April 2025 yang lalu menutup tirainya dengan deretan drama Korea yang benar-benar menggoda perhatian pencinta K-Drama. Pelbagai genre ditawarkan, daripada kisah romantis yang buat hati berbunga, dunia fantasi yang penuh kejutan, hinggalah ke aksi mendebarkan yang buat penonton sukar beralih pandangan.
Lebih menarik, beberapa drama Korea ini turut berjaya mencatat rating tinggi hasil kekuatan jalan cerita yang unik dan lakonan mantap para pelakon.
Berikut ialah senarai 5 drama Korea paling popular pada minggu keempat April lalu:
1. The Haunted Palace (9.3%)

Drama dengan rating tertinggi minggu tersebut ialah The Haunted Palace. Berlatarbelakangkan suasana sejarah yang disulami elemen seram supranatural, drama ini berjaya membuat penonton ‘melekat’ di depan skrin.
Ia mengisahkan Yoon Gab (Yook Sung Jae), seorang pegawai kerajaan yang dirasuk makhluk bernama Imoogi. Sejak kejadian itu, tingkah lakunya berubah secara drastik hingga membuatkan orang sekeliling menganggapnya sudah tidak waras.
Kemunculan Yeo Ri (Bona), cucu kepada seorang bomoh yang memiliki kebolehan spiritual namun lebih memilih bekerja sebagai pembuat cermin mata, menambah warna kepada cerita. Bersama Raja Lee Sung (Kim Ji Hoon) yang membawa visi reformasi untuk Joseon, mereka menerokai misteri istana berhantu dan membongkar dendam roh-roh wanita yang masih bergentayangan.
2. Heavenly Ever After (6.4%)

Drama Korea ini membawa penonton ke alam selepas kematian dalam gaya yang unik dan menyentuh jiwa. Lee Hae Sook (Kim Hye Ja) meninggal dunia pada usia 80 tahun, namun memilih untuk kekal dalam tubuh tuanya apabila memasuki syurga. Situasi menjadi janggal apabila suaminya, Ko Nak Joon (Son Suk Ku), muncul dalam rupa fizikalnya yang muda, sekitar usia 30-an.
Gabungan emosi, kenangan dan konflik batin menjadikan Heavenly Ever After sebuah tontonan yang meresap ke jiwa, disokong pula oleh visual menarik. Tidak hairanlah ia berjaya mencatat rating sebanyak 6.4%.
3. Resident Playbook (5.5%)

Mengisahkan sekumpulan doktor muda dalam bidang obstetrik dan ginekologi di Hospital Yulje, drama ini menampilkan barisan pelakon muda seperti Go Youn Jung, Shin Shi Ah, Kang Yoo Seok, Jung Joon Won dan Han Ye Yi. Mereka berhadapan dengan tekanan dunia perubatan serta dinamik persahabatan yang menghangatkan.
Mewakili kesinambungan semangat Hospital Playlist, Resident Playbook mencatat rating 5.5% — satu pencapaian membuktikan peminat dunia Yulje masih setia mengikuti perkembangan watak-watak baharu.
4. New Recruit 3 (2.6%)

Dalam musim ketiganya, New Recruit 3 menyaksikan sedikit peningkatan kepada 2.6% dari segi rating. Ia terus mengikuti kehidupan Prajurit Park Min Seok (Kim Min Ho) yang semakin kompleks apabila dua rekrut baharu muncul dan mencetus kekecohan, ditambah pula dengan kemunculan seseorang dari masa silam yang menggugat kestabilannya.
5. Villains Everywhere (1.4%)

Drama Korea ini dibintangi oleh Oh Nara dan tampil dengan gaya penceritaan yang unik serta berbeza daripada kebiasaan. Walaupun hanya mencatat rating 1.4%, Villains Everywhere tetap berjaya menghiburkan penonton dengan pendekatan yang segar dan tidak klise.
April lalu terbukti sebagai bulan yang subur dengan drama-drama berkualiti tinggi dari Korea Selatan. Pelbagai genre dihidangkan untuk memenuhi selera penonton, sama ada anda penggemar kisah misteri, cinta abadi, atau dunia kerjaya.
Sekarang kita sudah berada di bulan Mei, adakah drama Korea baharu akan mengatasi populariti lima drama ini? Teruskan mengikuti perkembangan dunia K-Drama bersama kami untuk sorotan mingguan seterusnya!








