Sosok makhluk mitos dengan ekor bersinar dan keunguan perlahan-lahan turun ke akuarium. Tubuhnya meliang-liuk menembus air, meluncur dari hujung ke hujung kaca. Senyuman terukir sambil tangannya melambai kanak-kanak yang berdiri menyaksikannya.

Itulah dia Syrena, si puteri duyung. Dia membuat persembahan di pesta, acara korporat dan hotel. Berenang dalam ekor duyung ini seperti freediving cuma kakinya terikat.

Menerusi temu bual bersama VICE, wanita yang dikenali sebagai Neo @ Syrena dari Singapura ini tertarik dengan ekor duyung dan membelinya sebagai kostum Halloween. Takjub bila tahu boleh berenang di dalamnya, lantas dia pun mencubanya.

Bermula dari hobi dan suka-suka, akhirnya jadi profesion. Pernah hampir berhenti tetapi dorongan dan galakan daripada pasangan terus memacu semangatnya untuk terus berenang.

Apa yang membezakan duyung dengan cosplay adalah para pelakon mencipta personaliti mereka sendiri dan bukannya menggunakan watak yang sedia ada.

Perenang duyung turut perlu membina fantasi yang cukup kuat untuk menarik penonton di samping koreografi fizikal yang mantap.

Sebelum pertunjukan, Neo perlu menyiapkan seragamnya (mahkota, bahagian atas dan ekor), alat pembantu serta bersiap secara mental dan emosional dengan latihan pernafasan.

Muncul keluar dari air setelah menahan nafas dalam jangka masa panjang bukanlah sesuatu yang mudah, tetapi Neo harus tetap menjaga karakternya agar selalu kelihatan elegan walau apa pun jadi.

Dia biasanya melakukan 20 hingga 40 kali menyelam dalam satu pertunjukan, menahan nafas dalam masa 50 saat hingga satu minit sebelum kembali ke permukaan.

“Saya rasa tertekan bila tak dapat tahan nafas lama dalam air. Tetapi bila saya pilih untuk rasa bebas dan menikmati momen itu, saya cenderung untuk tahan nafas lebih lama.” katanya kepada VICE.

Ketika ditanya khabar tentang kariernya semasa pandemik ini, Neo mengatakan dia seperti ikan kehabisan air sebab pertunjukan dan aktiviti lain dibatalkan kerana wabak itu.

“Ketika itulah saya sedar betapa pekerjaan benar-benar dapat membentuk identiti seseorang dan saya rasa kehilangan.”

Walaupun kerjayanya membawa watak dongeng, namun Neo mempunyai beberapa nasihat praktikal buat si pengejar impian.

“Pastikan anda benar-benar mahir dalam bidang yang anda lakukan, hati anda bahagia, luangkan masa untuk bereksperimen, dan mencubanya.

Dan jika tidak berjaya, mungkin ia masih boleh dilakukan, tetapi dengan cara yang berbeza. Akan selalu ada ruang untuk cipta magis, tapi uruskan juga expectations anda.” katanya.

Sumber: VICE

Previous articleApa Rasanya Masuk Khidmat Tentera Mandatori Korea Selatan?
Next articlePernah Rasa ‘Lost’ Dalam Hidup? Ini Treler Drama Korea Terbaru “Lost”