Home News Bekas Anggota Big Bang, Seungri Dihukum Penjara 3 Tahun

Bekas Anggota Big Bang, Seungri Dihukum Penjara 3 Tahun

0

Seungri, bekas bintang K-pop yang pernah menganggotai kumpulan BigBang telah dijatuhi hukuman penjara tiga tahun pada Khamis atas kesalahan membabitkan pelacuran dan perjudian.

Seungri, atau nama sebenarnya Lee Seung-hyun didapati bersalah bagi kesemua sembilan pertuduhan terhadapnya, termasuk mengatur perkhidmatan pelacuran bagi pelabur-pelabur serta terlibat dalam perjudian antarabangsa.

Selain itu, penyanyi berkenaan turut diarahkan membayar denda berjumlah 1.15 bilion won Korea bersamaan dengan RM4.18 juta.

Hukuman tersebut dijatuhkan mahkamah tentera selepas Seungri disiasat berhubung penglibatannya dalam skandal kelab malam Burning Sun di Seoul.

Memetik laporan Astro Awani via Yonhap, mahkamah memberitahu: “Tertuduh (Seungri) mengatur tawaran seksual buat pelabur asing beberapa kali di samping bersekongkol bersama rakan perniagaannya Yoo In-suk.

“Jenayah yang dilakukannya iaitu mengkomersialkan seks serta melanggar adat tradisional telah mendatangkan bahaya kepada masyarakat.”

Pada Julai lalu, pendakwa raya mahkamah tentera dilapor berkata bahawa Seungri “tidak menunjukkan tanda insaf dan menuding jari kepada orang lain, walaupun setelah mengaut keuntungan daripada kesalahannya”.

Seungri memulakan kariernya sebagai bintang K-pop bersama BigBang pada 2006 sebelum kumpulan tersebut berjaya mencipta nama di pentas antarabangsa.

Dia didaftarkan masuk ke angkatan tentera Korea Selatan tahun lepas selepas berundur daripada BigBang susulan skandal Burning Sun yang menggemparkan seluruh industri hiburan tempatan.

Skandal tersebut menyaksikan beberapa tuduhan besar dilemparkan terhadap penggiat industri hiburan yang berkait dengan kelab malam Burning Sun.

Sumber: Astro Awani