Sejak pertama kali diumumkan, drama Korea Tempest terus mencuri perhatian ramai. Melalui beberapa video acah yang sudah dikeluarkan, Tempest hadir dengan suasana baharu yang memikat, menghiburkan, serta membangkitkan rasa ingin tahu.
Mengisahkan perjuangan, pengkhianatan, serta harapan di tengah suasana penuh pergolakan, Tempest turut memadukan jalan cerita dengan aksi dan percintaan yang menyentuh hati. Tidak hairanlah drama ini menjadi antara tayangan paling dinantikan tahun ini.
Sambil menunggu siarannya, berikut empat sebab mengapa Tempest menjadi drama Korea paling ditunggu 2025!
1. Konflik Cerita Yang Luar Biasa

Antara sebab utama Tempest begitu dinantikan adalah konflik ceritanya yang berbeza daripada drama-drama lain. Bukannya sekadar kisah cinta dua insan semata-mata, drama ini menggali lapisan lebih mendalam, pertarungan moral, rahsia masa lalu, serta akibat yang mengubah kehidupan ramai watak.
Dengan tema politik dan perisikan thriller, Tempest bukan sekadar soal perebutan kuasa, tetapi juga menyentuh sisi peribadi wataknya, soal kepercayaan, pengkhianatan, dan cinta yang terperangkap dalam permainan politik berprofil tinggi.
Konflik yang dihidangkan bukan sahaja menegangkan, malah memberi cerminan sosial yang relevan dengan dunia nyata.
2. Kolaborasi Dua Bintang Besar Chungmuro

Daya tarikan terbesar Tempest adalah penyatuan dua nama besar dari dunia filem Korea, iaitu Jun Ji Hyun dan Kang Dong Won. Kedua-duanya terkenal dengan mutu lakonan bertaraf dunia serta karya filem berkualiti.
Apabila mereka dipertemukan dalam satu drama, jangkaan penonton pastinya melambung tinggi. Kisah cinta yang terjalin antara bekas diplomat dan perisik yang rela mempertaruhkan nyawa demi melindungi insan tersayang, menjadikan watak mereka sarat emosi serta saling bergantung dalam rentetan peristiwa politik.
Dengan keserasian semula jadi serta kemampuan hebat menghidupkan watak kompleks, Tempest jelas bukan drama yang wajar dilepaskan.
3. Arahan Pengarah dan Penulis Terkemuka

Menurut laporan Soompi, Tempest merupakan hasil gandingan pengarah terkenal Kim Hee Won (Queen of Tears, Vincenzo) dan Heo Myeong Haeng (The Roundup: Punishment, Badland Hunters).
Ditambah dengan skrip hasil sentuhan Jeong Seo Kyeong, yang masyhur melalui filem Decision to Leave dan drama Little Women, kombinasi ini menjanjikan sebuah drama yang bukan sahaja menyentuh emosi, malah sarat adegan aksi mendebarkan yang jarang dilihat dalam drama Korea kebelakangan ini.
4. Barisan Watak Yang Kompleks dan Sarat Emosi

Selain jalan cerita dan barisan pelakonnya, keunikan lain Tempest terletak pada watak-watak yang digarap mendalam.
Setiap watak bukan sekadar pelengkap cerita, tetapi memiliki latar belakang, motivasi serta peranan yang kukuh. Penonton akan mudah hanyut bersama konflik batin setiap karakter, baik utama mahupun sampingan.
Keunikan ini menjadikan jalan ceritanya sukar dijangka, sekaligus menambah lapisan emosi yang kuat. Antara nama yang bakal menyertai drama ini termasuk Lee Mi Sook, Yoo Jae Myung, Oh Jung Se, Won Jian, Park Hae Joon, Kim Hae Sook dan John Cho.
Nantikan tayangan perdana Tempest pada 10 September 2025, drama thriller Korea yang dijangka mencetus fenomena!








