Impak masalah buli cukup serius sehingga boleh memusnahkan karier lebih-lebih lagi apabila membabitkan figura terkenal seperti artis di Korea Selatan.

Biarpun ia kisah lama sebelum bergelar selebriti, kemarahan peminat tetap akan meletus.

Itulah apa yang menimpa penyanyi Soojin sejurus namanya terpalit dalam kontroversi apabila dia dituduh pembuli sewaktu di sekolah.

Hal itu membangkitkan kemarahan ramai netizen. Pada mulanya penyanyi berkenaan menafikan sekeras-kerasnya tuduhan itu.

Namun dakwaan terbabit menjadi semakin kuat apabila ramai mangsa tampil bersuara termasuk pelakon Seo Shin-ae yang pernah satu sekolah dengannya. Soojin dituduh membuli secara cakap kasar serta membahayakan fizikal.

Sejak khabar itu tersebar, penyanyi tersebut serta-merta direhatkan daripada aktiviti seninya dan berdiam diri.

Terbaharu agensinya Cube Entertainment mengumumkan dia akhirnya keluar dari kumpulan (G)I-DLE. Kumpulan yang mula diperkenalkan pada tahun 2018 dan meledak dengan lagu Latata itu turut dianggotai Miyeon, Minnie, Soyeon, Yuqi dan Shuhua.

Menerusi pengumuman terbabit, agensi itu mengakui berat hati melepaskannya dan meminta maaf terhadap kontroversi membabitkan penyanyi berkenaan.

“Pertama sekali, kami ingin memohon maaf disebabkan kerisauan yang tercetus mengenai kontroversi berkaitan artis kami, Soojin. Kami ingin mengumumkan hari ini (Sabtu lalu) bahawa dia akan meninggalkan kumpulan itu.

“(G)I-DLE selepas ini akan menjalankan promosi berlima sahaja. Kami akan terus memberikan sokongan tidak berbelah-bahagi kepada (G)I-DLE untuk memajukan muzik dan persembahan mereka,” kata agensi terbabit.

Sumber: Harian Metro

Previous articleSiapakah Berjaya Melepasi Maut Dalam ‘Squid Game’?
Next articleSong Ji Hyo Kongsi Gambar Kek-Kek Unik Yang Dikirim Peminatnya