Connect with us

Nature

Selamat Datang Ke Pulau Ular Di Brazil

Ilha da Quiemada Grande, atau lebih dikenali sebagai ‘Pulau Ular’ tidak sesuai diduduki manusia sebaliknya dihuni oleh makhluk-makhluk menjalar yang digeruni ramai iaitu ular.

Terletak kira-kira 150 kilometer dari persisiran pantai Sao Paolo di Brazil, pulau ini diharamkan untuk dikunjungi orang awam kerana reputasinya yang mengancam nyawa dan setiap sudut ada ular.

Sumber gambar: Mongabay

Pernah suatu ketika dahulu, penduduk tempatan menceritakan seorang nelayan ditemui mati berlumuran darah dengan kesan gigitan ular di dalam perahunya berhampiran pulau itu.

Sejarah Pulau Ular

Mengikut cerita legenda, ular-ular itu dilepaskan oleh lanun-lanun supaya dapat melindungi harta karun mereka.

Realitinya, haiwan berdarah sejuk itu wujud di pulau terpencil berkenaan kerana hukum alam.

Sumber gambar: Smithsonian magazine

Pulau Ular sebenarnya pernah menjadi sebahagian daripada daratan tanah besar di Brazil namun peningkatan paras air laut sejak 10,000 telah memisahkan hidupan di situ dan menukar tempat itu menjadi pulau.

Memandangkan ular tersebut tiada pemangsa dan hanya bergantung kepada burung-burung sebagai makanan, mereka berevolusi menjadi sangat berbisa dan mampu membunuh mangsanya dengan cepat.

Ular Golden Lancehead

Dalam landskap pulau yang bergunung ganang, tersembunyi seekor ular jenis Golden Lancehead yang dikatakan paling berbisa di tempat itu.

Sumber gambar: The Sun

Bisanya sehingga mampu menipiskan harapan seseorang itu untuk selamat apabila dipatuk di mana mangsa akan mengalami kegagalan fungsi buah pinggang dan pendarahan dalaman.

Tragedi Rumah Api

Cerita legenda lain yang melingkari pulau itu adalah terdapat sebuah keluarga yang mendiami pulau itu pada sekitar tahun 1920-an.

Mereka merupakan penjaga rumah api di situ, namun hayat keluarga itu dikatakan berakhir kerana patukan segerombolan ular yang menyelinap masuk melalui tingkap.

Sumber gambar: The Sun

Sehingga kini, tentera laut buat rondaan di kawasan sekitar bagi memastikan tiada siapa pun yang menghampiri pulau maut itu.

Tujuannya bukan sahaja bagi melindungi nyawa orang, tetapi manusia juga berbahaya kepada ular kerana terdapat cubaan untuk masuk ke kawasan itu bagi menyeludup ular dan menjualnya di pasaran gelap.

Sumber: Atlas Obscura, Culture Trip, All That’s Interesting

Continue Reading
Advertisement

Copyright © 2021 DaebaKing Media Sdn Bhd