi bagi drama aksi berskala besar lazimnya mengambil masa yang lebih panjang.

Netflix sendiri masih belum mengumumkan tarikh tayangan rasmi.

Adaptasi Webtoon Yang Wajar Dinantikan

IMG 2026

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Netflix berjaya menghasilkan pelbagai adaptasi webtoon berkualiti yang mendapat sambutan antarabangsa.

Kehadiran Granny dijangka meneruskan momentum tersebut menerusi gabungan jalan cerita penuh emosi, aksi mendebarkan dan lakonan dua pelakon berpengalaman.

Konsep seorang nenek yang dilatih menjadi pemburu penjenayah memberikan kelainan berbanding drama aksi Korea yang lain, sekali gus menjadikan Granny antara projek Netflix yang paling menarik untuk dinantikan.

Sumber