Home Entertainment Tiga Filem Popular Indonesia Bakal Diolah Semula oleh Syarikat Produksi Ternama Korea...

Tiga Filem Popular Indonesia Bakal Diolah Semula oleh Syarikat Produksi Ternama Korea Selatan

0

Korea Selatan dilaporkan bakal menghasilkan semula atau membuat olahan semula bagi tiga filem popular dari Indonesia, termasuk Agak Laen. Projek olahan semula ini merupakan hasil kerjasama antara syarikat produksi dari kedua-dua negara, iaitu Barunson E&A dari Korea Selatan dan Imajinari dari Indonesia.

Menurut laporan Variety pada Selasa (6 Mei), menerusi perjanjian tersebut, syarikat Korea Selatan itu juga telah memperoleh hak untuk menghasilkan versi antarabangsa bagi olahan semula Agak Laen serta sekuelnya, termasuk Tinggal Meninggal.

IMG 3588 IMG 3583

Agak Laen (2024) merupakan sebuah filem komedi seram yang diadaptasi daripada sebuah podcast popular dengan tajuk yang sama. Ia mengisahkan sekumpulan sahabat yang cuba menjadikan rumah hantu yang mereka uruskan di sebuah pasar malam kelihatan lebih menyeramkan. Namun, usaha mereka akhirnya membawa kepada kejadian yang meragut nyawa.

Filem arahan Muhadkly Acho ini mencatat kejayaan besar apabila berjaya menduduki tangga kedua dengan kutipan penonton sebanyak 9.125 juta orang sepanjang tayangannya di pawagam pada tahun 2024. Kejayaan ini dianggap mengejutkan memandangkan “Agak Laen” pada awalnya tidak dijangka akan meraih jumlah penonton yang sebegitu tinggi.

Kejayaan itu turut membuka jalan kepada penghasilan sekuelnya, Agak Laen 2, yang dijadualkan tayang pada suku keempat tahun 2025, dan masih akan diarahkan oleh Muhadkly Acho. Setakat ini, tiada maklumat lanjut didedahkan mengenai jalan cerita untuk sekuel tersebut.

3c586977 5589 4a7c 8525 3ac9902701b1

Dalam perkembangan berkaitan, filem Tinggal Meninggal mengetengahkan kisah tentang Gema, seorang lelaki kesunyian yang pernah berbohong demi menarik perhatian rakan sekerjanya. Apa yang bermula sebagai pembohongan kecil akhirnya berkembang menjadi masalah besar dan merumitkan hidupnya.

Tinggal Meninggal diarahkan oleh Kristo Immanuel dengan skrip yang ditulis bersama isterinya, Jessica Tjiu. Tinggal Meninggal dijadualkan tayang di pawagam pada Ogos 2025.

Langkah strategik ini menandakan perkembangan Barunson dalam usaha memperoleh lesen untuk mengolah semula karya dari pasaran Asia Tenggara yang sedang berkembang pesat, termasuk Indonesia.

“Falsafah kami sentiasa menekankan penceritaan asli yang dibawakan dengan pendekatan mengejutkan dan menarik perhatian penonton,” kata Ernest Prakasa, pengasas Imajinari mengenai kerjasama dengan Barunson E&A.

“Kerjasama ini sangat mengujakan, dan kami tidak sabar untuk melihat kreativiti kami dihidupkan semula dalam versi olahan di seluruh dunia,” tambahnya.

Imajinari ialah sebuah studio produksi yang diasaskan oleh Ernest Prakasa bersama pengurusnya, Dipa Andika, pada tahun 2021. Sejak penubuhannya, syarikat ini telah berkembang menjadi antara penerbit filem yang menjanjikan di Indonesia.

Studio ini memperoleh populariti menerusi filem Ngeri-Ngeri Sedap yang ditayangkan pada tahun 2022, dengan kutipan penonton sebanyak 2.8 juta. Filem itu turut muncul sebagai filem keempat paling ramai ditonton di Indonesia pada tahun berkenaan.

Sebelum memegang lesen untuk mengolah semula Agak Laen, Agak Laen 2, dan Tinggal Meninggal, Barunson, yang pernah menjadi penerbit kepada filem pemenang Oscar Parasite, sudah terlibat dalam beberapa produksi filem Indonesia seperti 13 Bombs, Respati, dan versi baharu Rangga & Cinta.

Filem

“Bersama Imajinari, kami melihat sebuah studio yang cemerlang dalam menyampaikan kisah-kisah yang amat relevan, tentang keluarga, cinta dan hubungan sesama manusia, dengan pendekatan yang segar dan menghiburkan,” ujar Yoonhee Choi, Ketua Pegawai Eksekutif Barunson E&A.

“Kami teruja untuk memperkenalkan IP unik mereka kepada penonton global dan menyebarkan suara-suara kreatif yang layak menerima pengiktirafan yang lebih luas,” tambahnya lagi.

Anda rasa filem-filem Malaysia manakah yang ada potensi untuk dibuat semula dalam versi Korea?
Baca lagi: Mana Paling Best? Versi Drama atau Webtoon? Lihat Perbezaan ‘Weak Hero Class 2’ Ini
Baca juga: Reborn Rich Disahkan Kembali dengan Musim Ke-2, Adakah Song Joong Ki Akan Kembali?