Home K - Pop Apa Jadi Kepada Artis K-Pop Selepas Era Kegemilangan Mereka Tamat?

Apa Jadi Kepada Artis K-Pop Selepas Era Kegemilangan Mereka Tamat?

0

Hidup ini seperti gelombang, kadang berada di titik teratas dan adakalanya menjunam ke bawah. Termasuklah kehidupan glamor yang dilalui selebriti K-Pop.

Bagi peminat K-pop generasi kedua, pasti pernah mendengar nama-nama grup seperti SNSD, T-ARA dan 2NE1. Kini mereka kelihatannya semakin menyepi dan cuma menjadi kenangan indah untuk diingati.

Menurut portal Kbizoom, nampaknya grup K-pop generasi pertama dan kedua yang pernah mendunia suatu ketika dulu semakin diketepikan oleh masyarakat Korea selepas mencapai puncak populariti. Reaksi acuh tak acuh orang awam di Korea terhadap berita Miss A dibubarkan secara rasmi mengesahkan lagi kebenaran pahit yang sedang berlaku ini.

Manakala peminat K-pop generasi pertama mungkin berasa sedih apabila mengimbas kembali apa yang berlaku kepada Yoochun (JYJ), Kim Hyun Joong (SS501), dan Kangin (Super Junior). Tiga penyanyi yang dahulunya mendapat tepukan ramai kini menjadi penjenayah di mata orang ramai.

Rancak campaign 1640x614 1 9

Begitulah realiti keras dan kejam showbiz Korea. Hari ini anda mungkin seorang superstar dan pujaan ramai, esoknya tidak mustahil tidak dipedulikan, diboikot dan dicemuh. Kitaran ini tidak mengecualikan sesiapa.

Itulah juga sebab mengapa ramai artis K-pop terkejut, tertekan, dan terdesak apabila mereka tiba-tiba kehilangan kemasyhuran dan sejumlah besar peminat. Bila berada di atas, sebolehnya mahu kekal berada di situ sehinggalah ditampar realiti. Selepas melalui titik puncak, populariti mereka digantikan oleh kumpulan baru dan lebih muda.

Apabila bubar, semakin cepat mereka dilupakan. Itu perasaan paling sakit untuk dihadapi seorang penghibur, bila tidak diendahkan lagi oleh orang ramai apatah lagi syarikat pengurusan yang tahu mengaut keuntungan atas nama bisnes.

Namun bukan semuanya tenggelam terus, ada juga penyanyi K-Pop lama yang masih relevan, menjaga nama baik dan dialu-alukan peminat atas dedikasi dan kebolehan mereka dalam menghasilkan karya berkualiti tinggi seperti IU, Zico dan Highlight. Sekiranya syarikat tidak lagi boleh diharap untuk melabur secara aktif dan mencari lagu yang bagus untuk mereka, bikin sahajalah muzik sendiri.

Jadi, pengajaran yang saya dapat adalah populariti dan perhatian ramai bukanlah matlamat utama untuk capai sesuatu, sebab benda-benda macam ni bersifat sementara dan tidak sesuai untuk bergantung selamanya. Sebaliknya tambah baik nilai diri dan skil supaya tercampak di mana-mana boleh jadi pulau. Mungkin itulah logik dalam kedua-dua industri hiburan dan kehidupan.