Drama Korea Selatan terbaru terbitan MBC yang bertajuk “When the Phone Rings” semakin menjadi buah mulut para penonton! Sejak ditayangkan!
“When the Phone Rings” telah berjaya menarik perhatian ramai penonton dengan jalan cerita yang mendebarkan serta lakonan mantap daripada para pelakon utamanya iaitu Yoo Yeon Seok dan Chae Soo Bin.
Pada 29 November 2024, drama Korea ini mencatat sejarah baru apabila episod ketiganya berjaya memperoleh catatan rating penonton tertinggi setakat ini, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai salah satu drama yang paling dinanti-nantikan pada setiap minggu.
Menurut data rasmi daripada Nielsen Korea, siaran terbaru drama “When the Phone Rings” berjaya mencatatkan rating purata kebangsaan sebanyak 6.0 peratus. Peningkatan ini bukan sahaja menandakan kejayaan besar buat produksi drama tersebut, tetapi juga mencerminkan sambutan yang hangat dan memberangsangkan oleh para penonton yang semakin tertarik dengan plot cerita yang penuh dengan elemen thriller dan romantik. Setiap episodnya semakin membuat penonton tidak sabar untuk mengetahui apa yang bakal berlaku seterusnya.
Namun begitu, cabaran besar masih ada buat drama “When the Phone Rings” apabila drama Korea ini terpaksa bersaing dengan drama popular SBS, “The Fiery Priest 2”, yang turut disiarkan pada slot waktu yang sama. Drama ini, yang kini memasuki separuh kedua musimnya, terus mengungguli carta tontonan. Episod terbaru “The Fiery Priest 2” menduduki tempat pertama dalam slot waktunya dengan rating purata kebangsaan yang mengagumkan, iaitu sebanyak 11.6 peratus. Sebuah rekod yang nampaknya sukar disaingi.
Keputusan catatan rating ini jelas menunjukkan bahawa kedua-dua drama memiliki daya tarikan tersendiri yang berjaya menambat hati para penonton. Bagi “When the Phone Rings”, episod ketiga ini membuktikan bahawa drama tersebut sedang menuju ke arah kejayaan yang lebih besar, terutama dengan sokongan para peminat yang semakin bertambah.
Adakah drama ini mampu mengejar pesaingnya, “The Fiery Priest 2”? Sama-sama kita nantikan perkembangan seterusnya ya!