Demam budaya K-pop yang melanda dunia telah menjadikan Korea Selatan sebagai salah satu destinasi pelancongan paling popular di dunia.

Jantung utama negara Korea Selatan seperti Seoul bagaikan wajib tersenarai dalam bucket list para pelancong. Namun kira-kira satu jam setengah dari Seoul, tersembunyi ‘permata’ yang menunggu untuk ditemui iaitu Wilayah Gangwon.

Sekiranya Seoul berkilat dengan hutan konkrit dan disimbah cahaya neon, Wilayah Gangwon pula lebih mendamaikan dengan pemandangan semula jadi yang memikat, masakan tradisional, tempat bersejarah serta lokasi penggambaran drama dan album muzik.

Berikut 25 tempat menarik di Gangwon untuk anda jejaki setelah pandemik berakhir dan pintu imigresen dibuka semula:

10 Tempat Wajib Pergi Di Gangwon

1.Gangneung Coffee Street

Gangneung Coffee Street
Kredit: Gangwon Province

Budaya kopi kini merupakan trend global dan Malaysia berada di kedudukan ke-45 dari segi penggunaan kopi di dunia pada tahun 2021.

Sekiranya anda pencinta kopi, tempat yang dijuluki ‘kota kopi’ ini setia menunggu kedatangan anda terutama semasa bulan Oktober kerana terdapat Festival Kopi Gangneung yang diadakan setiap tahun.

Semasa festival tersebut, anda akan belajar banyak perkara tentang kopi sambil menyaksikan persembahan barista menghidangkan minuman.

Selain itu, terdapat deretan kedai kopi di sepanjang jalan dan menikmati secawan kopi sambil melihat pemandangan laut di situ mungkin akan jadi satu pengalaman yang anda tak boleh lupa.

2. Mt. Balwangsan Skywalk, Pyeongchang

Mt.Balwangsan Skywalk
Kredit: Gangwon Province

Untuk anda yang sukakan ketinggian, boleh cuba cabar diri untuk berjalan di jambatan puncak gunung Balwangsan di resort Yongpyong ini.

Laluan gantung berlantai kaca tertinggi di negara Korea ini membolehkan anda meniti pemandangan panoramik empat musim. Di atas sana ada kafe dan kereta kabel atau gondola untuk mengangkut pengunjung.

Tiket kereta kabel (ulang alik): Dewasa, 20,000 won dan kanak-kanak, 16,000 won

3.Yeonggeumjeong Pavilion, Sokcho

Yeonggeumjeong Pavilion Sokcho
Kredit: Korea Tourism Organization

Tempat ini terkenal untuk melihat sang suria. Pemandangan matahari terbit dan terbenam di sini sungguh mempesonakan.

Jambatan untuk ke pavilion turut diterangi pada waktu malam, tidak hairanlah mengapa tempat ini popular di kalangan jurugambar.

4. Hwaam Cave, Jeongseon

Hwaam cave Jeongseon
Kredit: Korea Tourism Organization

Gua batu kapur terbesar di Asia ini merupakan ‘permata’ bagi wilayah Gangwon.

Bayangkan diri anda dalam dunia ajaib berkelip-kelip dikelilingi pencahayaan lampu yang indah. Selain lokasi percutian, ia juga digunakan sebagai tempat pendidikan seperti penyelidikan ekologi gua dan pengumpulan emas.

5. Trek Jeongdong-Simgok Badabuchae-gil, Gangneung

Jeongdong Simgok Badabuchae gil Trail Gangneung
Kredit: Gangwon Province

Trek ini dibina sebagai monumen alam semula jadi di teres pantai terbesar dan terpelihara di Korea. Pelawat boleh berjalan-jalan di atas trek di antara laut dan tebing curam.

Bila sampai sini, jangan lupa tangkap gambar di depan rumah api merah ikonik di Simgok Port, lokasi penggambaran beberapa K-drama. Malah RM BTS juga pernah berkunjung di sini.

