Home Kdrama/Kmovie Sinopsis Again My Life: Bangkit Melawan Salah Guna Kuasa Dan Korupsi

Sinopsis Again My Life: Bangkit Melawan Salah Guna Kuasa Dan Korupsi

0

Sekiranya melihat kejahatan, Kim Hee Woo tidak hanya mencegahnya dengan hati dan mulut sebaliknya menggunakan tangannya sendiri. Dia berani lakukan apa sahaja demi menegakkan kebenaran dan keadilan.

Tanpa mengira siapa, dia percaya undang-undang mesti dipatuhi tanpa sebarang kompromi.

Semuanya bermula dengan sumpah yang diangkatnya bagi melindungi masyarakat dan negara daripada jenayah ketika ditauliahkan sebagai seorang pendakwa raya.

1 5
Kredit: Viu

Kim Hee Woo begitu komited dengan tugasnya, termasuk nekad mahu menyiasat seorang ahli politik yang korup serta mengheretnya ke muka pengadilan. Dia berasa bertanggungjawab membanteras jenayah berat ini kerana baginya pertumbuhan ekonomi menyatukan negara tetapi ada yang menjatuhkannya iaitu rasuah.

Namun sasarannya iaitu Cho Tae Sub, dalang politik ini terlalu berkuasa, malah Presiden Republik Korea (dalam drama ini) pun jadi boneka puppet mengikut telunjuknya. Cho Tae Sub memang mahu orang-orangnya yang duduk di kerusi panas pejabat presiden itu.

2 4
Kredit: Viu

Meskipun mempunyai ciri-ciri sebagai seorang hero masyarakat, Kim Hee Woo tetap manusia biasa dan tidak terlepas buat silap. Dalam keghairahannya mahu mendakwa ahli politik itu, tindakannya agak terburu-buru dan tersilap langkah dalam menilai lawannya itu sehingga nyawanya melayang.

Cho Tae Sub sempat memberitahunya, “Kalau kamu nak jatuhkan saya, musnahkan sistem yang dibina untuk melindungi saya dulu.”

4 3
Kredit: Viu

Drama ini diselitkan elemen fantasi apabila selepas Kim Hee Woo dihumban dari bangunan tinggi, muncul seorang wanita misteri memberinya peluang kedua dalam kehidupan supaya dapat memerangkap dalang politik itu dengan sempurna dan tak mati sia-sia lagi.

Kim Hee Woo dihantar ke zaman remajanya semula untuk membuat persiapan menentang musuhnya itu.

3 3
Kredit: Viu

Begitulah serba sedikit cerita episod 1 ‘Again My Life’ yang saya tonton di platform Viu.

Ada sesuatu yang saya belajar dalam drama ini, antaranya adalah terdapat sesetengah perkara berada di luar kawalan kita seperti kejahatan manusia lain dan kebobrokan sistem. Namun apa yang kita boleh lakukan adalah lengkapkan diri kita dengan ilmu pengetahuan serta amalkan, contohnya cakna serba sedikit tentang hak perundangan supaya tidak mudah ditindas dan dipermainkan.

Itu apa yang saya nampak apabila melihat Kim Hee Woo belajar sungguh-sungguh walaupun tiga kali kena mengulang exam untuk jadi pegawai perundangan dan menuntut ilmu seni bela diri demi survival.

Menurut Soompi, ‘Again My Life’ turut menarik perhatian ramai kerana drama ini menyambut kepulangan Lee Joon Gi ke skrin. Penonton tertunggu-tunggu untuk melihat aksi lakonannya yang mantap dan ekspresi emosinya ketika memegang watak utama Kim Hee Woo.

Drama 16 episod ini sedang on-going dan jom stream Together-Gather di Viu.