Home Entertainment 5 Babak Filem Ini Nyaris Ragut Nyawa Jackie Chan

5 Babak Filem Ini Nyaris Ragut Nyawa Jackie Chan

0

Amaran: Artikel ini memaparkan lagak ngeri Jackie Chan, jangan cuba meniru aksi-aksi ini di rumah.

Nama Jackie Chan tidak asing lagi buat peminat-peminat filem kung fu dari Hong Kong.

Gabungan skil seni bela diri, mempunyai personaliti yang kuat dan gelagat komedinya menjadikan dia salah seorang bintang filem paling bersinar dalam dunia skrin.

Selain itu, Jackie turut terkenal dengan pelbagai aksi lagak ngeri yang dimainkan sendiri dalam filem, misalnya lima babak di bawah ini:

1. Who Am I? – Aksi melungsur bangunan

Dalam filem ini, Jackie Chan perlu menggelongsor turun di luar bangunan 25 tingkat di Rotterdam, sebuah bandar di Belanda. Tiada kecederaan dilaporkan namun sekiranya tersilap langkah boleh menyebabkan Jackie jadi mendiang.

Lagak ngeri tersebut dilakukan sendiri oleh Jackie dan beliau berlatih selama dua minggu sebelum berani untuk melakukan penggambaran aksi itu.

2. Police Story – Pertarungan di pusat membeli belah

Jackie mengalami kecederaan serius seperti jari patah, tangan melecur, terkena renjatan elektrik dan patah tulang semasa menjayakan aksi terjun dari balkoni pusat membeli belah, menggapai tiang lampu dan meluncur ke bawah.

Tidak hairanlah mengapa kos insurans untuk Jackie semakin meningkat selepas berlakon dalam filem ini.

3. Armor of God – Bergayut di pokok

Salah satu babak filem ini memerlukan Jackie untuk melompat keluar dari dinding istana dan mendarat atas pokok sebelum bergayut menerusi dahan. Cubaan pertama menjadi.

Malang tak berbau, jika berbau mungkin boleh elak apabila salah satu dahan patah dan Jackie terjatuh ke tanah. Kepalanya terhantuk ke batu, menyebabkan tempurung kepalanya retak.

4. Project A – Aksi di menara jam

Jackie berpaut pada jarum jam di atas menara setinggi kira-kira 25 meter. Perlahan-lahan beliau melepaskannya sebelum jatuh ke tanah dan kepalanya yang mendarat dulu. Jackie dilaporkan melakukan aksi ini tiga kali semasa penggambaran filem berkenaan.

5. Police Story 3: Supercop – Kemalangan helikopter

https://www.youtube.com/watch?v=qzZjwkJ0oVY

Jackie Chan mengambil keputusan untuk beraksi di langit pula. Kali ini beliau melompat terjun dari bangunan, mencapai tali tangga yang berjuntai dari helikopter dan menggantung hidup matinya di situ semasa helikopter terbang keliling bandar. Jackie Chan tidak mengalami sebarang kecederaan dalam babak itu.

Namun ada satu babak lain iaitu Jackie sepatutnya mengelak sebuah helikopter yang akan merempuhnya namun dia gagal dan impaknya, otot bahunya terkoyak.

Begitulah bagaimana Jackie Chan bergadai nyawa demi menjayakan naskhah cerita dan menghiburkan para penonton.

 

Sumber: SCMP