6. Sea Train

Sea train
Kredit: Gangwon Province

Sea Train merupakan kereta api pelancongan yang mengangkut penumpang sepanjang lalu di Laut Barat. Kereta api ini terbahagi kepada 4 gerabak, satu dan dua gerabak menempatkan kerusi penumpang menghadap tingkap untuk melihat pemandangan laut.

Manakala satu lagi untuk ruang keluarga, kerusi saling berhadapan dipisahkan oleh meja seperti di kafeteria. Dan satu gerabak lagi khas untuk orang yang datang berkumpulan dengan dua, tiga kerusi.

Laluan kereta api ini adalah seperti berikut:

Stesen Gangneung – Stesen Jeongdeongjin – Stesen Mukho- Stesen Donghae- Stesen Chuam – Stesen Samcheok

Salah satu hentian paling popular terutamanya di kalangan orang Korea adalah Jeongdeongjin Station di mana mereka tengok matahari terbit dan naik railbike dari stesen ke tempat-tempat menarik berhampiran.

7. Ojuk Hanok Village, Gangneung

Ojuk Hanok Village
Kredit: Gangwon Province

Mahu mencari pengalaman unik di rumah tradisional Korea? Hanok menjadi trend baru di kalangan pelancong untuk mengetahui lebih banyak perkara mengenai Korea.

Menerusi persekitarannya, para pengunjung dapat menghayati nilai sejarah Hanok. Selain itu, anda juga boleh cuba permainan dan pakaian tradisional Korea, hanbok.

8. Byeongbangchi Skywalk, Jeongseon

Jeongseon Byeongbangchi Skywalk
Kredit: Gangwon Province

Satu lagi jambatan berlantai kaca yang anda boleh cuba tapi kali ini berbentuk U pula dan setinggi 583 meter.

Dari atas, anda boleh melihat pemandangan semula jadi dan kecantikan Bamseom Islet dalam bentuk Semenanjung Korea dengan air Sungai Donggang mengalir di sekelilingnya.

9. Alpaca World, Hongcheon

Alpaca World
Kredit: Gangwon Province

Terletak di Hongcheon, Alpaca World menawarkan hutan yang tidak tercemar seluas 110,000 kaki persegi di mana pengunjung dapat bertemu dengan alpaka dan memberi makan kepada haiwan comel itu.

Selain itu, ada juga zon haiwan lain seperti arnab, rusa, burung unta dan banyak lagi. Pemandangan tempat ini sering berubah-ubah mengikut musim bunga, luruh dan salju.

10. Gyeongpo Lake, Gangneung

Gyeongpo Cherry Blossom Festival Gangneung
Kredit: Gangwon Province

Tempat ini terkenal untuk melihat bunga sakura pada musim bunga.

Setiap tahun, Gyeongpo Cherry Blossom Festival diadakan di sini. Berjalan-jalan di laluan pejalan kaki sepanjang 4.3 km yang dipenuhi dengan ratusan pokok ceri, sambil menikmati pemandangan lautan Laut Timur yang menakjubkan.

Nak Penginapan Rare? Cuba 5 Tempat Glamping Ini

1. Jangho Beach Campsite, Samcheok

Jangho Beach Campsite
Kredit: Jangho Camping Official

Jangho Beach terkenal dengan panorama laut, air yang tenang dan jernih. Khemah ini terletak di hadapan garis pantai berbentuk bulan sabit yang indah dengan pemandangan laut yang luas.

Anda boleh menikmati snorkelling dan selaman skuba semasa berkhemah di sini. Aktiviti seterusnya adalah naik kereta kabel laut Samcheok di seberang laut & nikmati pemandangan semula jadi dan pemandangan pantai yang indah.

Anda boleh memilih antara Karavan, rumah kontena Spa, tapak perkhemahan (tempat kosong di mana anda boleh memasang khemah sendiri) dan tapak perkhemahan di hutan pinus.

