Dunia perubatan bukan sahaja penuh tekanan, malah turut menyimpan pelbagai kisah emosi yang menyentuh hati. Tidak hairanlah jika drama perubatan ini menjadi antara kegemaran dalam industri drama Thailand.
Dengan latar hospital, bilik kecemasan, hinggalah amalan perubatan tradisional, drama perubatan bertemakan dunia perubatan sering menghadirkan debaran, serta percintaan yang di luar jangkaan.
Daripada watak doktor muda yang penuh idealisme, tabib tradisional yang berdedikasi, sehinggalah kisah cinta yang diuji dalam situasi cemas, kesemua elemen ini berjaya menyentuh pelbagai sisi kemanusiaan.
Berikut ialah 6 drama perubatan Thailand bertemakan dunia perubatan yang paling popular dan wajib ditonton, sarat emosi serta ketegangan yang akan terpahat dalam ingatan penonton:
1. Thong EK: The Herbal Master

Berlatar zaman pemerintahan Raja Chulalongkorn, drama perubatan ini menyorot sisi tradisional dunia perubatan Thailand menerusi kisah Thong Ake, cucu kepada seorang tabib terkenal bernama Thong In.
Setelah gagal menyelamatkan pesakit dan dihantui rasa bersalah, Thong In melarang cucunya daripada mengikut jejak langkahnya. Namun, Thong Ake tetap berpegang pada impiannya untuk menjadi pakar perubatan herba. Pertemuannya dengan Chaba, seorang gadis berani yang lebih gemar bermain pedang berbanding melakukan kerja rumah, menjadi titik tolak perubahan hidup mereka.
Bersama-sama, mereka mendalami ilmu perubatan, merentas rintangan sosial dan adat, lalu terbit benih cinta antara keduanya.
2. Med in Love

Drama perubatan ini menampilkan kehidupan pelajar-pelajar perubatan dari sudut pandang yang sangat insani.
Penonton dibawa menyelami suka duka dunia kampus, eratnya persahabatan, serta kisah cinta yang tumbuh dalam tekanan akademik dan dilema etika. Selain menggambarkan kegembiraan dan kemanusiaan, drama ini turut menyentuh sisi pilu apabila bakal doktor perlu berdepan dengan hakikat penyakit dan kematian.
3. The Interns

Sebuah drama perubatan berkonsep ensemble yang mengisahkan lima doktor muda yang baru tamat pengajian dan memulakan latihan di Hospital Maharak.
Lin ingin membuktikan kebolehan demi menjadi anak murid kepada pakar bedah otak terkenal, Dr. Thida. Pawin pula berusaha mengimbangi tanggungjawab terhadap keluarga dan tugas profesional.
Emmi menggunakan rangkaian kenalan hospital untuk masa depan perniagaan keluarganya. Ket hadir dengan semangat merawat semua pesakit secara adil tanpa mengira jantina atau identiti. Manakala Best, yang idealis, memasuki dunia perubatan demi memperjuangkan sistem kesihatan yang lebih adil setelah kehilangan adiknya secara tragis.
4. Once a Doctor, Always a Doctor

Selepas satu insiden menggugat kepercayaannya sebagai seorang doktor, Dr. Talodkarn, seorang pakar bedah jantung, memutuskan untuk meninggalkan kehidupan kota dan berkhidmat di sebuah daerah terpencil, Yala.
Namun, takdir membawanya kembali ke tempat asal dan memaksanya berdepan dengan konflik lama yang masih belum selesai. Drama ini memaparkan perjalanan rohani seorang doktor dalam usaha mencari semula makna sebenar pengabdiannya.
5. Good Doctor

Diadaptasi daripada drama perubatan terkenal Korea Selatan, versi Thailand ini mengisahkan seorang lelaki dengan spektrum autisme dan sindrom savant yang bercita-cita untuk menjadi pakar pediatrik.
Walaupun sering dipandang rendah dan mengalami diskriminasi, beliau membuktikan bahawa empati dan kebolehan luar biasanya mampu menyelamatkan nyawa.
Perjuangannya menembusi stigma dan sistem yang sinis membawa mesej yang menyentuh jiwa tentang keberanian, penerimaan, dan potensi insan yang tidak boleh diukur hanya berdasarkan kekurangan.
6. My Ambulance

Drama romantik berlatarkan dunia perubatan dan fantasi ini mengisahkan hubungan unik antara Peng, seorang doktor unit kecemasan, dan Tantawan, kekasihnya yang memiliki kuasa ajaib yang hanya berfungsi ketika mereka saling menyayangi.
Selepas satu kemalangan tragis, Tantawan hilang ingatan dan mula mempersoalkan perasaannya. Dalam kekeliruan itu, muncul Chalam, seorang doktor pelatih yang penyayang dan membuatkan Tantawan merasai semula debaran cinta.
Namun, apabila kuasa magisnya mula berpindah dari Peng kepada Chalam, Tantawan terpaksa membuat pilihan besar, siapakah cinta sejatinya?
Itulah dia 6 drama perubatan Thailand yang penuh emosi, konflik dan nilai kemanusiaan. Dari senarai ini, yang manakah menjadi kegemaran anda?






