Home Kdrama/Kmovie Drama Korea Squid Game Musim 3, Babak Akhir yang Penuh Darah, Emosi dan Misteri

Squid Game Musim 3, Babak Akhir yang Penuh Darah, Emosi dan Misteri

0

Setelah penantian yang panjang, Squid Game Musim 3 akhirnya menunjukkan tanda-tanda kehidupan dengan pelancaran poster rasmi, treler acah, dan beberapa gambar promosi terbaharu. Netflix secara rasmi mengumumkan bahawa Squid Game musim 3 dan terakhir siri popular ini akan ditayangkan serentak pada 27 Jun 2025.

Bukan sekadar membawa kembali ketegangan yang mendebarkan, Squid Game musim 3 ini turut menjanjikan permainan yang lebih mematikan dan penuh kejutan.

Siri ini masih memberi fokus kepada watak utama, Seong Gi Hun (dilakonkan oleh Lee Jung Jae), yang kembali terjebak dalam permainan maut dengan misi peribadi. Setelah kehilangan sahabat karibnya, Jung Bae (Lee Seo Hwan), dalam percubaan pemberontakan yang gagal, Gi Hun kini dibelenggu kemarahan dan rasa kehilangan yang mendalam.

Memetik laporan dari Soompi pada Rabu (7 Mei 2025), poster terbaharu memperlihatkan Gi Hun berdiri di tengah-tengah peti mati yang dihias dengan reben merah jambu, menggambarkan suasana suram yang bakal mendominasi musim ini. Treler bermula dengan adegan mengejutkan, seorang penjaga berpakaian merah jambu membawa sebuah peti mati ke asrama para peserta, diiringi muzik ceria yang ironi, lalu menambahkan rasa cemas. Ketegangan memuncak apabila peti mati itu terbuka dan Gi Hun membuka matanya, menandakan permulaan babak baharu dalam siri ini.

Para peserta yang terselamat dikumpulkan dalam sebuah bilik misteri dengan reka bentuk menyerupai kunci dan pintu berbentuk pisau. Mereka perlu memilih bola berwarna secara rawak, permulaan kepada permainan baharu dalam arena berbentuk labirin yang mematikan. Setiap cabaran kelihatan lebih rumit dan kejam berbanding sebelumnya, menambah beban fizikal dan mental kepada para peserta.

Squid game musim 3

Dalam treler juga kelihatan persiapan sebuah pesta mewah untuk golongan VIP yang tidak muncul pada musim kedua. Ini memberi petunjuk bahawa permainan telah memasuki fasa penamat, atau “endgame”, di mana para penonton elit kembali menyaksikan pertarungan hidup dan mati dari sebalik tirai kemewahan.

Kemunculan semula watak Front Man (Lee Byung Hun), yang sebelum ini menyamar dan mengatur permainan dari sebalik topeng, menambahkan lapisan misteri yang baharu. Riak wajahnya yang dingin dalam gambar promosi menunjukkan bahawa akan berlaku pertembungan besar antara beliau dan Gi Hun dalam Squid Game musim 3 ini.

Bukan itu sahaja, beberapa watak lama dan baharu turut diberikan tumpuan. Antaranya ialah Myung Gi (Yim Si Wan), Dae Ho (Kang Ha Neul), Hyun Ju (Park Sung Hoon), Yong Sik (Yang Dong Geun), Geum Ja (Kang Ae Shim), Seon Nyeo (Chae Gook Hee), Min Su (David Lee), Nam Gyu (Roh Jae Won), dan tentunya Jun Hee (Jo Yu Ri), peserta yang sedang hamil, mencetuskan persoalan besar mengenai nasib dirinya dan bayi yang dikandung.

IMG 3623

Salah satu adegan yang mengganggu muncul pada penghujung treler: suara tangisan bayi bergema di tengah kekacauan arena, memfokuskan perhatian kepada Jun Hee. Penonton mula tertanya-tanya, adakah dia mampu bertahan, atau menjadi korban kepada sistem yang tidak berperikemanusiaan?

No Eul (Park Gyu Young) turut mencuri tumpuan. Beliau kini kelihatan tanpa topeng dan berkeliaran bersendirian di arena, seolah-olah telah keluar daripada peraturan yang mengikat para penjaga. Ekspresinya yang tegas dan penuh konflik menunjukkan bahawa dia mungkin sedang menjalankan agenda peribadi.

Sementara itu, Jun Ho (Wi Ha Joon) masih meneruskan misinya untuk mencari lokasi tersembunyi permainan. Salah satu gambar menunjukkan dia tercungap-cungap di tepi pantai dengan tabung oksigen, memberi petunjuk bahawa dia mungkin telah menemui pulau lokasi permainan berlangsung. Namun, masih belum dapat dipastikan sama ada dia akan pulang dengan selamat atau terperangkap sekali lagi.

Squid game 3

Visual dalam treler dan gambar promosi menguatkan lagi suasana kelam dan tragis Squid Game musim 3 dan yang terakhir ini. Para peserta kelihatan semakin letih, putus asa, dan lebih kejam daripada sebelumnya. Tanda-tanda bahawa setiap permainan bakal menjadi pertarungan terakhir buat ramai watak kini semakin jelas.

Squid Game musim 3 ini akan terdiri daripada enam episod keseluruhannya, dan semuanya akan dikeluarkan serentak pada 27 Jun 2025. Ini membolehkan penonton menonton secara maraton dan menyelami penamat kepada saga penuh maut ini tanpa menunggu setiap minggu.

Dengan visual yang makin menyeramkan, watak-watak yang semakin kompleks, dan permainan yang kian berbahaya, Squid Game Musim 3 dilihat bersedia mengakhiri siri ini dengan letupan besar. Semua elemen menunjukkan bahawa kali ini, tiada siapa yang benar-benar selamat, termasuklah watak utamanya.

IMG 3622

Squid Game Musim 3 bukan sekadar sambungan kepada kisah yang telah dikenali ramai, tetapi juga sebuah perpisahan penuh emosi, darah, dan pertaruhan yang jauh lebih tinggi. Bersedialah untuk menyaksikan babak akhir permainan paling mematikan ini bermula 27 Jun 2025, hanya di Netflix.

Baca lagi: Squid Game 3 Rasmi Tayang Di Netflix 27 Jun 2025 Ini

Baca juga: Tontonan Menarik, 7 Siri Netflix Asia Baharu di Mei 2025