Chef selebriti Korea, Baek Jong Won, mengambil keputusan drastik untuk menamatkan semua penampilannya di televisyen selepas terpalit pelbagai kontroversi yang menjejaskan reputasi serta perniagaan makanannya, The Born Korea.
Pada Selasa (6 Mei), Baek Jong Won memuat naik sebuah video di saluran YouTube miliknya bertajuk “Saya akan memulai lagi dari awal” bagi mengumumkan pengunduran dirinya daripada semua aktiviti di kaca TV.
“Bermula sekarang, saya akan menumpukan sepenuh tenaga dan usaha saya untuk membangunkan The Born Korea sebagai seorang usahawan, bukan lagi sebagai tokoh televisyen,” katanya dalam video berdurasi lima minit itu.
Video ini merupakan permohonan maaf awam ketiganya tahun ini, selepas dua permohonan maaf terdahulu yang disampaikan secara bertulis dan semasa mesyuarat pemegang saham pada Mac 2025.
“Saya sudah pun menyampaikan permohonan maaf melalui kenyataan bertulis serta dalam mesyuarat pemegang saham, namun hari ini saya ingin menyatakan rasa kesal saya secara langsung, dengan penuh keikhlasan,” jelasnya.
Dalam video tersebut, Baek memberi maklum balas terhadap pelbagai dakwaan yang dilemparkan ke atas dirinya dan syarikat sejak awal tahun 2025.
“Kami telah mengenal pasti punca sebenar kepada semua masalah ini, termasuk isu berkaitan kualiti, keselamatan makanan, dan kebersihan semasa festival. Kami kini sedang berusaha menyelesaikan semuanya satu persatu,” ujarnya.
“Semua masalah ini berpunca daripada saya,” tambahnya lagi.
Chef terkenal itu turut menyatakan keprihatinannya terhadap para pemilik francais di bawah The Born Korea, sebagaimana yang dilaporkan oleh Korea JoongAng Daily.
“Perkara yang paling menyedihkan bagi saya adalah keadaan terdesak yang sedang dihadapi oleh ramai pemilik francais kami,” katanya.
“Selepas melancarkan pelbagai langkah bantuan kecemasan, saya telah melawat beberapa cawangan untuk mendengar sendiri luahan para rakan kongsi kami. Saya kini berusaha keras agar tidak meninggalkan seorang pun pemilik francais.”
Beliau turut mengulas tentang kritikan keras yang timbul susulan penampilannya di media, terutamanya selepas dakwaan penyalahgunaan kuasa dalam industri penyiaran.

Seorang bekas penerbit rancangan TV baru-baru ini mendakwa dalam sebuah video YouTube bahawa Baek Jong Won menggunakan pengaruhnya untuk memilih individu tertentu bagi program yang disertainya, sekaligus mencetuskan tuduhan penyalahgunaan kuasa.
“Saya memahami kebimbangan masyarakat terhadap seorang CEO syarikat tersenarai awam yang turut aktif sebagai selebriti,” ujarnya.
“Saya juga sedar akan dakwaan serius yang timbul kebelakangan ini. Jika ada kata-kata atau tindakan saya yang telah melukai mana-mana pihak sepanjang penggambaran program, itu sepenuhnya kesilapan saya. Saya perlu kekal rendah diri, lebih-lebih lagi setelah menerima sokongan yang begitu besar.”
Baek Jong Won turut mengesahkan bahawa semua penampilannya di televisyen akan dihentikan, kecuali untuk program yang telah selesai menjalani proses produksi.
“Kecuali untuk rancangan yang telah melalui fasa penggambaran, saya akan menghentikan semua aktiviti penyiaran. Fokus saya kini adalah kepada francais, pemegang saham dan pelanggan kami. Saya akan mulakan semuanya dari awal.”

Keputusan ini menandakan bahawa Baek Jong Won akan berundur sepenuhnya dari kaca televisyen selepas siaran The Genius Paik 3 di tvN dan Culinary Class Wars Season 2 di Netflix ditayangkan kepada umum.
Pada awal tahun ini, Baek Jong Won telah mengeluarkan dua permohonan maaf berkaitan beberapa kontroversi, termasuk keraguan terhadap kualiti produk The Born Korea, kesilapan pelabelan asal bahan, serta kelemahan dalam pengendalian bahan dan peralatan ketika acara umum.
Baru-baru ini, The Born Korea mengumumkan pelan bantuan bernilai 5 bilion won yang merangkumi pengecualian royalti selama tiga bulan kepada para pemilik francais.
Syarikat itu juga telah disenaraikan di pasaran saham Kospi dengan harga permulaan 34,000 won sesaham dan nilai modal pasaran mencecah 743.6 bilion won.