Dapatkan info lanjut di sini

2. Gyeongpo Caravan Park, Gangneung

Sea Caravan 1
Kredit: Sea Caravan Official

Terletak tepat di depan Pantai Sacheon, anda dapat menyaksikan matahari terbit dan terbenam di kaki langit dengan hembusan bayu laut.

Setiap karavan mempunyai geladak sendiri di mana anda dapat menikmati barbeku sambil menghadap ke laut. Seterusnya anda boleh berjalan-jalan di persiaran pokok pinus berhampiran.

Dapatkan info lanjut di sini

3. Nightsky Glamping, Sokcho

Nightsky Glamping Sokcho
Kredit: Sokcho Nightsky Official

Tempat di mana anda boleh berbaring di buaian gantung di hutan pinus berbumbung bintang-bintang di langit malam.

Beberapa jenis bilik untuk dipilih: rumah teater, kabin, teres dan karavan. Perkhidmatan penyewaan basikal percuma turut disediakan.

Antara tempat tarikan yang berdekatan adalah: Pantai Sokcho, Taman Negara Seoraksan, Pasar Pelancongan & Perikanan Sokcho

Dapatkan info lanjut di sini

4. Kanu Glamping & Pension, Hwacheon

Kanu Glamping Pension HwacheonOption1
Kredit: Kanu Glamping & Pension Official

Tapak glamping kecil yang dikelilingi oleh kawasan pergunungan.

Anda boleh memilih untuk tinggal sama ada di bilik penginapan atau khemah besar yang ada katil atau ondol (sistem pemanasan tradisional Korea). Setiap bilik dilengkapi dengan unggun api dan meja di luar halaman.

Pada musim panas, kolam renang luaran dan air bounce untuk kanak-kanak dibuka.

Dapatkan info lanjut di sini

5. Camp April, Yeongwol

Camp April
Kredit: Camp April Official

Kem berkonsepkan vintaj Amerika ini menyediakan beberapa tapak khemah unik untuk dipilih seperti berikut:

  • Kayak Camp
  • Airstream Camp
  • VW Microbus Camp
  • Terrace House
  • School bus/Dodge

Dalam beberapa hari, bintang-bintang yang menghiasi langit malam pun jelas kelihatan.

Dapatkan info lanjut di sini

10 Tempat Instagrammable Di Gangwon!

1. Mi-in Waterfall, Samcheok

Mi In Waterfall Samcheok
Kredit: mi.gomi_0407/Instagram

Sejuk mata memandang tapi hot spot di kalangan orang Korea akhir-akhir ini. Air terjun ini mempunyai warna zamrud yang menyegarkan, hasil cairan batu kapur yang bersatu dengan air.

2. Yukbaekmajigi, Pyeongchang

Yukbaekmaijigi Pyeongchang
Kredit : rising_gangwon/Instagram

Pada musim panas, bukit ini diliputi bunga dahlia saujana mata memandang.

Terdapat kincir angin besar warna putih dan rumah kecil klasik dengan seni bina gaya Belanda yang menjadi tempat bergambar popular di kalangan orang Korea dan pelancong.

3. Maengbang Beach, Samcheok

Maengbang beach jpg
Kredit: Korea Tourism Organization

Sekiranya anda stan BTS, tempat ini berbaloi untuk anda tinggalkan jejak kaki di pasir pantainya. Kerana ia merupakan lokasi shooting untuk kulit album ‘Butter’ BTS.

Impaknya, populariti pantai ini melonjak naik dengan hampir 8,000 pengunjung setiap hari, menjadikan pantai ini pantai kedua yang paling banyak dikunjungi di Wilayah Gangwon baru-baru ini.

Mudah saja perjalanan ke sana, perjalanannya mengambil masa kira-kira 10 minit dari Samcheok Station dengan teksi.

4. Domun Coffee, Sokcho

Domun Coffee
Kredit: domun_coffee/Instagram

Suka café hopping? Trend tersebut meluas di dunia termasuk Malaysia.

