Kim Young Kwang Curi Tumpuan Dalam Triggel, Ini 3 Filem Terlaris Lakonannya!
Nama Kim Young Kwang kini hangat menjadi sebutan selepas kemunculannya dalam drama Korea terbaru Trigger (2025). Wataknya sebagai Moon Baek benar-benar memikat penonton, ditambah pula dengan wajah kacak yang tak jemu dipandang – terus menjadikannya idola baharu peminat drama Korea.
Kalau korang mula jatuh hati dengan pelakon kelahiran tahun 1987 ini, inilah masanya untuk teroka filem-filem hebat yang pernah dibintanginya. Tambahan pula, Kim Young Kwang dijangka akan kembali menghiasi layar perak tahun ini bersama Kang Ha Neul dan Cha Eun Woo (ASTRO). Sebagai permulaan, jom kenali tiga filem paling laris lakonannya yang wajib korang tonton!
1. On Your Wedding Day (2018)

Filem romantik yang cukup popular ini ditayangkan pada 22 Ogos 2018 dan dibintangi bersama Park Bo Young. On Your Wedding Day menyajikan kisah cinta dari zaman persekolahan hingga dewasa, dengan lakonan Kim Young Kwang sebagai Woo Yeon dan Park Bo Young sebagai Seung Hee.
Woo Yeon jatuh cinta pandang pertama kepada Seung Hee, seorang pelajar baharu. Walaupun Seung Hee tidak menunjukkan minat, hubungan mereka mula berkembang apabila mereka berpura-pura bercinta untuk mengelak gangguan pelajar lelaki lain. Woo Yeon juga sanggup berhenti bergaduh demi Seung Hee.
Namun, segalanya berubah apabila Seung Hee tiba-tiba menghilang. Woo Yeon yang tidak pernah mengambil berat tentang pelajaran mula belajar bersungguh-sungguh untuk masuk ke universiti yang sama dengan Seung Hee. Filem ini menyentuh hati ramai penonton dan berjaya menarik 2.8 juta penonton ke pawagam serta meraih tempat pertama carta box office Korea ketika mula ditayangkan.
2. Hot Young Bloods (2014)

Sebelum bergandingan dalam On Your Wedding Day, Kim Young Kwang dan Park Bo Young terlebih dahulu muncul bersama dalam filem Hot Young Bloods yang berlatarbelakangkan tahun 1982. Turut membintangi filem ini ialah Lee Jong Suk dan Lee Se Young.
Kim Young Kwang memegang watak Gwang Sik, ketua geng pelajar lelaki. Walaupun hubungan mereka tidak rasmi, dia menganggap Young Sook (Park Bo Young), ketua geng perempuan sekolah bersebelahan, sebagai teman wanitanya. Namun, Young Sook pula jatuh hati kepada Joong Gil (Lee Jong Suk), si kaki perempuan yang menaruh minat terhadap So Hee (Lee Se Young), pelajar pindahan dari Seoul.
Dengan tema cinta zaman sekolah yang penuh semangat dan persaingan, filem ini berjaya mencuit hati ramai penonton. Hot Young Bloods mula ditayangkan pada 22 Januari 2014 dan mencatat 1.6 juta penonton secara keseluruhan. Kalau korang cari filem santai dan menghiburkan, inilah pilihan tepat!
3. Runway Cop (2012)

Filem debut Kim Young Kwang juga tersenarai sebagai salah satu filem terlaris lakonannya. Runway Cop menampilkan kisah penuh komedi dan aksi tentang Detektif Cha (lakonan Kang Ji Hwan) yang perlu menyamar sebagai model demi menyiasat kes penyeludupan dadah dalam industri fesyen.
Kim Young Kwang memegang watak Han Seung Woo, seorang model senior yang menjadi mentor kepada Detektif Cha. Turut membintangi filem ini ialah Sung Yu Ri, Lee Soo Hyuk dan Shin Min Chul. Dengan gabungan aksi dan humor, Runway Cop berjaya menarik 1.3 juta penonton ke pawagam pada tahun 2012.
Semua filem Kim Young Kwang ini ada unsur komedi dan sangat sesuai untuk ditonton ketika korang nak rehatkan minda. Dan berita baik, Kim Young Kwang akan kembali ke layar perak menerusi filem First Ride yang dijadualkan tayang Oktober ini. Sama-sama kita nantikan tarikh tayangan rasminya!








