Home Politics Anak Muda Korea Utara Diarahkan Berhenti Tiru Gaya K-Pop

Anak Muda Korea Utara Diarahkan Berhenti Tiru Gaya K-Pop

0

Anak muda Korea Utara telah diberi amaran bahawa mereka mesti mengikuti gaya hidup tradisional dan mematuhi dialek negara.

Perintah berkenaan disuarakan menerusi akhbar rasmi negara tertutup itu ketika Pyongyang berusaha untuk membasmi pengaruh budaya dari Korea Selatan.

Perhatian Rejim Kim Jong Un tertumpu pada amalan percakapan harian para millennials yang meniru slang negara tetangga mereka misalnya menyebut suami sebagai “Oppa” yang bermaksud “Abang”.

Akhbar Rodong Sinmun turut mengatakan bahasa rasmi Korea Utara lebih unggul dan orang muda mesti menggunakannya dengan betul – sambil memastikan pakaian, gaya rambut, pilihan muzik dan gaya menari mereka lebih patuh standard negara.

Menurut agensi berita Yonhap Korea Selatan via SkyNews, artikel akhbar tersebut turut berbunyi: “Ideologi dan budaya yang menembus di bawah papan tanda borjuis berwarna-warni bahkan lebih berbahaya daripada musuh bersenjata.”

Akhir tahun lalu, undang-undang baru lebih keras telah diperkenalkan di mana ibu bapa boleh didenda jika anak-anak mereka ditangkap gara-gara menikmati hiburan Korea Selatan atau meniru cara mereka bercakap.

Mereka yang ditangkap atas kesalahan layan media dari Korea Selatan termasuk guna TV, radio, komputer dan telefon bimbit yang tidak berdaftar dari negara lain boleh dihukum penjara sehingga 15 tahun.

Manakala hukuman seumur hidup pula dijatuhkan kepada seseorang yang mengimport kandungan terlarang itu dari Korea Selatan, sementara mereka yang menyeludup sejumlah besar kandungan dari Amerika Syarikat atau Jepun pula boleh dikenakan hukuman mati.

Tae Yong-ho, warga Korea Utara pertama yang menjadi ahli politik Korea Selatan, pernah mengatakan kepada Reuters: “Pada siang hari, penduduk berteriak ‘Hidup Kim Jong Un’ – tetapi pada waktu malam mereka semua menonton drama dan filem Korea Selatan. ”

Sumber: News Sky