Home Netflix Setelah 3 Tahun, Perjalanan Kisah Wednesday Addams Diteruskan dalam Musim 2 Hari...

Setelah 3 Tahun, Perjalanan Kisah Wednesday Addams Diteruskan dalam Musim 2 Hari Ini

0

Wednesday Addams kembali untuk Musim Kedua, Bersedia Untuk Misteri Lebih Menakutkan di Nevermore!

Selepas tiga tahun penantian yang panjang, siri popular Netflix ‘Wednesday’ akhirnya kembali dengan musim kedua, dan kali ini, ia ditayangkan dalam dua bahagian! Bahagian Pertama akan mula ditayangkan pada 6 Ogos 2025, manakala Bahagian Kedua bakal menyusul pada 3 September 2025, eksklusif di Netflix.

Watak Wednesday Addams lakonan Jenna Ortega bakal membawa penonton semula ke Akademi Nevermore, sebuah sekolah penuh rahsia, pelajar-pelajar luar biasa, dan ancaman yang lebih mengerikan dari sebelumnya.

Menariknya, treler rasmi musim kedua telah dilancarkan tepat pada hari Rabu, sesuatu yang dianggap bijak oleh para peminat. Seorang peminat meninggalkan komen yang mencuit hati:

“Muat naik pada hari Rabu? Langkah paling genius!”, ulas seorang pengguna di saluran YouTube Netflix.

Imbas Kembali: Apa Yang Berlaku Dalam Musim Pertama?

Wednesday

Bagi yang mungkin sudah lupa, musim pertama mengisahkan tentang Wednesday Addams yang dihantar oleh kedua ibu bapanya ke Akademi Nevermore, sebuah sekolah khas untuk pelajar yang dianggap ganjil, memiliki kebolehan pelik dan sering disisihkan oleh masyarakat.

Wednesday yang baru sahaja menemui kuasa sihir miliknya, terpaksa menyesuaikan diri dalam persekitaran baharu yang penuh cabaran. Namun, ketenangannya tidak kekal lama apabila siri pembunuhan misteri mula berlaku di sekitar sekolah.

Dengan kecerdasan dan sifat ingin tahu yang tinggi, Wednesday mula menyiasat kes-kes pembunuhan tersebut. Tanpa disangka, misteri itu mempunyai hubungan gelap dengan sejarah keluarga Addams sendiri, yang selama ini disembunyikan selama beratus tahun.

Musim Kedua: Cabaran Baharu, Rahsia Lama dan Diri Wednesday Yang Semakin Gelap

IMG 4027

Kini, dalam musim kedua, Wednesday Addams kembali ke Akademi Nevermore, tetapi bukan lagi sebagai pelajar biasa. Kali ini, beliau turut ditemani oleh adik lelakinya, Pugsley, yang turut mengalami cabaran sebagai seorang yang ‘luar biasa’.

Namun, cabaran terbesar Wednesday bukan hanya datang dari luar, status baharunya sebagai “wira sekolah” menyebabkan beliau menjadi perhatian rakan-rakan yang kini memandangnya penuh kekaguman. Malangnya, Wednesday menganggap semua pujian itu menjijikkan, dan sukar menerima semua perhatian yang datang bertubi-tubi.

Dalam masa yang sama, kehadiran ibu bapanya yang kerap berkunjung menambahkan lagi tekanan kepada Wednesday Addams. Tetapi bila bahaya baharu mula timbul dan keadaan menjadi huru-hara semula, Wednesday Addams menemui kembali makna perjuangannya.

Musim ini juga akan memperlihatkan lebih banyak pendedahan tentang masa silam keluarga Addams, yang ternyata lebih kelam dan rumit dari yang pernah didedahkan sebelum ini. Dengan kehadiran pengetua baharu di Akademi Nevermore, pelbagai perubahan mengejut turut berlaku, memaksa Wednesday menyesuaikan diri sekali lagi dalam persekitaran yang semakin tidak menentu.

Menariknya, musim kedua ini bakal menampilkan elemen seram yang lebih kuat, seiring dengan perkembangan karakter Wednesday Addams sebagai watak anti-hero yang penuh dengan sisi gelap dan pendirian tegasnya sendiri.

Saksikan Musim Kedua ‘Wednesday’ di Netflix!

Wednesday addams

Adakah Wednesday Addams akan berjaya menyesuaikan diri dengan cabaran baharu, menyingkap rahsia keluarga yang telah lama terpendam, dan mengatasi ancaman yang lebih menakutkan dari sebelumnya?

Semuanya akan terjawab dalam musim kedua ‘Wednesday’ yang ditayangkan dalam dua bahagian eksklusif hanya di Netflix:

Bahagian 1: 6 Ogos 2025 – 4 Episod

Bahagian 2: 3 September 2025 – 4 Episod

Jangan ketinggalan untuk menonton Wednesday kembali lebih gelap, lebih misteri dan lebih hebat daripada sebelumnya!

Baca lagi: Love, Take Two, Kisah Ibubapa Tunggal yang Sarat Emosi, Mencuit Hati dan Penuh Kejutan
Baca juga: The Young Emperor Is Obsessed With Me, Cinta Obsesi Berbeza Usia 1000 Tahun