Sekiranya anda ‘melompat’ sehingga ke Korea bagi mencari-cari kafe, kafe unik stail hanok ini antara lokasi yang patut disinggahi kerana tiada di tempat kita.

5. Najeon Station, Jeongseon

Najeon Station Cafe
Kredit: najeoncafe/Instagram

Masih ingat Dohyun and Rijin dalam K-Drama ‘Kill Me, Heal Me”? Mereka pernah dating sampai ke Stesen Najeon ini.

Berdasarkan sejarah, stesen kereta api lama ini berhenti beroperasi selepas kejatuhan industri arang batu. Kemudian, ia diubahsuai jadi kafe dan tempat penduduk tempatan mencipta memori manis.

Kemudian bertukar jadi kafe bernama Stesen Najeon. Konsep makan yang unik dan klasik di stesen kereta api ini amat indah untuk dibingkaikan di laman Instagram anda.

6. Youngwol Y Park, Yeongwol

Yongwol Y Park 1
Kredit: Korea Tourism Organization

Muzium seni kontemporari ini merupakan antara ‘magnet’ yang menarik para pelancong dan peminat seni kerana karya-karyanya yang unik dan bergaya.

Buluh Merah yang terletak betul-betul di pintu masuk depan adalah tempat wajib untuk ambil gambar di sini.

7. Ginkgo Tree Forest, Hongcheon

Hongcheon gingko tree forest
Kredit: Gangwon Province

Tarikan terbaik untuk menikmati musim luruh ini ada cerita tersendiri.

Taman persendirian ini ditanam dan dijaga oleh seorang lelaki untuk tujuan pengubatan selama lebih dari 30 tahun, dengan harapan isterinya sembuh.

Populariti taman itu tersebar dari mulut ke mulut. Akhirnya pemilik taman tersebut membukanya kepada umum pada tahun 2010.

Ia merupakan hutan ginkgo terbesar di negara itu, mempunyai lebih daripada 2,000 tanaman ginko kuning dan hanya dibuka pada bulan Oktober

8. Wondaeri Birch Forest, Inje 

Inje Birch Forest 1
Kredit: May Ho/Instagram

Tersenarai sebagai Top 100 Tarikan Pelancongan di Korea, ini antara tempat yang ‘Insta-worthy’ di Gangwon. Malah turut popular untuk wedding photoshoot.

Terdapat lebih 700,000 pokok birch ditanam di landskap seluas 138 hektar itu. Kursus mendaki turut disediakan kepada sesiapa yang berminat.

9. Daegwallyeong Sky Ranch, Pyeongchang

Daegwallyeong Sky Ranch Pyeongchang
Kredit: Gangwon Province

Ladang penternakan ini memelihara lebih dari 400 ekor lembu, 100 ekor biri-biri dan 40 ekor kuda. Pengunjung boleh bersiar-siar dengan menaiki traktor.

Pemandangan paling bagus pula boleh dihayati dari balai cerap yang terletak di ketinggian 1,000-meter dari permukaan laut.

Tempat ini jadi perhatian ramai kerana terpromosi sekali dalam lokasi penggambaran BTS. Antara aktiviti menarik di sini adalah bagi makan biri-biri.

10. Anbandegi, Gangneung

Anbandaegi Gangneung
Kredit: Korea Tourism Organization

Berdiri di puncak bukit ketika matahari terbenam, anda akan berasa seolah-olah anda sendirian di dunia dan keheningan yang tenang mengelilingi anda di kebun sayur terbesar di Korea ini.

Walaupun penanaman dilakukan untuk bertani, ia cukup indah dan indah untuk dijadikan sebagai destinasi pelancongan.

Bagaimana, sudah jumpa tempat yang berkenan di hati?

 

Previous article“Iklan Ketatkan Vagina Tak Nak Tegur Ke?” Netizen Kecam MAYA Selepas….
Next articleIni Makna Di Sebalik Simbol Logo Kad Jemputan Dalam ‘Squid Game’