Drama thriller KBS 2TV “Walking on Thin Ice” akhirnya melabuhkan tirai dengan tayangan episod terakhir pada 26 Oktober 2025.
Episod penutup ini benar-benar membuat penonton tidak senang duduk, penuh ketegangan, emosi dan kejutan dari awal hingga ke penghujung.
Dalam episod terakhir “Walking on Thin Ice”, Lee Young Ae yang membawakan watak Kang Eun Soo, berdepan detik paling berbahaya apabila dirinya dijadikan tebusan dalam kekacauan besar yang mencetuskan babak kemuncak menegangkan.
“Walking on Thin Ice” mengisahkan Kang Eun Soo, seorang suri rumah yang berjuang melindungi keluarganya, dan Lee Kyung (lakonan Kim Young Kwang), seorang guru yang menyimpan rahsia gelap dalam hidupnya. Takdir mempertemukan mereka dalam situasi rumit yang melibatkan Jang Tae Goo (Park Young Woo), seorang lelaki yang hilang pertimbangan akibat ketamakan dan obsesi terhadap anaknya sendiri.
1. Jang Tae Goo Hilang Arah dan Bertindak Ganas

Dalam episod sebelumnya, Jang Tae Goo sudah mula hilang pertimbangan. Terlalu taksub dengan wang, dia sanggup menembak rakan sepasukannya sendiri dan melarikan diri sebagai buruan. Ketika dalam pelarian, Tae Goo menyerang Park Do Jin dan Eun Soo sambil mengacukan senjata ke arah mereka. Episod itu berakhir dengan bunyi tembakan yang membuat jantung penonton berdebar-debar.
Penonton dapat menyaksikan pertembungan antara Eun Soo, Lee Kyung, dan Tae Goo. Eun Soo cuba memanfaatkan kelemahan Tae Goo dengan membuat perjanjian berisiko, namun keadaan berubah apabila Tae Goo yang sudah hilang kewarasan menjadikannya tebusan.
2. Konflik dan Emosi Meningkat di Babak Akhir

Antara adegan paling menyentuh hati ialah ketika Eun Soo menggenggam senjata sambil berlinang air mata. Lee Kyung cuba menenangkannya, namun jelas kelihatan wajahnya diliputi panik dan ketakutan, seolah-olah ada sesuatu yang tidak dijangka bakal berlaku.
Situasi semakin mendesak apabila setiap watak didorong oleh motif berbeza, Eun Soo bertindak demi keluarga, Lee Kyung dikuasai dendam, manakala Tae Goo tenggelam dalam kegilaan.
Episod akhir ini menjadi puncak kepada segala konflik dan dosa yang telah dibina sejak awal. Setiap pilihan dan kesilapan watak akan menemui kesudahannya. Penonton dapat melihat bagaimana mereka menamatkan perjuangan, sama ada demi keluarga, cinta atau ketamakan.
3. Episod Akhir Sarat Aksi dan Menutup Cerita Dengan Emosi

Episod terakhir berdurasi 95 minit, sarat dengan adegan aksi, ketegangan dan emosi.
Dari segi pencapaian, episod terakhir “Walking on Thin Ice” mencatat peningkatan rating nasional kepada 4.9%, menurut Nielsen Korea, naik lebih satu mata berbanding episod sebelumnya dan hampir menyamai rekod tertinggi 5.1%.
Dengan jalan cerita yang mendebarkan dan lakonan hebat Lee Young Ae serta Kim Young Kwang, drama ini menutup tirainya dengan pengakhiran yang memuaskan dan penuh makna untuk para peminat. Bagaimana pula dengan anda?









